suria

Kontrak kerja tak disambung, bisnes pertama pula berdepan dugaan... 5 hari buka gerai di Shah Alam, satu sejadah pun tak laku – “Abang sampai nak balik Melaka”

(kiri) Gerai menjual sejadah yang lengang tanpa pengunjung. (kanan) Siti Sab memegang 10 sejadah yang ditempah pelanggan susulan perkongsiannya mengenai abang, menjadi tular.

TANPA diduga, gerai menjual sejadah di sebuah pusat beli-belah popular di Shah Alam, Selangor tidak mendapat sambutan.

Sudah pasti kekecewaan itu dirasai oleh peniaga yang saban hari mengharapkan jualan laris.

"Hari ni hari kelima abang aku berniaga buka gerai. Tak ada jualan dia khabar. Hari-hari balik muka kecewa," kongsi seorang adik menerusi ciapan di laman Twitter sehingga diulang kicau lebih 6,000 kali.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir 2 tahun stok baju kurung masih tak laku, ibu pula dijemput ilahi... pesanan arwah suntik semangat anak sulung, pastikan bisnes bundle jadi kenyataan!

ARTIKEL BERKAITAN: Sepatutnya gembira bisnes 'kencang' selepas diberhentikan kerja, anak terkejut ibu sedih dapat tahu tweet promosi pastri blow up

Bercakap kepada mStar, adik berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Sab berkata, abangnya, Hashim Ab Aziz, 48, baru menjalankan perniagaan sejadah sejak dua bulan lalu.



Abang Siti Sab menjalankan perniagaan buat pertama kali.

Wanita berusia 29 tahun itu memberitahu, kontrak abangnya yang bekerja di sebuah syarikat minyak dah gas selama lebih sedekad tidak diperbaharui.

"Sejak lebih setahun lalu, abang melakukan pelbagai kerja sampingan untuk menyara pendapatan keluarga. Dan baru dua bulan lalu, abang tergerak hati untuk berniaga.

"Ini adalah bisnes pertama dia, tapi tak sangka dugaan yang dilalui begitu hebat apabila berhati-hari tiada jualan. Dia hampir putus asa," katanya kepada mStar.

Siti Sab berkata, abangnya yang menetap Serkam di Jasin, Melaka dan sanggup mengembara sejauh hampir 200 kilometer untuk merebut peluang berniaga di pusat beli-belah.



Antara beg sejadah yang dijual di gerai.

"Abang mencuba nasib kerana mencari peluang untuk berniaga. Malangnya, tiada sambutan... lima hari buka gerai, satu sejadah pun tak terjual.

"Dia sanggup berjauhan dengan isteri dan anak-anak di rumah, demi mencari rezeki sambil dibantu oleh dua lagi anaknya," katanya sambil menambah abangnya merupakan bapa kepada lima anak.

Saya percaya abang mempunyai semangat yang kuat untuk meneruskan perniagaannya meskipun ada cabaran dan dugaannya

SITI SAB

Mempunyai pengalaman berniaga secara dalam talian sejak empat tahun lalu, Siti Sab sebagai adik banyak memberikan sokongan moral kepada abangnya.

"Bayangkanlah, abang hampir putus asa dan nak balik ke Melaka sebab tak ada jualan. Tapi dia terpaksa bertahan kerana tak boleh nak refund untuk sewa gerai yang telah dibayar.

"Abang ni pemalu dan dia tidak biasa dengan bisnes online. Jadi, saya bantu sedikit-sebanyak bagi melancarkan operasi perniagaannya," katanya yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan.



Siti Sab memberi sokongan kepada abangnya mengusahakan bisnes sejadah.

Anak bongsu daripada 11 beradik itu bagaimanapun tidak menyangka perkongsiannya mengenai abangnya yang merupakan anak keempat itu menjadi tular.

"Ramai mula mengenali produk sejadah yang dijual abang. Ini terutama keadaan pandemik Covid-19, SOP (prosedur operasi standard) memerlukan setiap orang supaya membawa sejadah sendiri untuk bersolat.

"Selain beberapa pelanggan baharu datang membeli di gerai, ada seorang pengguna Twitter yang sudi menempah sehingga 10 sejadah yang dijual abang.

"Sediki-sebanyak, perkembangan positif itu menggembirakan abang sekali gus memberikan semangat untuk dia untuk terus berniaga," tambahnya.



Siti Sab (kiri) bersama abangnya, Hashim.

Menurut Siti Sab yang merupakan ibu kepada dua anak, susualan insiden yang berlaku, abangnya dapat menimba pengalaman daripada kesukaran yang dilaluinya.

"Tiada yang mudah dalam mana-mana bisnes, apatah lagi di peringkat awal. Begitulah yang terpaksa dilalui abang pada masa ini.

"Namun, saya percaya abang mempunyai semangat yang kuat untuk meneruskan perniagaannya meskipun ada cabaran dan dugaannya," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain