SETIAP kali karya lukisannya muncul di laman sosial, banyak mata yang terpaku akan keindahan seni halus itu. Lebih menarik, pemilik jari jemari kreatif yang gemar melukis permandangan laut itu adalah seorang doktor yang bertugas di sebuah hospital di Sarawak. Menerusi temubual bersama mStar, Nurul Anati Zainal, yang juga petugas barisan hadapan wabak Covid-19 sempat bercerita mengenai hobinya itu. ARTIKEL BERKAITAN: Karya atas kanvas raih perhatian ramai, rupa paras pelukis turut dipuji - “Sampai sekarang saya anggap diri beginner” ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Nak tengok lukisan atau pelukisnya dulu? - “Cantik itu subjektif” "Minat sejak zaman kecil lagi, sebab ayah saya pun berkebolehan melukis. Saya juga pernah menyertai pertandingan melukis waktu sekolah dulu. "Nak dijadikan cerita, perjalanan nak jadi doktor itu bukanlah mudah. Saya lalui latihan selama dua tahun. "Saya kerja 12 ke 14 jam sehari sewaktu dalam housemanship suatu masa lalu, nak makan pun tak sempat. Tapi pada hari cuti, saya tak suka tidur. Anati bersama hasil lukisannya. "Saya akan habiskan masa dengan melukis, ia membolehkan saya menghilangkan stress kerja," ujarnya wanita berusia 27 tahun yang berasal dari Ampang, Selangor ini. Bercerita mengenai lukisan berinspirasikan laut yang banyak dihasilkannya, dia yang mesra disapa Anati mengakui cuba mengubah fobia dirinya kepada sesuatu yang lebih positif. Ujarnya, dia cukup fobia dengan lautan dalam, namun mengambil pendekatan kreatif dan cuba menghasilkannya dalam gambaran yang lebih indah. Saya tak pernah merancang untuk jual pun sebenarnya. ANATI "Bermula tahun ini saya banyak buat lukisan akrilik dan cat minyak. Saya suka buat lukisan berkonsepkan laut. Ia menenangkan diri saya. "Saya sebenarnya takut laut yang dalam, ada fobia terhadap laut. Tapi saya ubah dan jadikan ketakutan itu sebagai satu benda yang mendamaikan jiwa. "Daripada kita takut isi laut dalam itu, lebih baik kita nikmati keindahan yang ada pada permukaannya," ujar Anati yang sudah mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu. Ujarnya, suami juga banyak memberi sokongan termasuklah mencadangkan agar karya dihasilkannya dikongsi di media sosial. Anati meminati seni lukisan sejak kecil lagi. Bertitik tolak di situ, dia mula meraih perhatian ramai sehingga ada yang berminat untuk membeli lukisan-lukisannya. "Saya tak pernah merancang untuk jual pun sebenarnya. Masa mula-mula tu kawan-kawan yang beli. Kemudian suami minta saya post di Twitter. "Alhamdulillah, ramai yang respon. Tak pernah sangka orang akan hargai karya seni saya. Dari situ saya cuba jual dan ia mendapat sambutan agak hangat," ujarnya. Kata Anati, dia sudah menjual sekitar 14 keping lukisan sepanjang tahun ini. Antara karya lain yang dihasilkannya. "Kepada sesiapa yang ikuti media sosial saya, Alhamdulillah dan terima kasih. "Kepada sesiapa yang nak cuba bidang ini, teruskan usaha. Kemahiran tak datang dalam masa sehari, ia mengambil masa yang lama. "Tapi sekarang saya berehat melukis seketika, sibuk dengan tugasan di hospital termasuklah yang berkaitan Covid-19. "Ada orang tanya, bila nak hasilkan lukisan baharu? InsyaAllah, saya akan kembali melukis tak lama lagi," ujarnya mengakhiri bicara. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!