MALANG tidak berbau. Insiden kereta terbakar mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen gara-gara pendedahan punca kebakaran tersebut. Begitulah yang dialami seorang pemuda yang berusia 27 tahun apabila dia memuat naik video berdurasi empat saat itu di laman Twitter. ARTIKEL BERKAITAN: Ubah suai sistem Audio antara punca kenderaan terbakar ARTIKEL BERKAITAN: Kereta Guru Hangus, katanya 'powerbank' jadi punca "Saya nak bagi pengajaran sahaja mengenai video kebakaran kereta itu, tetapi saya pula yang kena hentam," tulisnya di laman Twitter. Menurut Mohd Haffiz Azmi , ramai yang tidak percaya sebenarnya 'adapter' atau lebih mudah difahami kepala charger adalah punca kejadian kereta terbakar di sebuah taman perumahan di Kuantan, Pahang sehinggakan ada yang mengecam dirinya dan mempertikaikan alasannya itu. Perkongsian Haffiz di laman Twitter. Sehingga kini perkongsian video pemuda berasal dari Kuantan, Pahang itu telah meraih 6,000 tweets dan 4,000 likes. "Ramai mempersoalkan punca kebakaran tersebut. Seolah-olah saya tiada disitu. "Saya yang rakam video itu, tak lama pun empat saat sahaja. Selepas itu saya pergi tolong mereka. "Ramai pula nak kecam saya dan berdebat isu tersebut," ujarnya. Bercerita kepada mStar, Haffiz berkata kejadian itu berlaku pada Ahad lalu, kira-kira pukul 1.30 petang di Taman Impian Kampung Padang di Kuantan. Jelas Hafizz, kereta itu terbakar disebabkan kepala charger itu terdedah kepada cahaya matahari sehingga ia cair. Malahan, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri juga telah membuat pengesahan itu apabila mereka mengesan punca utama kebakaran tersebut. Keadaan kereta selepas kebakaran berjaya dipadamkan. Katanya, ketika kejadian, kereta itu bukan dalam keadaan start dan pemilik serta ahli keluarga lain ada di dalam rumah. "Tiba-tiba sahaja terbakar dan apabila bomba maklumkan punca kejadian, semua agak terkejut. "Ada yang tak faham, ingat saya cakap tempat cas dalam kereta tu. Sebenarnya kepala charger itu ada di bahagian belakang dekat cermin. Dek kerana terlampau panas terdedah cahaya matahari, kepala charger itu mula cair dan keluar api. "Mungkin sebab ada tuala dan sebagainya yang dekat dengan kepala charger jadi api merebak dengan cepat. "Yang mana tak faham tu sama macam kepala charger," ujarnya berseloroh. Sebenarnya kepala charger itu ada di bahagian belakang dekat cermin. Dek kerana terlampau panas terdedah cahaya matahari, kepala charger itu mula cair dan keluar api MOHD HAFFIZ AZMI Haffiz yang masih belum berkahwin dan bekerja sebagai jurugambar berkata kejadian itu berlaku di hari pertunangan salah seorang pelanggannya. Kereta yang terbakar tersebut dipercayai milik abang kepada pelanggannya yang bernama Nadia. Haffiz bertugas sebagai jurugambar. "Saya ada disitu sebab saya jurugambar majlis pertunangan pelanggan saya. Kereta itu milik pihak lelaki yang berasal dari Kedah dan datang ke Pahang untuk majlis itu. "Sebaik selesai majlis dan ketika semua nak balik, tiba-tiba masa pemilik kenderaan nak buka pintu kereta tengok dah penuh dengan asap. "Semua terkejut, ramai juga datang tolong termasuk jiran di kawasan perumahan itu. "Saya pun tolong, cuma saya tak tanya banyak sangat sebab saya orang luar tak nak masuk campur," ujarnya. Dalam pada itu, Haffiz berkata dia tidak kisah jika netizen mahu mengecam dirinya kerana baginya, netizen ini ibarat bila berita itu A, dia mahu jawapan B. Dia cuma berharap selepas ini masyarakat boleh mengambil iktibar dari insiden ini kerana mungkin punca kebakaran tersebut seperti tidak logik tetapi itulah hakikatnya. "Niat saya ambil video itu cuma nak bagi pengajaran. Tetapi netizen ni lebih-lebih pula kadang tu. "Ada yang tanya kenapa tak ambil video penuh. Saya bukan instafamous nak buat video jalan cerita penuh-penuh ni," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!