suria

Wajah dikatakan mirip Ashraf Sinclair, tapi tuan badan tak rasa sama... ada yang siap suruh jumpa BCL! - “Netizen pula kata iras Aeril Zafril, Izzue Islam... Jonny Depp pun”

Wajah Fauzi dikatakan mirip Allahyarham Ashraf Sinclair (kiri) dan Johnny Depp (kanan).

PASTI ramai yang pernah mendengar kata-kata bahawa setiap manusia mempunyai tujuh kembar di dalam dunia.

Sejauh mana kebenaran kata-kata ini, tiada siapa yang dapat mengesahkannya.

Namun begitu, kemunculan seorang jejaka berambut paras bahu lengkap dengan misai dan janggut, mencuri tumpuan ramai apabila wajahnya dikatakan mempunyai iras pelakon popular kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Allahyarham Ashraf Sinclair.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki wajah mirip Tok Ti, gadis guna duit untung jual tudung sambung ijazah - “Mak pun cakap ada iras sikit”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sia-siakan suara macam Syed Saddiq, pelajar rancak main TikTok - “Pensyarah pun cakap sama”

Menerusi satu video yang dimuat naik di laman Instagram dan TikTok, jejaka ini turut menyertakan gambarnya dan Allahyarham untuk dinilai sendiri netizen.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, jejaka bernama Fauzi Zulkifli berkata, video berkenaan dimuat naik secara suka-suka sebagai menjawab komen yang diterimanya daripada seorang pelayar yang bertanya mengapa wajahnya mirip suami kepada selebriti terkenal, Bunga Citra Lestari (BCL) itu.

"Sejujurnya, saya merupakan peminat Allahyarham Ashraf. Saya mula menonton lakonannya dalam filem Gol dan Gincu. Saya suka dengan personalitinya, pembabitannya dalam bidang seni dan bisnes, serta kehidupan berkeluarga.



Ramai kenalan dan pengikut Fauzi mengatakan wajahnya mirip Allahyarham Ashraf Sinclair.

"Namun, saya secara peribadi tidak nampak persamaan di antara kami. Bagi saya sendiri, Allahyarham adalah jauh lebih baik jika nak dibandingkan dengan saya," kata pemudia berusia 26 tahun ini.

Menurut Fauzi, dia mula ditegur mengenai persamaan wajah itu ketika masih menuntut di sekolah menengah.

Malah, perkara itu berlanjutan apabila dia mula menjejakkan kaki ke dalam bidang pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

"Selepas saya graduate, saya ada bekerja dengan sebuah syarikat di Bangsar South, dan di situ saya ditempatkan di bahagian Uber Indonesia di mana saya bertemu ramai sekerja dari negara itu.



Fauzi (kanan) secara peribadi amat meminati bakat lakonan serta personaliti Allahyarham Ashraf.

"Satu ofis panggil saya Ashraf berbanding nama sebenar saya. Sekarang walau dah tak bekerja di situ, kalau terjumpa bekas rakan sepejabat, mereka tetap panggil Ashraf.

"Di komen-komen pula, ada yang sampai suruh saya bertemu dengan BCL. Sebenarnya saya sendiri dulu ada impian nak bertemu dengan Allahyarham Ashraf tapi tak ada rezeki," kata Fauzi yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman (F&B) serta dandanan rambut, sejak hampir dua tahun lalu.

Selain disamakan dengan Allahyarham Ashraf, Fauzi berkata ada juga netizen yang mendakwa wajahnya mempunyai persamaan dengan selebriti Malaysia seperti Aeril Zafril dan Izzue Islam.

"Tapi yang saya tak sangka, ada kata wajah saya ada persamaan dengan Johnny Depp. Mungkin sebab stail rambut... kadang-kadang penampilan saya berbeza-beza.

"Bila ditegur ada persamaan dengan mana-mana selebriti, saya tak tahu nak beri respon. Lagipun bukan saya sendiri yang kata, tapi orang lain yang kata," kata jejaki yang berasal dari Muar, Johor ini.

Tujuan saya muat naik itu sekadar suka-suka, biar netizen yang buat penilaian sendiri. Namun daripada situ, saya dapat melihat perbezaan reaksi yang pelbagai.

FAUZI ZULKIFLI

AHLI PERNIAGAAN

Dalam pada itu, Fauzi mengakui dia turut tidak terkecuali menerima komen negatif selepas video yang dimuat naik itu menjadi tular.

"Ada yang kata 'perasan'. Tapi saya tak ambil hati pun sebab saya sendiri tak pernah cakap dan tak rasa wajah kami sama.

"Tujuan saya muat naik itu sekadar suka-suka, biar netizen yang buat penilaian sendiri. Namun daripada situ, saya dapat melihat perbezaan reaksi yang pelbagai.

"Dan saya juga dapat melihat bagaimana perbezaan komen antara netizen Malaysia dan Indonesia," katanya.

Bercerita mengenai sedikit mengenai salasilah keluarga, anak keempat daripada enam adik beradik ini berkata, dia sememangnya mempunyai beberapa darah kacukan.



Fauzi kini menceburi bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B) dan juga dandanan rambut.

"Datuk di sebelah ayah berdarah Pakistan, nenek saya pula orang Singapura berdarah Bugis. Manakala moyang saya berkahwin dengan sorang wanita Indonesia dan saya ada ramai kaum kerabat di sana," ujarnya.

Sebagai seorang peminat kepada Ashraf Sinclair, Fauzi mengakui pemergian mengejut pelakon itu pada 18 Februari lalu turut memberi kesan kepada dirinya.

"Sejujurnya, saya sangat terkejut dan seharian saya tak ceria kerana masih tak percaya.

"Bagi siapa-siapa yang kata wajah saya mengingatkan mereka kepada Allahyarham, atau setiap kali teringat kepadanya, hadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham. Itulah yang sebaik-baiknya," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain