suria

Penuh emosi... ‘drama’ bapa tahan pintu kereta menangis teresak-esak ketika anak mahu pulang undang air mata - “Masa salam abah nampak okay”

Seorang bapa sebak melihat anak dan cucunya mahu pulang ke rumah mereka. foto ihsan Norazimah Aman

HATI sayu menyaksikan seorang bapa menangis apabila si anak mahu meninggalkan kampung selepas datang menziarah.

Sambil menahan pintu kereta dengan perasaan berat hati, lelaki warga emas itu kelihatan menangis teresak-esak.

Lambaian si bapa selepas pintu kereta ditutup di akhir video yang dikongsikan menerusi aplikasi TikTok oleh seorang wanita mengundang air mata netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Last menangis masa dapat SPM 10A, kali ini ayah 'banjir' lagi... nyaris kantoi sebelum kejutan kereta baharu menjadi! - "Ayah nak bertenang dulu"

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa 'singa' habis kalau marah tapi di sebalik motor macam siput dikata hilang, tiba-tiba abah sebak "Banyak masa abah hanya di jalan sebab nak cari rezeki"

Wanita berkenaan, Norazimah Aman berkata, kejadian berlaku ketika dia menziarahi bapanya, Aman Kasman, 75 di kampung di Ayer Hitam di Batu Pahat, Johor pada Jumaat minggu lalu.



Lambaian bapa mengundang sebak.

Dia yang tidak menyangka video tersebut tular pada minggu ini memberitahu, bapanya berada dalam keadaan terkawal semasa dia hendak pulang ke rumahnya di Senai.

"Masa saya bersama anak-anak salam dengan abah (panggilan bapa) sebelum balik, abah nampak okay. Dia siap duduk di tepi pintu tengok kami pergi ke kereta.

"Bila enjin kereta dihidupkan, abah tiba-tiba bangun dan berjalan laju ke kereta. Abah buka pintu, siap tahan pintu tu sebelum menangis," kata wanita berusia 42 tahun itu kepada mStar.



Norazimah (kiri) bersama bapanya.

Norazimah menjelaskan bahawa dia sering pulang ke kampung untuk bertemu bapanya yang kini tinggal bersama salah seorang abangnya.

"Kami adik-beradik secara bergilir-gilir ziarah abah sejak mak meninggal dunia. Saya biasanya datang jenguk ayah dua minggu sekali, atau kadang-kadang seminggu sekali.

"Sebelum ini abah pernah menangis setiap kali kami nak balik ke rumah, tapi ini kali pertama abah menangis teresak-esak," katanya sambil menambah anak perempuannya yang berusia 20 tahun memandu kereta ketika 'drama' itu berlaku.



Aman sebelum ini gemar memancing dan berkebun.

Sebagai anak, suri rumah itu mengakui sedih melihat situasi itu dan menyifatkan bapanya begitu mudah sensitif sejak mengalami masalah ingatan setahun yang lalu.

"Abah cepat pelupa dan seorang yang sensitif. Abah jadi macam tu mungkin sebab rasa sunyi di rumah sebab abang akan keluar bekerja.

"Dulu, abah memang ada tinggal dengan anak-anak, tapi sekarang lebih suka duduk di rumahnya sendiri. Dia lebih suka anak-anaknya datang menjenguknya di rumah," ujar anak keenam daripada 10 beradik itu.



Bapa Norazimah kini mudah sensitif.

Menurut Norazimah, bapanya yang sebelum ini pernah mengusahakan kedai runcit merupakan seorang yang lemah-lembut meskipun bersikap tegas dengan anak-anaknya.

"Walaupun perjalanan dari rumah abah ke rumah saya hanya 45 minit, tapi bila tengok ayah tahan pintu dan menangis teresak-esak, perasaan abah tu lain macam.

Baliklah jenguk mak ayah di kampung. Setidak-tidaknya lakukan sesuatu yang boleh menggembirakan mak ayah selagi mereka masih ada.

NORAZIMAH AMAN

"Saya pula berat hati nak tinggalkan ayah walaupun akan datang semula minggu ini. Sebelum balik tu, abah pesan jangan lupa call dia, jangan lupa balik jumpa dia selalu," katanya sambil menambah bapanya sebelum ini gemar berkebun dan memancing.

Jelasnya, perkongsian video tersebut di laman sosial dibuat sekadar suka-suka, tetapi pada masa sama mahu menghargai bapanya yang selama ini membesarkan mereka adik-beradik.



Aman bersama anak-anak dan cucu-cucu di kampung.

"Kepada mereka yang masih ada mak ayah, bila lagi nak buat mereka gembira. Mak ayah kita bukannya sentiasa ada. Tak kan nak tunggu satu hari nanti mereka dah tak ada, baru nak menyesal.

"Kalau ada kelapangan tu, baliklah jenguk mak ayah di kampung. Setidak-tidaknya lakukan sesuatu yang boleh menggembirakan mak ayah selagi mereka masih ada," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain