suria

“Saya trauma, semua anak lahir pramatang” - Berat ujian ibu muda ini... hilang dua zuriat hanya berselang 9 bulan

Seorang ibu muda berkongsi kisah dukanya diuji dengan kehilangan dua bayi pada 2020.

TAHUN 2020 merupakan tahun duka bagi semua gara-gara pandemik Covid-19.

Bagi wanita ini, tahun 2020 juga merupakan tahun yang pasti tidak akan dilupakan seumur hidupnya kerana kehilangan dua cahaya mata.

Kehilangan dua bayi yang dikandung gara-gara tidak cukup bulan ketika dilahirkan pastinya perit apatah lagi hanya berselang sembilan bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Usia kandungan masuk minggu ke-24, wanita ini mula takut... semuanya kerana peristiwa hitam hamil anak pertama - “Saya cuba pastikan ia tak berlaku lagi”

ARTIKEL BERKAITAN: Peritnya 5 tahun menunggu, diperli gemuk punca sukar hamil... akhirnya impian terkabul pada usia 36 tahun - “Saya tutup mulut-mulut orang...”

"Penutup tahun 2020... Allah hadirkan dua orang anak syurga. Suka duka silih berganti. First anak syurga 31 Mac 2020, second anak syurga 29 Disember 2020. Terima kasih pernah hadir dalam hidup umi dan ayah," demikian coretan wanita ini di Facebook, sehingga meruntun hati netizen.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Sakinah Izzatie Nasri berkata kedua-dua bayinya itu merupakan anak ketiga dan keempat yang dilahirkan pramatang ketika kandungan berusia sekitar 20 minggu.



Posting meruntun hati dikongsi Sakinah membuatkan rata-rata netizen turut sebak.

"Anak syurga saya yang pertama meninggal dunia pada 31 Mac 2020, masa tu kandungan 20 minggu. Awal saya mengandungkan dia, kandungan saya tiada masalah apa sampai la tarikh 30 Mac.

"Hari appointment hospital di mana saya kena periksa perut setiap bulan, doktor scan dan check jalan dah buka 2cm. Terus saya admit wad dan buat cervical cerclage (jahitan pangkal rahim) hari yang sama.

"Keesokannya turun lendir dan darah, bukaan makin buka dari 2cm ke 4cm. Saya selamat melahirkan bayi perempuan syurga seberat 400 gram dan bayi meninggal selepas dilahirkan," kata ibu muda berusia 23 tahun ini.



Anak keempat Sakinah meninggal dunia selepas dua jam dilahirkan.

Belum pun kesedihan kehilangan cahaya mata ketiga reda, wanita ini sekali lagi diuji apabila kandungan keempatnya turut menerima nasib yang sama.

"Anak syurga kedua saya pun lalui nasib yang sama macam anak syurga pertama. Pada 29 Disember sakit makin kerap dan saya dipaksa bersalin. Tepat jam 12.05 tengah hari saya melahirkan anak lelaki seberat 370 gram dan baby meninggal setelah 2 jam dilahirkan," ceritanya.

Sedang melalui tempoh berpantang, wanita yang senang disapa Sakinah ini hanya mampu mengubati kerinduan terhadap kedua-dua bayinya dengan menziarahi pusara dan menatap barangan kelengkapan yang sudah disediakan bagi menyambut kelahiran mereka.

"Apa yang menguatkan semangat saya, sudah tentulah suami... dia yang tak henti-henti memberi kata semangat pada saya. Begitu juga sokongan daripada kawan-kawan rapat dan keluarga sendiri.

Ya saya trauma untuk kandungan seterusnya sebab anak-anak saya semua dilahirkan pramatang dan dua daripadanya meninggal dunia.

NUR SAKINAH IZZATIE NASRI

IBU

"Saya kongsikan kisah ini di media sosial sebagai kenangan yang terindah untuk diabadikan. Saya perlukan sokongan moral daripada kawan-kawan Facebook supaya mendoakan yang baik-baik untuk diri ini," ujarnya.

Berdepan pengalaman empat kali kehamilan pramatang termasuk anak pertama dan kedua yang dilahirkan ketika kandungannya masing-masing berusia 27 dan 29 minggu, Sakinah tidak dapat menolak timbulnya perasaan bimbang dan fobia untuk melalui kehamilan seterusnya.

"Ya saya trauma untuk kandungan seterusnya sebab anak-anak saya semua dilahirkan pramatang dan dua daripadanya meninggal dunia.

"Ia membuatkan saya takut dan saya tak merancang untuk mengandung lagi dalam masa terdekat ni. Kalau boleh biarlah dua tahun ke atas atau lebih untuk saya mengandung semula," ujarnya.



Sakinah sering menziarahi pusara dua anak syurganya bagi melepaskan rasa rindu.

Reda dengan ujian yang dihadapi, Sakinah bagaimanapun bersyukur kerana mampu memeluk dan menatap anak sulung dan keduanya yang kini berusia empat dan tiga tahun.

"Apa yang saya nak sampaikan di sini, supaya wanita lebih peka dengan kehamilan dan selalu ikut saranan doktor demi memastikan ibu dan bayi sentiasa sihat dan selamat sehingga melahirkan, insyaAllah.

"Saya nak ucapkan ribuan terima kasih pada kawan-kawan di Facebook yang tak henti-henti mengucapkan salam takziah pada saya dan suami. Terima kasih kerana ambil berat pasal saya dan anak.

"Semoga kalian dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan semua insyaAllah," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain