suria

Mental ‘koyak’, emosi kuasai diri 7 tahun jaga ibu strok... anak sanggup ulang alik Sentul-Bangi cari ilmu ‘kesabaran tahap tinggi’ - “Beban dulu kini jadi nikmat”

Perkongsian pengalaman seorang wanita yang menjaga ibunya yang sakit, menyentuh hati ramai netizen. Gamabr hiasan

BAGI individu yang menjaga ibu atau bapa yang terlantar sakit, sudah pasti mereka tahu bagaimana rasa betapa mencabarnya tanggungjawab berkenaan.

Disebabkan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi termasuklah kerenah orang sakit, pembahagian masa antara kerjaya dan keluarga serta lain-lain lagi, perkara yang paling penting dalam berdepan situasi ini adalah sifat sabar.

Namun sebesar mana pun cabarannya, itulah yang dikatakan pengorbanan dan tanggungjawab seorang anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Lupa hasrat jadi cikgu, wanita habiskan masa 24 jam sehari jaga 3 insan tersayang terlantar sakit... ‘ajaib’ tak pernah rasa penat!

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak boleh cakap, lidah mak keras sepenuhnya” - Bermula dari ulser, kini leher berlubang... anak kongsi derita ibu hidap kanser

Perkongsian seorang pelayar di Facebook mengenai pengalamannya menjaga ibu yang sakit, benar-benar menyentuh hati netizen yang seolah-olah dapat menyelami apa yang dialaminya.

Selain kagum dengan pelayar tersebut, mereka juga terinspirasi dengan perkongsian berkenaan kerana ia menjentik satu ilmu baharu dalam mendepani situasi yang sama.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Nor Halmi Ahmad berkata, coretan tersebut hanyalah perkongsian secebis pengalaman kerana dirinya sendiri sememangnya minat untuk menulis dan berkongsi kisah kehidupan serta ilmu agama bertujuan untuk memberi manfaat kepada sesiapa jua yang membaca.

"Lillahi Ta'ala, hakikatnya saya tidak pernah terfikir apatah lagi mengharapkan coretan kisah ini di FB saya menjadi viral. Mereka yang berkawan dengan saya di FB pasti sudah kenal dan tahu, saya memang suka menulis," katanya yang menetap di Sentul, Kuala Lumpur.



Nor Halmi sudah lebih tujuh tahun menjaga ibunya yang diserang strok. Gambar hiasan.

Bercerita lebih lanjut, Nor Halmi berkata dia sudah lebih tujuh tahun menjaga ibunya, Rohani Othman, 65, yang menderita strok.

Menurut wanita ini, ibunya pertama kali diserang strok pada 2013 di bahagian tubuh sebelah kanan yang menyebabkannya terlantar dan hanya mampu minum susu menerusi tiub.

"Pada tahun 2014, Alhamdulillah, mak saya sihat, boleh urus diri sendiri, tak perlu pakai pampers, mandi dan pakai baju semua sendiri, bangun dari katil dan duduk di kerusi roda, semua sendiri.

"Kemudian pada bulan Ogos, mak saya kena strok kali kedua. Waktu ini doktor kata saraf mak saya dah rosak. Mak saya dah tak bercakap, diam sahaja, mak juga dah tak ingat apa yang berlaku.

"Perkara-perkara baru terjadi setiap saat dia lupa. Dan strok kali kedua ni, mak saya pakai pampers 24 jam. Kencing dan berak pun dia sudah tak rasa, tak tahu. Kami sekeluarga menjaga mak dari mula mak kena strok hinggalah sekarang," cerita wanita berusia 39 tahun ini.



Selepas diserang strok kali kedua pada Ogos 2014, ibu Nor Halmi tidak berupaya menguruskan diri sendiri dan terpaksa dipakaikan lampin pakai buang 24 jam. Gambar hiasan.

Pada peringkat awal, ibunya dijaga oleh kakak dan bapanya memandangkan ketika itu dia masih lagi bekerja.

Namun Nor Halmi akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab menjaga ibunya beberapa bulan kemudian.

"Menjaga orang tua yang sudah unik (tua dan sakit) ini adalah satu ujian buat semua yang bergelar anak.

"Hakikatnya, anak-anak akan benar-benar diuji di saat mak atau ayah kita terlantar sakit (bedridden) yang mana mereka sudah tidak mampu uruskan diri mereka sendiri. Dan saat inilah, kita akan tahu siapa diri kita, suami kita dan siapa orang-orang di sekeliling kita.

"Menjaga orang tua yang unik ini sebenarnya memerlukan kesabaran yang tinggi. Dan untuk memiliki kesabaran ini, hakikatnya ia memerlukan ilmu. Asbab dari itulah saya keluar mencari ilmu. Dari situlah saya mula belajar Tadabbur Al-Quran. Semuanya kerana saya ingin merawat emosi yang sentiasa mengawal diri saya," ujarnya lagi.

Nak menjaga orang tua yang unik, ia bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal dan emosi, hakikatnya, yang paling utama adalah kekuatan jiwa, iaitu kekuatan spiritual.

NOR HALMI AHMAD

ANAK

Seringkali berdepan dengan situasi getir di mana pelbagai perkara mencabar emosi terjadi dalam masa yang sama, Nor Halmi berkata perubahan ketara dapat dirasainya selepas mempelajari ilmu agama.

"Waktu saya mengandung, berpantang, saya tetap menguruskan mak. Waktu saya menguruskan mak, waktu itulah anak buat perangai. Waktu itulah anak saya berak. Waktu itulah semua benda nak jadi.

"Itulah punca emosi saya kurang stabil. Semua inilah menjadi asbab, saya mencari kekuatan jiwa dalam saya merealisasikan kesabaran dengan penuh ketaatan.

"Dan, semua penawar itu, saya temui ketika saya berulang-alik dari Sentul ke Bangi, belajar tentang Tadabbur Al-Quran. Selepas saya belajar Tadabbur Al-Quran, saya mendapat kekuatan jiwa yang sebenar.

"Ini membuatkan saya sedar, nak menjaga orang tua yang unik, ia bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal dan emosi, hakikatnya, yang paling utama adalah kekuatan jiwa, iaitu kekuatan spiritual," katanya lagi.



Nor Halmi mendapat kekuatan jiwa yang sebenar selepas mempelajari ilmu Tadabbur Al-Quran. Gambar hiasan

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular sehingga meraih lebih 2,500 shares di Facebook, Nor Halmi dalam masa yang sama turut menitipkan kata-kata buat mereka yang juga berdepan dengan situasi yang sama.

"Ujian yang dirasakan beban satu ketika dulu, kini ianya benar-benar telah menjadi nikmat dalam hidup kami.

"Ketahuilah, hidup kita di dunia ini adalah untuk diuji. Ujian itu adalah untuk melihat siapakah di antara kita yang paling baik amalnya.

"Orang yang paling baik amalnya, sudah pasti bersih dan selamat hatinya. Hati yang bersih dan selamat inilah yang akan kita bawa sebagai bekal untuk bertemu Tuhan," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain