suria

14 pelajar universiti terjerat dengan seorang ejen rumah sewa, deposit lesap kunci tak dapat! - “Kami menangis mana nak tidur malam pertama”

(kiri) Rumah sewa yang dijanjikan. (kanan) Kemudahan lampu dan kipas masih tidak dipasang selepas bayaran deposit dibuat.

SEKUMPULAN pelajar universiti tidak menyangka hasrat untuk menyewa sebuah rumah buat pertama kali berakhir dengan nasib malang.

Rumah sewa yang dijanjikan bukan sahaja masih belum dilengkapi katil untuk penyewa, malah tiada kemudahan elektrik dan air.

Lebih menyedihkan apabila kunci rumah sewa tidak diberikan meskipun mereka telah membayar deposit berjumlah hampir RM4,000.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Penyewa dari neraka' memang wujud! Pemilik perlu 'daki' timbunan sampah cecah siling nak masuk rumah... siap pakej haiwan, bangkai

ARTIKEL BERKAITAN: 7 tahun menyewa atas ihsan pemilik, kumpulan pelajar perempuan tak pernah cuci langsir, tuala wanita lekat di tingkap,"Ingat ni muzium seni ke?"

Salah seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Nurin berkata, dia bersama 13 rakan menyewa sebuah rumah berkonsepkan town house dua tingkat dengan empat bilik di Nilai, Negeri Sembilan.



Iklan rumah sewa yang menarik perhatian sekumpulan pelajar.

Pelajar berusia 20 tahun itu memberitahu, mereka baru pertama kali mahu menyewa di luar kampus kerana sebelum ini diberikan kemudahan asrama oleh pihak universiti bagi tahun pertama pengajian.

"Kami jumpa seorang lelaki yang jadi ejen untuk rumah sewa tu. Masa datang mula-mula tu lampu, kipas dan meter air pun tak ada sebab kawasan perumahan baharu.

"Tapi katanya pemasangan segala kemudahan termasuk pengubahsuaian akan dibuat sepanjang tempoh cuti semester kami," katanya kepada mStar sambil menambah bahawa bayaran deposit telah dibuat pada September lalu.

Nurin berkata, pengajian untuk sesi baharu sepatutnya dibuka pada November lalu bagaimanapun diteruskan secara dalam talian berikutan arahan yang dikeluarkan oleh pihak universiti kerana peningkatan kes Covid-19.



Individu yang didakwa berurusan dengan mereka untuk rumah sewa.

"Tapi pada pertengahan November, kami dapat notis untuk kembali mengikuti pengajian di universiti pada Disember. Kami call dia (ejen) untuk minta kunci rumah, tapi dia tak muncul seperti yang dijanjikan dengan pelbagai alasan.

"Tiga hari berturut-turut dia bagi alasan dan dia masih tak bagi kunci rumah sewa. Bayangkan sebahagian daripada kami datang dari kampung nak masuk rumah, tapi tak dapat.

"Antara kami menangis fikir mana nak tidur malam pertama sampai di Nilai hari tu. Mujur ada kawan-kawan lain yang menyewa berdekatan sudi menumpangkan kami sementara mendapat kunci rumah sewa," katanya dengan nada kesal.

Apa yang menjadi tanda tanya adalah milik siapakah rumah yang kononnya nak disewakan tu. Sebab dia tak nak bagi kunci rumah tapi pintu rumah tak berkunci.

NURIN

Selepas mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan lain yang merupakan bakal penyewa, Nurin yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor memberitahu, mereka memutuskan untuk tidak mahu menyewa di rumah tersebut dan menuntut bayaran balik deposit.

"Ada antara kami datang semula ke rumah sewa tu pada Disember lalu untuk ambil barang-barang yang kami tinggalkan pada Ogos sebelum bercuti. Tapi rumah tak berkunci.

"Tapi apa yang paling mengejutkan adalah kipas dan lampu masih belum dipasang selepas tiga bulan. Katil lagilah tak ada. Kami rasa dah tertipu dengan lelaki ini," ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.



Tiada pengubahsuaian atau pemasangan kemudahan dibuat selepas lebih tiga bulan.

Susulan perkongsian kisah rumah sewa dikongsikan mereka di laman sosial menjadi tular, jelasnya, beberapa individu turut mendakwa ditipu dengan lelaki yang sama seperti tidak membayar hutang seperti yang dijanjikan, malah tidak membayar sewa rumahnya sendiri.

Menurut Nurin, dia bersama rakan-rakan merancang untuk membuat laporan polis sekiranya lelaki berkenaan masih berdolak-dalik untuk memulangkan semula bayaran deposit.

"Kami sebelum ini tiada pengalaman menyewa rumah, dan perkara yang berlaku dijadikan sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati. Kerana terlalu percayakan orang sampai tak ambil kunci rumah walaupun bayaran deposit telah dijelaskan.

"Namun, apa yang menjadi tanda tanya adalah milik siapakah rumah yang kononnya nak disewakan tu. Sebab dia tak nak bagi kunci rumah, tapi pintu rumah tak berkunci. Adakah dia ejen atau ia sebenarnya rumah kosong?" katanya sambil menambah sebahagian mereka terpaksa menyewa di rumah sewa yang baharu susulan kejadian itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain