suria

Lelaki ini buruk sangka penghantar kurier asyik tanya pasal jiran, dapat tahu cerita sebenar terus ‘kejar’ dengan kereta - “Mukanya berubah, mainan tu tak sama macam dia nampak”

Pekerja kurier tersebut akhirnya menerima hadiah pemberian Wazirudin selepas beberapa kali dipujuk. Foto: Facebook Wazirudin Zainuddin

BAGI individu yang bergelar ibu atau bapa, sudah pasti mereka akan melakukan segala-galanya demi kasih sayang kepada anak.

Tambahan pula bagi mereka yang bergelar ketua keluarga, tanggungjawab yang dipikul begitu berat bagi memastikan segala keperluan keluarga sama ada tempat tinggal, makanan, pakaiaan, pendidikan dan lain-lain lagi dapat disediakan dengan sempurna.

Namun tidak semua insan bernasib baik dan dikategorikan sebagai golongan yang berkemampuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sikap utamakan keluarga berbaloi, bapa sebak terima hadiah motor baharu sempena birthday ke-60 - “Motor lama tu ayah guna dari saya sekolah rendah”

ARTIKEL BERKAITAN: Alahai ayah! 10 anak rancang kejutan birthday, selamba je bapa hias hadiah sendiri - “Tolong sikit je, tapi nak upah banyak”

Bagi Wazirudin Zainuddin, pertemuannya dengan seorang pekerja sebuah syarikat kurier baru-baru ini nyata memberi tamparan hebat mengenai erti kasih sayang seorang bapa.

Mengimbas kembali kisah yang berlaku sebulan lalu itu, Wazirudin berkata ketika itu dia sedang bekerja dari rumah, di mana seorang pekerja syarikat kurier datang untuk menyerahkan barang pesanannya.

"Ketika menyerahkan barang, dia bertanya sama ada jiran saya ada di rumah atau tidak. Sebenarnya seminggu sebelum tu dia ada hantar barang dekat rumah saya, dan dia tanya soalan yang sama.

"Masa kali pertama dia tanya tu, saya ada juga terfikir benda yang tak sepatutnya, macam berburuk sangka. Tapi bila dua kali dia tanyakan soalan yang sama, saya terfikir juga kenapa dia asyik bertanya.



Mainan terpakai (dalam bulatan) di hadapan rumah jiran Wazirudin sebagaimana yang diinginkan oleh pekerja syarikat kurier itu.

"Saya beritahu, 'kalau abang nak hantar barang pada jiran saya, serahkan pada saya dulu pun tak apa'. Kemudian barulah dia cerita. Katanya dia perasan ada mainan macam tak digunakan dekat luar, kalau nak buang, dia nak minta... tapi segan.

"Katanya nak bawa balik bagi dekat anak. Saya pun minta nombor telefon dia dan beritahu, nanti saya akan tolong tanyakan kepada jiran saya," ceritanya kepada mStar.

Menurut Wazirudin, pertemuan singkat dengan lelaki dalam lingkungan usia lewat 30-an itu nyata membuatkan dirinya tersentak.

Saya juga seorang bapa... saya faham betapa kasihnya bapa kepada anak-anak. Mungkin ketika itu dia tak mampu nak beli kerana ada belanja yang lebih penting.

WAZIRUDIN ZAINUDDIN

"Tak tunggu lama, saya terus capai kunci kereta dan keluar rumah. Dalam satu jam kemudian, saya telefon semula abang tu, beritahu yang saya nak hantarkan mainan yang dia nak tadi.

"Kebetulan masa itu dia masih ada berdekatan dan dalam perjalanan nak balik ke Serian. Dia tunggu dekat lokasinya. Ketika sampai, saya tak bawa keluar lagi mainan tu dari kereta... kami sembang-sembang kejap.

"Dia cakap terima kasih sebab susah-susah nak hantar. Kemudian barulah saya ambil mainan dan serahkan padanya. Masa tu, mukanya nampak berubah sebab dia perasan mainan tu tak sama macam mainan yang dia nampak di rumah jiran saya.



Wazirudin membelikan mainan baharu untuk dihadiahkan kepada anak pekerja kurier berkenaan.

"Terus saya beritahu, saya beri ni sebagai hadiah untuk anak abang. Sebut je perkataan anak, terus dia tekup muka. Dia terdiam, tak terkeluar kata-kata. Cuba tahan sebak," cerita bapa kepada dua anak ini yang menetap di Kuching, Sarawak.

Menurut Wazirudin, pada mulanya lelaki itu menolak pemberiannya namun selepas beberapa kali diyakinkan, akhirnya dia menerima hadiah tersebut.

"Saya juga seorang bapa... saya faham betapa kasihnya bapa kepada anak-anak. Mungkin ketika itu dia tak mampu nak beli kerana ada belanja yang lebih penting.



Antara komen netizen yang rata-ratanya memuji tindakan Wazirudin.

"Tapi saya tersentuh dengan effort dia untuk gembirakan anak. Saya fikir, agaknya macam ni susahnya mak ayah saya besarkan saya dulu. Bila besar, kadang-kadang kita lupa... sebenarnya banyak dosa dengan mereka.

"Kadang bila selalu ada di atas, gaji sebulan cecah empat hingga lima angka... tapi kita lupa untuk tengok di bawah. Tak sangka perkongsian di Facebook jadi viral.

"Tak ada langsung niat nak aibkan, apatah lagi nak menghina. Saya kongsikan sebab benar-benar terkesan dengan kisahnya," katanya lagi.

Sehingga kini perkongsian Wazirudin meraih 2,900 tnda suka di Facebook.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain