suria

Dikecam rakam video urus jenazah sahabat ‘demi sebuah content’, Instafamous tampil beri penjelasan – “Saya tahu niat sebenar”

Tangkapan skrin video Hafiz (baju hitam) mengimamkan solat dan mengebumikan jenazah sahabatnya. sumber instagram hafizmahamad

KHABAR duka buat Instafamous, Hafiz Mahamad apabila sahabat baiknya yang menghidap strok dijemput Ilahi pada Selasa.

Usahawan itu sebelum ini mendapat perhatian antaranya kerana sanggup membatalkan mesyuarat dan menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kelantan untuk mengangkat sahabatnya yang tidak dapat berjalan dan seterusnya dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.

Malah, beliau juga pernah menghadiahkan arwah sebuah kerusi roda elektrik bagi memudahkan pergerakan sahabat baiknya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dikritik posting 'gagal' SPM tapi tetap dapat makwe cun, usahawan romantik kongsi kisah bangkit banggakan keluarga – "Pada saya ‘duit dan sijil’ benda sama"

Susulan pemergian sahabatnya itu, Hafiz sekali lagi menaiki penerbangan ke Kelantan untuk menguruskan jenazah sehingga selamat dikebumikan.



Hafiz (dua, kanan) sebak dengan pemergian sahabatnya.

Antara luahan Hafiz terhadap arwah yang dipanggilnya sebagai Loh: “Loh, aku dah laksanakan janji aku dekat mu sebagai sahabat. Dari mu sakit sampai ke penamat, aku ada dengan mu. Sebab apa?

"Sebab aku tahu mu nampak aku dan aku nak mu tahu aku betul-betul nak jadi sahabat mu dunia akhirat. Tiba waktu aku nanti Loh. Selepas mu tarik keluarga ke syurga, tariklah aku ke syurga wahai sahabat. Tenanglah mu kat sana," tambah Hafiz.

Menerui video yang dikongsikan Hafiz di laman Instagramnya, menunjukkan beliau menguruskan dan mengimamkan solat jenazah, memandu van jenazah dan menguruskan pengebumian sehingga memasukkan jenazah ke liang lahad.



Hafiz membantu menguruskan sahabatnya ketika sakit.

Rata-rata netizen memuji Hafiz sebagai seorang yang setia dalam persahabatan, namun tidak terkecuali segelintirnya kurang senang dengan video yang dilihat mereka seperti sebuah 'dokumentari' itu seperti tidak sensitif terhadap jenazah dan keluarga arwah.

"Demi sebuah content," komen salah seorang netizen yang mendakwa video yang dimuatkan Hafiz sebagai satu kandungan di media sosial.

Hafiz atau nama sebenarnya Abdul Hafiz Harisuddin Mahamad tampil menjelaskan dakwaan netizen dan kecaman lain yang hangat diperkatakan di media sosial.



Kenangan... (gambar kiri) arwah Loh (kiri) hadir pada majlis perkahwinan Hafiz pada 2017. (gambar kanan) Keakraban Hafiz dan Loh.

"Saya menjaga dia sejak awal dia sakit, saya call dia dan keluarga setiap hari ketika dia tak sedarkan diri. Sekarang bila dah tak ada (meninggal dunia), saya cuba jaga keluarga dia pula.

"Alhamdulilah keluarga dia minta saya gantikan tempat 'sahabat' untuk masuk menjadi keluarga mereka. Di mana demi sebuah content atau marketing (pemasaran)?

Bukan salah kamu dan orang lain. Itu cara kamu melihat saya dan saya terima. Ada yang melihat dan dapat manfaat. Ada yang melihat dan nampak saya yang bukan-bukan

HAFIZ MAHAMAD

"Saya tak pandai nak bentang hadis, saya kurang ilmu agama. Sayang, saya ada sahabat ramai dalam media sosial dan selama ni tak mampu nak kongsi benda yang baik sebab kurang ilmu agama.

"Tapi, saya tak boleh nak tunggu untuk jadi perfect (sempurna). Walaupun kurang ilmu agama, saya usaha untuk kongsi benda baik yang boleh diikuti. Sebab dulunya saya berubah kerana ada posting yang baik," ujar usahawan berusia 27 tahun itu di ruangan komen.



Respons Hafiz terhadap salah satu komen netizen.

Bagaimanapun, Hafiz yang berasal dari Kelantan itu tidak menyalahkan netizen tersebut atau mana-mana pihak lain berhubung isu yang dibangkitkan.

"Bukan salah kamu dan orang lain. Itu cara kamu melihat saya dan saya terima. Ada yang melihat dan dapat manfaat. Ada yang melihat dan nampak saya yang bukan-bukan.

"Apapun, saya minta maaf dan saya tahu niat hati sebenar saya. Saya minta maaf dan terima kasih," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain