suria

Terima ucapan ‘padan muka’, influencer tak kisah terus dikecam selepas kemalangan teruk - “Saya akan tetap macam ni”

Influencer media sosial yang dikenali sebagai P.U Jamal terlibat dengan kemalangan pada November lalu.

ZAMAN sekarang, individu yang suka buat perkara pelik atau menjengkelkan nampaknya akan mempunyai pengikut yang ramai di media sosial walaupun dalam masa sama mendapat banyak kritikan dan kecaman.

Inilah yang berlaku kepada seorang pemuda yang terkenal dengan sikap nakal dan gila-gilanya sehingga sering menimbulkan kekecohan di media sosial.

Bagaimanapun, pada November lalu netizen dikejutkan dengan berita pemuda ini terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Kuching, Kuala Lumpur sekitar jam 2 pagi menyebabkan dia ditahan di Hospital Selayang selama seminggu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kasihan... remaja ‘tak kacau orang’, hanya suka berfesyen streetwear dilabel kanak-kanak istimewa!

ARTIKEL BERKAITAN: “Sayalah budak yang picit-picit roti semua tu” - Selepas 'jahanam'kan makanan sambil ketawa di kedai serbaneka, remaja mohon maaf

Ketika dihubungi mStar, Hafiy Nazhan, 25 atau lebih dikenali dengan P.U Jamal mengesahkan kejadian tersebut tetapi tidak tahu mengenai punca kemalangan kerana dia langsung tidak dapat mengingati apa yang berlaku sebelum berlakunya tragedi itu.

"Saya pun tak ingat apa yang jadi, doktor kata saya hilang memori selama 8 jam kerana mengalami hentakan kuat. Sebelum saya kemalangan pun saya tak tahu saya nak ke mana, buat apa dan sebagainya.

"Sebenarnya apa yang saya kena ni sikit saja, ada yang lagi teruk sampai hilang ingatan berhari-hari malah ada yang bertahun-tahun.

"Alhamdulillah, sekarang saya dah pulih sedikit. Dah mula boleh pakai tongkat," ujarnya.



Keadaan P.U Jamal atau Hafiy Nazhan selepas terbabit dalam kemalangan pada November lalu.

Tambah P.U Jamal yang turut dikenali dengan gelaran Pejuang Jalan Lurus, selepas insiden itu dia menerima hampir 1,000 tweet di Twitter yang memberi komen negatif seperti 'padan muka' malah ada yang mendoakannya semoga cepat mati dan sebagainya.

"Ketika saya tak sedar apa, kawan saya ada buat posting berita saya kemalangan di Twitter. Ada yang mendoakan yang baik-baik dan ada yang macam biasa kutuk dan hina saya.

"Sikit pun saya tak kisah. Tak sedih langsung apa orang nak cakap lebih-lebih lagi orang yang saya tak kenal.

"Ini bukan kali pertama saya jatuh terduduk macam ni, dah banyak kali. Saya memang akan tetap macam ni saja, tak ada nak berubah apa pun selepas kemalangan ini," katanya.

Jujur saya cakap, kalau saya buat baik, bersedekah atau pergi gotong royong bukan orang kisah sangat pun, bukan orang berminat nak tahu.

HAFIY NAZHAN/P.U JAMAL

INFLUENCER MEDIA SOSIAL

Dalam pada itu, P.U Jamal juga sedar tidak semua orang dapat menerima kenakalan dirinya yang sering ditonjolkan di media sosial selama ini.

"Saya yang minta dikecam, saya kena terimalah. Lagipun saya tak kenal mereka, mereka pun bukan kenal saya betul-betul, setakat di media sosial saja.

"Ramai orang yang tak puas hati dengan saya, sampai selalu ajak bersemuka, nak gaduh dan sebagainya... saya dah biasa.

"Jujur saya cakap, kalau saya buat baik, bersedekah atau pergi gotong royong bukan orang kisah sangat pun, bukan orang berminat nak tahu.

"Jadi saya fikir, apa-apa kebaikan yang saya buat biarlah saya simpan sendiri dan yang nakal-nakal itu biar mereka nampak. Lagipun saya main Twitter tu untuk hilangkan bosan, sekadar untuk hiburan," katanya.



Segelintir netizen melontarkan komen negatif terhadap berita kemalangan membabitkan P.U Jamal.

Dalam pada itu, P.U Jamal turut mencuri perhatian netizen apabila memuat naik video aksi tendangan libas ketika sedang bertongkat di Instagram Story.

"Tak tahu pula video tu akan viral. Saja seronok-seronok je upload sebab seronok dah boleh pakai tongkat.

"Sikit je ni, tak sakit sangat pun. Ujian ni pun salah satu penghapus dosa kan," katanya berseloroh.

Walaupun sering dikecam dan ramai yang menganggap dirinya seorang yang menjengkelkan, masih ada netizen yang memberi komen positif dan menitipkan kata-kata semangat kepadanya selepas terbabit kemalangan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain