suria

Kejadian ‘coklat licin’ di Langkawi tanda ramai sangat gembira dapat bercuti - “Beli apa yang ada je, itu pun kena berebut”

Keadaan rak-rak coklat hampir kosong di sebuah premis jualan popular di Langkawi tular di media sosial.

LOKASI pelancongan kini mula dibanjiri ramai pengunjung setelah kerajaan mengumumkan kelonggaran ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dengan membenarkan kembali pergerakan rentas negeri.

Kebanyakan penerbangan domestik sudah memulakan beroperasi dan aktiviti percutian dalam negeri juga boleh dijalankan dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi.

Langkawi merupakan salah satu destinasi pelancongan pilihan rakyat Malaysia ketika ini, apatah lagi sekolah masih bercuti dan ramai yang ingin menghabiskan cuti tahunan.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB di Selangor, KL, Sabah dilanjutkan sehingga 20 Disember, tamat di Putrajaya, Labuan dan 4 negeri lain

ARTIKEL BERKAITAN: Langkawi 'nazak' tanpa pelancon, beberapa persatuan rayu PKPB ditamatkan

Umi Kelesom Mohamed Hashim, 44, yang kerap berulang alik ke pulau legenda itu dari tempat tinggalnya di Sungai Petani, Kedah mengakui keadaan pulau itu pada masa kini amat berbeza jika dibandingkan dengan keadaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mana pergerakan rentas negeri adalah dilarang.



Kebanyakan rak kosong setelah coklat habis dijual.

Foto yang dikongsikan Umie Kelesom di Facebook, menunjukkan rak-rak coklat hampir kosong di sebuah premis jualan popular di Langkawi tular di media sosial sejak Selasa.

"Saya pernah pergi Langkawi masa tak boleh rentas negeri atas urusan kerja dan selepas diberi kelonggaran rentas negeri saya pergi lagi tapi suasananya memang sangat berbeza.

"Paling terkejut, saya belum pernah tengok coklat 'licin', rak coklat tinggal kosong. Kalau ada pun tak banyak... ramai berebut-rebut dalam kedai tu.

”Saya tak pasti pekerja di situ tak sempat restock atau betul-betul coklat habis dibeli oleh pengunjung" katanya kepada mStar.

Umi Kelesom berkunjung ke Langkawi minggu lepas bersama tiga anaknya, Husna, 19, Amirah, 17 dan Arisa yang berusia lima tahun atas urusan kerja dan pada masa yang sama membawa ketiga-tiga anaknya bercuti.



Antara baki coklat untuk jualan.

Dia yang bekerja sebagai pekerja sambilan sebagai pengurus kewangan di sebuah hotel di pulau itu sejak Januari lalu sempat singgah di kedai menjual coklat popular, Haji Ismail Group di Pekan Kuah, Langkawi kira-kira jam 2 petang Isnin.

Bagaimanapun dia amat terkejut melihat premis itu dipenuhi ramai pelanggan dengan beberapa bas pelancong diparkir di kawasan berdekatan dan paling tidak disangka aneka coklat yang selama ini banyak tersusun di rak telah habis 'diborong' pelangggan lain.

Tak sangka pula hampir semua coklat habis dan saya cuma beli apa yang ada saja, itu pun terpaksa berebut

UMI KELESOM MOHAMED HASHIM

"Biasalah bila datang Langkawi, mesti anak-anak nak borong coklat. Ramai juga kawan saya pesan coklat, sebab tu saya singgah untuk beli.

"Tak sangka pula hampir semua coklat habis dan saya cuma beli apa yang ada saja, itu pun terpaksa berebut.

"Lepas tu gambar saya ambil untuk tunjuk dekat kawan-kawan tiba-tiba viral selepas ramai share dan komen," ujarnya.



Umi bersama anak-anaknya di Langkawi.

Tambah Umi Kelesom, dia tidak pasti sama ada kedai menjual coklat yang lain sama berdepan situasi sama atau sebaliknya kerana perlu bergegas untuk pulang.

"Di ruangan komen, ada yang cakap lokasi jual coklat lain di Langkawi masih ada banyak stok. Tetapi saya tak pasti betul ke tak," jelasnya.

Menurut Umie Kelesom, coklat-coklat ini habis dibeli bukanlah kerana peniaga atau premis melakukan promosi besar-besaran tetapi percaya situasi seperti ini berlaku kerana semua pengunjung berasa gembira apabila dibenarkan rentas negeri dan bercuti setelah lama ‘berkurung’ di rumah.

Walaupun penuh dengan pengunjung, rata-rata di sana mematuhi SOP yang ditetapkan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain