suria

Gempar! Penduduk kampung seram, takut keluar malam gara-gara ‘pocong’ – “Misteri macam pintu rumah kena ketuk”

Tangkapan skrin video yang dirakamkan oleh seorang pembonceng motosikal, menunjukkan objek menyerupai pocong.

"JALAN-jalan guys," kedengaran suara seorang gadis yang dipercayai membonceng motosikal bersiar-siar bersama seorang lagi individu, pada lewat petang.

Bagaimanapun, nada teruja itu bertukar terkejut apabila rakaman yang menunjukkan pergerakan menghadap kawasan hutan mengesan objek misteri.

Visual yang dikatakan merakamkan kejadian yang berlaku di sebuah kampung di Sarawak menunjukkan kelibat lembaga putih menyerupai hantu pocong.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh! Selepas Sabak Bernam, misteri ketukan pintu didakwa beralih ke Negeri Sembilan... penduduk dinasihat 'jika diketuk 7 kali jangan buka', ini jawab Rukun Tetangga

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kelibat di tingkap terbongkar, gadis dedah adiknya sanggup patah balik kerana 'hijab terbuka',"Kucing tenung lama-lama, saya meremang"

Susulan kejadian itu, seorang wanita yang juga antara penduduk setempat berkongsi video tersebut di laman sosial berkata, dia menerima rakaman tersebut menerusi aplikasi grup WhatsApp rakan-rakannya pada minggu lalu.



Kelibat putih yang menggemparkan penduduk kampung.

Hanya mahu dikenali sebagai Nasha, katanya, susulan penularan video tersebut, berlaku kekecohan di kampungnya di Kampung Awat-Awat di Lawas, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dan andaian.

"Habis viral video tu satu kampung. Rakaman video tu memang seram. Saya sendiri memanglah rasa seram bila dengar cerita-cerita pelik macam ni.

"Rasa takut dan seram tu macam kisah viral kat Semenanjung, yang misteri macam pintu rumah kena ketuk. Itupun saya seram dengar," katanya kepada mStar.



Hasil pemeriksaan penduduk kampung mendapati ia adalah kain bungkus.

Wanita berusia 33 tahun itu berkata, pada mulanya penduduk kampung ingat ia adalah satu jelmaan sehingga ramai yang takut keluar rumah pada waktu malam.

Setelah disiasat oleh penduduk kampung, katanya, kejadian berlaku di sebuah kampung di kawasan pekan Sundar di Lawas, dekat jalan menghala ke Kampung Awat-Awat.

Masih ada kain bungkus tu yang dibuat oleh penduduk tempatan, tapi tidak diketahui siapa yang melakukannya

NASHA

"Dari malam video tu viral, ramai penduduk yang pergi tengok benda untuk memastikan kesahihannya selepas waktu Subuh.

"Rupa-rupanya benda tu adalah kain putih yang dibungkus seperti pocong yang dibuat orang untuk menakutkan pencuri," katanya sambil menambah bahawa kampung tersebut terletak kira-kira enam kilometer dari rumahnya.



Antara mesej penduduk kampung yang menjelaskan motif kewujudan 'pocong'.

Tambahnya, objek yang menyerupai pocong itu digantung di kawasan paya bakau, yang terletak berdekatan dengan sebuah Taska, yang dilaporkan berlaku kes kecurian.

"Kat sana ada Taska, dengar cerita yang hilang adalah TV LCD, tong gas dan barang-barang makanan.

"Kawasan berdekatan hanya ada Taska, tiada rumah. Tempat yang ada gantung kain bungkus tu kawasan paya pakau," ujarnya.



Kain bungkus yang digantung di kawasan paya bakau.

Walaupun kain berbungkus itu untuk menakutkan pencuri, Nasha yang merupakan peniaga berkata, sesiapa yang melihat objek tersebut tetap berasa takut dan seram, terutama pada waktu malam.

"Masih ada kain bungkus tu yang dibuat oleh penduduk tempatan, tapi tidak diketahui siapakah yang melakukannya.

"Memang seram, tapi dapat jadi idea untuk orang lain boleh tiru macam ni bagi mana-mana kawasan yang banyak pencuri tu," ujarnya secara berseloroh namun menjelaskan individu di sebalik 'pocong' itu masih menjadi misteri.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain