SEJAK seminggu lalu, beberapa negeri dilanda hujan lebat saban hari sehingga mengakibatkan banjir yang teruk terutamanya di Pantai Timur yang menyaksikan belasan ribu mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. Selain itu, beberapa jalan utama juga telah ditenggelami air antaranya Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menyebabkan ribuan kenderaan terkandas dan terpaksa melalui jalan alternatif untuk pulang ke destinasi masing-masing. Jika disoroti laman sosial, rata-rata pelayar berkongsi keadaan jalan yang sesak teruk ketika melalui jalan kampung selepas keluar LPT untuk pulang ke ibu kota, baru-baru ini. ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kerja biasa-biasa’, tapi grup anak muda ini semangat membara nak tolong orang susah - “Ada yang baru keluarkan duit BPN, mereka sanggup derma” ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan mat rempit kumpul duit sendiri tolong keluarga susah 'terlepas pandang' ketika PKP - “Kami tak kisah orang sangka buruk” Dalam pada itu, antara perkongsian yang mengundang perhatian netizen adalah tindakan anak muda di sebuah Felda di Pahang yang menunggu di tepi jalan untuk mengagihkan makanan dan minuman kepada pengguna jalan raya yang melalui perkampungan mereka. Malah, video kumpulan anak muda dari Felda Lakum, Lanchang ini turut tular sekaligus mengundang pujian warga maya. Ketika dihubungi mStar, Mohd Rohaizanizam Mat Rodzi selaku Ketua Belia Felda Lakum berkata, idea untuk mengagihkan makanan itu timbul secara spontan selepas melihat banyak kenderaan memasuki perkampungan mereka. Sekumpulan belia Felda Lakum berdiri di tepi jalan berhampiran simpang masuk kawasan perumahan mereka untuk mengagihkan makanan kepada pengguna jalan raya. "Ketika itu kebetulan anak-anak buah saya tengah beriadah main bola tampar, mereka nampak banyak sangat kereta luar masuk, mungkin nak mencari makanan sebab lama terkandas di jalan raya. "Jadi kami pun bincang, dan akhirnya pakat-pakat kumpul duit seorang sedikit untuk beli roti dan air mineral. Sedikit sebanyak ia dapat mengalas perut mereka," katanya yang berusia 37 tahun ini. Tambah Mohd Rohaizanizam, agihan makanan tersebut dimulakan pada pukul 6 petang sehingga tengah malam, memandangkan pada waktu itu kenderaan masih bertali arus melalui jalan di persimpangan utama Felda Lakum. Lebih 20 anak muda Felda Lakum bergilir-gilir bermula petang sehingga tengah malam untuk mengagihkan makanan dan minuman. "Ketua Pemuda Felda Lakum, Mohd Mustakim Mustafa dan anak-anak buah saya gilir-gilir berada di sana untuk sampaikan bantuan. Nak kata berapa banyak pek roti dan air, memang kami tak kira. Pendek cerita, sampaikan air mineral dan roti di kedai-kedai runcit di Felda Lakum ni habis stok," katanya. Tidak menyangka video mereka tular di media sosial selepas dikongsikan beberapa pengguna jalan raya, dia berharap perkara berkenaan dapat dijadikan teladan dalam kalangan belia lain. Perkara seperti ini tak perlu nak tunggu sesiapa yang mulakan, tak perlu tunggu jadi orang ternama, tapi apa yang termampu...bantulah seikhlas hati. MOHD ROHAIZANIZAM MAT RODZI KETUA BELIA FELDA LAKUM "Tak pernah bayangkan pun sampai jadi viral. Bantuan ini tak seberapa, tapi apa yang kami lakukan ini ikhlas daripada anak-anak Felda Lakum. "Perkara seperti ini tak perlu nak tunggu sesiapa yang mulakan, tak perlu tunggu jadi orang ternama, tapi apa yang termampu...bantulah seikhlas hati. Rasa seperti satu kepuasan apabila dapat bantu serba sedikit," katanya lagi. Terdahulu, video yang dimuat naik oleh seorang pelayar Twitter @AbenHazd yang memaparkan tindakan kumpulan anak muda Felda ini mengagihkan makanan di tepi jalan, menjadi tular sehingga meraih 23,000 retweet. Jalan alternatif Lanchang ke Bentong yang sesak teruk, Isnin baru-baru ini. Menurut pelayar berkenaan, Hazidi Badarudin, video berkenaan dirakam oleh adiknya ketika keluarganya dalam perjalanan pulang ke ibu kota dari Kuantan selepas menghadiri kenduri kahwin. "Saya tidak turut serta ikut mereka. Menurut ibu dan adik, ketika melalui jalan kampung, dari jauh mereka nampak begitu ramai orang di tepi jalan. Ketika sampai dekat, baru nampak rupa-rupanya orang kampung beri makanan. Spontan adik rakam, ayah pula pandu kereta. Perkongsian Hazidi di Twitter yang mengundang perhatian netizen. "Memang terharu sangat... anak buah saya yang berumur lima tahun yang ada sekali dalam kereta gembira sangat dapat roti. Saya muat naik di Twitter sebab nak kongsikan kebaikan hati sesama rakyat Malaysia yang sentiasa hulur bantuan kepada mereka yang dalam kesusahan," katanya sambil menambah, keluarganya tiba di ibu kota selepas menempuh perjalanan selama 11 jam. Dalam pada itu, Hazidi berkata dia dan keluarga pasti tidak akan melupakan bantuan penduduk Felda berkenaan sampai bila-bila. "Saya tahu kampung berkenaan adalah Felda Lakum selepas baca komen-komen orang. Kami sekeluarga doakan agar seluruh penduduk di sana dimurahkan rezeki," katanya lagi. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!