BERTEMU dengan golongan gelandangan seperti sudah sebati dalam kehidupan sehariannya, tidak kira masa mahupun tempat. Kalau tak bergerak dalam kumpulan sekalipun, dia sering kali menjadi insan terpilih untuk berjumpa dengan mereka yang kurang bernasib baik ini. Begitulah kisah seorang pemuda ini apabila seorang warga emas berbangsa Cina menghampirinya untuk meminta sedekah sebelum berkongsi cerita. ARTIKEL BERKAITAN: “Dia dah tak boleh fikir apa dah” - Lelaki ini kongsi kisah tragis berdepan gelandangan kematian ibu selepas 3 minggu merempat tak dapat kerja di KL ARTIKEL BERKAITAN: Gelandangan hilang kerja tak sendirian selepas kisah sedihnya dikongsi pemandu lori - “Tak ada wang, saya hanya tinggalkan nombor telefon” "Baru nak masuk kereta uncle ni datang minta duit bagi tahu nak makan dan tunjuk tempat tidur dia. Rupa-rupanya dia seorang gelandangan. Sebelum ini JKM dah bagi tempat tinggal tetapi dia tak nak. Semoga uncle sihat dan kembali ke rumah JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat)," tulisnya di laman Twitter. Foto dan tweet yang dimuat naik Mohamad Farid Yusoff itu menjadi tular dan rata-rata mendapat pelbagai pandangan dalam kalangan netizen. Tweet yang dimuat naik oleh Farid mengundang perhatian ramai netizen. Pemuda yang berusia 31 tahun itu berkata kejadian itu berlaku pada Selasa lalu kira-kira pukul 6.30 petang apabila dia berhenti membeli makanan buat ibunya di sebuah kedai nasi kandar di Kulim, Kedah. "Banyak komen yang saya terima. Dari dulu saya bantu gelandangan memang akan ada komen positif mahupun negatif. "Kecam itu perkara biasa. Kadang kita tak duduk di tempat mereka dan kita tak rasa. "Selama saya berdepan dengan gelandangan, ini pertama kali saya jumpa gelandangan yang bersih, jaga tempat berteduh dia baik-baik walaupun hanya tidur di kaki lima," katanya kepada mStar. Lelaki gelandangan yang ditemui Farid baru-baru ini lebih selesa menjadikan kaki lima kedai di pekan Kulim sebagai tempat tinggalnya. Anak jati Kulim itu berkata, botol-botol air yang disusun lelaki warga emas berusia 65 tahun itu di tempat tidurnya adalah bekalan mandi, juga kegunaan ketika membuang air kecil dan besar. Walaupun pernah dibantu JKM suatu ketika dulu dengan memberikan tempat tinggal tetapi dia menolaknya dan memilih untuk tinggal bebas di kaki lima. Uncle ini dipercayai tidur di kaki lima, rumah kedai di Pekan Kulim, Kedah. Bagi saya masyarakat perlu faham, apa yang kita boleh bantu, kita bantu. Jangan terlalu negatif terhadap kerajaan mahupun gelandangan ini. MOHAMAD FARID YUSOFF SUKARELAWAN "Kerajaan tak pernah tak tolong, mereka dah jalankan tanggungjawab sebaik mungkin cuma ada ketikanya gelandangan ini yang tolak dan tak mahu tinggal di rumah kebajikan. "Bagi saya masyarakat perlu faham, apa yang kita boleh bantu, kita bantu. Jangan terlalu negatif terhadap kerajaan mahupun gelandangan ini," jelasnya. Farid juga akui ramai yang tidak senang dengan gerakan NGO yang dikendalikannya iaitu Ziarah Amal K2K kerana dikatakan memberi muka kepada golongan ini. Farid merupakan penggerak sebuah badan NGO, Ziarah Amal K2K. "Sejujurnya NGO ziarah ini ditubuhkan untuk mendekati dan memahami mereka, bukannya tolong dengan wang ringgit sahaja, banyak cara kita boleh bantu. Janji ikhlas sahaja. "Maksudnya sambil kita pergi ziarah tu, kita berdakwah tunjuk akhlak yang baik," ujarnya sambil menambah ada dalam kalangan gelandangan yang bekerja cuma nasib tidak menyebelahi mereka untuk hidup sempurna. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!