suria

Ketika remaja pernah bina rumah bersama ayah, kini jejaka 21 tahun hadiahkan dapur baharu buat ibu... hasil tukang sendiri dari A sampai Z

Transformasi dapur di kediaman Fikri mencuri perhatian ramai selepas satu video dikongsi menerusi TikTok.

UNTUNG pandai buat sendiri.

Demikian antara komen netizen berhubung video tular seorang jejaka berusia 21 tahun yang membuat ubah suai dapur kediaman keluarganya di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Menurut Muhammad Fikri Hakimi Mazlan, semua kerja-kerja ubah suai itu dilakukannya sendiri dengan bantuan ahli keluarga yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP ‘berisi’! Bilik bakal guru berubah wajah dengan hanya aktiviti ‘mengklik’, memang terkejut kalau tahu kosnya

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Interior Design jelmakan sentuhan magis di kamar tidur, ibu 'teringin' siap buat permintaan khas - “Ingat tak sempat sebelum raya”

"Sebenarnya dapur dah uzur, dah macam-macam rosak. Jadi saya mula ubah suai dalam bulan November, siap dalam masa sebulan. Baru je beberapa hari lepas siap.

"Saya tukar lantai, table top, kabinet dan juga dinding. Semua saya buat sendiri kecuali kabinet tu, saya dibantu adik dan ayah.

"Kami memang tak upah orang luar. Rumah pun kami buat sendiri. Ayah terlibat dalam kerja pertukangan rumah dan welding.

Selain berniaga kedai makan, Fikri merupakan pelajar USM dalam bidang Perniagaan dan Geografi.

"Rumah yang kami diami sekarang dibuat oleh ayah dan saya serta dibantu adik-adik sekitar enam tahun lepas," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Fikri, dia mendedahkan kos sekitar RM1,000 dalam proses ubah suai itu ditanggung sendiri menggunakan wang simpanannya.

Selain mengusahakan kedai makan sendiri, dia juga kini menyambung pengajian secara jarak jauh (PJJ) dalam bidang Geografi dan Perniagaan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Sebenarnya tak rugi kalau kita melabur pada mak ayah.

FIKRI

"Saya belajar dan bekerja pada masa sama. Berniaga kedai makan pun baru lagi, tak sampai setahun. Untuk ubah suai rumah tu saya guna duit sendiri, duit berniaga.

"Saya buat PJJ sebab nak buat bisnes pada masa sama. Saya mahu konsisten. Kena ada kelayakan akademik dan juga kerjaya.

"Sekurang-kurangnya ada duit poket. Saya pun tak nak lepaskan salah satu antara akademik dan bisnes. Kena ada dua-dua.

Foto sekitar proses ubah suai dapur kediamannya.

"Saya anggap ia hadiah untuk mak. Mak pun ada cakap yang dapur dah uzur. Jadi saya buat yang lain. Saya pun dah lama rancang nak buat," ujar anak sulung daripada empat beradik itu.

Menurut Fikri, dia juga terkejut video ubah suai dapur itu tiba-tiba menjadi tular di aplikasi TikTok.

Wajah baharu dapur di kediaman keluarganya.

Malah, dia bersyukur dengan komen-komen yang diterima dan sempat menitipkan pesanan buat rakan-rakan di luar sana agar tidak kedekut dengan orang tua.

"Saya memang bersyukur, pada masa yang sama saya terkejut. Sebenarnya tak rugi kalau kita melabur pada mak ayah.

"Rezeki akan jadi semakin luas. Jangan kedekut, kita perlukan reda dan keberkatan mereka," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain