suria

Gadis Subang Jaya jadi mangsa banjir di Kelantan, perjelas foto ‘seronok main banjir’ siap guna pelampung - “Dulu takut keluar rumah, sekarang saya dah biasa”

Foto Intan bersama pelampung dan memakai pelitup muka ketika banjir mencuri tumpuan netizen.

BANJIR yang melanda di Kelantan sejak minggu lalu secara tidak langsung menyebabkan seorang gadis mendapat tumpuan.

Beberapa foto menunjukkan seorang gadis sedang menggunakan pelampung sambil tersenyum sinis di kawasan perumahan ketika banjir mencecah paras pinggang.

Salah satu daripada empat gambar tersebut menunjukkan gadis itu memakai pelitup muka.

ARTIKEL BERKAITAN: Padah nak gambar meletop punya pasal... baju pengantin lencun, duit melayang,"Habis banjir laluan ke bilik hotel, sampai bomba datang"

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh rider promote 'kolam ikan tepi highway', semuanya gara-gara lorong motosikal banjir... JKR jawab ini puncanya!

"Main air luh sekkito pape roger (Main air dulu geng apa-apa roger),” tulis gadis berkenaan di laman Twitter sehingga menjadi tular.

"Dalam banjir pun lawa,” komen netizen yang memuji kecantikannya.

"Jadi mangsa banjir pun maintain senyum ikhlas lagi. Ni la erti reda," ujar netizen lain.



Posting Intan di Twitter mendapat pelbagai reaksi netizen.

Gadis berkenaan, Nur Intan Syaqilla Norazlan berkata, gambar-gambar tersebut dirakamkan oleh adiknya di luar rumah keluarganya di Rantau Panjang, petang Isnin lalu.

Remaja berusia 18 tahun itu memberitahu, kebiasaannya setiap kali musim banjir di kawasan itu, limpahan air naik sehingga paras dada.

"Ramai yang kata bahaya sebab bimbang lemas atau ada ular dalam air. Begitulah keadaan yang kami perlu lalui bertahun-tahun setiap kali musim banjir.

"Paras pinggang ni okay lagi kerana biasanya banjir hingga ke paras dada. Tapi keadaan air di hadapan rumah tenang, bukannya deras sehingga membahayakan," katanya kepada mStar.



Antara komen netizen.

Lebih mesra disapa Intan, katanya, dia berdepan pengalaman menghadapi musim banjir di negeri itu sejak keluarganya berpindah dari Subang Jaya, Selangor, kira-kira 11 tahun lalu.

"Saya dilahirkan di Subang Jaya. Kami sekeluarga kemudian berpindah ke Kelantan di Rantau Panjang, kampung ayah. Jujurnya, masa mula-mula tu saya tak biasa dengan keadaan banjir.

"Macam-macam perasaan ada, sampai dulu pernah rasa takut nak keluar rumah. Tapi lama-kelamaan saya dah biasa dengan keadaan ini," ujar pelajar Tingkatan Enam itu.



Intan merupakan anak kelahiran Subang Jaya, Selangor yang kini menetap di Rantau Panjang, Kelantan.

Gadis itu turut mendedahkan foto yang tular itu dirakamkan sekadar suka-suka dan dia sebenarnya tidak bermain banjir di kawasan rumahnya seperti yang disangka netizen.

"Ketika itu saya dan dua adik masing-masing berusia 16 dan 13 tahun mengikut ayah ke kedai runcit yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah untuk membeli barang dapur seperti beras, gula dan telur.

"Kami redah saja banjir yang juga di paras pinggang adik-adik. Pelampung itu adalah milik jiran yang kami pinjam untuk kegunaan mengangkut barang-barang yang dibeli.

"Sekeping papan diletakkan di atas pelampung tu, dan segala beg plastik yang kami bawa balik dari kedai diletakkan di atas papan. Kiranya macam trolilah, tapi kami tolak pelampung tu perlahan-lahan secara bergilir-gilir hingga ke rumah" ujarnya.

Walaupun musim banjir, tetap kena ikut SOP pakai pelitup muka di tempat awam.

NUR INTAN SYAQILLA NORAZLAN

Ini sekali gus menjawab persoalan netizen mengenai anak ketiga daripada lima beradik itu memakai pelitup muka seperti yang dirakamkan di dalam gambar.

"Walaupun musim banjir, tetap kena ikut SOP (prosedur operasi standard) pakai pelitup muka di tempat awam. Nanti kena kompaun pula sebab tak patuh SOP," tambahnya.



Intan menjelaskan dia tidak bermain banjir sebagaimana yang disangka netizen.

Intan yang tinggal berdekatan Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand berharap keadaan banjir di Kelantan kembali pulih.

"Harap keadaan semakin pulih, setakat hari ini (Rabu), limpahan air dah surut ke paras lutut.

"Saya berterima kasih kepada semua yang mendoakan keselamatan saya termasuk mereka yang memberikan pujian," katanya sambil menambah posting berkenaan telah dipadam bagi mengelakkan komen-komen negatif segelintir netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain