suria

Jenuh kena hentam akhirnya keluarga wanita di jambatan tampil... bukan sampah tapi saka! - “Nak buang ada cara, bukan main lempar”

Tangkap layar daripada rakaman yang tular memperlihatkan seorang wanita membuang bungkusan daripada kenderaannya.

SEJAK Selasa, media sosial kecoh dengan perkongsian klip video memaparkan tindakan seorang wanita yang yang selamba membuang bungkusan plastik daripada kenderaannya ketika berhenti di atas sebuah jambatan di Kelantan.

Menerusi video berdurasi 20 saat yang dirakam oleh seorang pengguna jalan raya, ia memaparkan wanita berkenaan yang 'menjenguk' keluar daripada tingkap keretanya, dan melemparkan dua bungkusan daripada jambatan, dipercayai di Kelantan.

Video berkenaan yang dimuat naik di Facebook kemudian menjadi tular dengan rata-rata netizen mengecam tindakan wanita berkenaan dan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai 'tiada kesedaran sivik'.

ARTIKEL BERKAITAN: Selamba buang sampah dalam sungai, wanita naik kereta plat ‘D’ dikecam netizen

Tidak kurang juga yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai memalukan rakyat negeri Kelantan, merujuk kepada nombor pendaftaran kenderaan dinaikinya yang menggunakan plat 'D'.

Netizen berpendapat tindakan seperti itulah yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai sekaligus dikaitkan dengan bencana banjir yang sering kali membawa bersama sampah sarap dan plastik.

Bagaimanapun selepas mendapat kecaman hebat di media sosial, keluarga berkenaan tampil membuat penjelasan berhubung video tular berkenaan.

Menerusi satu posting di Kelantan Daily, pentadbir laman Facebook berkenaan memaklumkan bahawa keluarga wanita berkenaan memaklumkan bahawa barang yang dibuang bukanlah sampah seperti yang diviralkan.



Penjelasan yang dimuat naik di Facebook Kelantan Daily.

"Sebenarnya mereka baru balik dari berubat di Kuala Krai. Mereka disuruh oleh perawat tradisional supaya membuang barang saka ke dalam arus sungai yang mengalir.

"Jadi itu sebablah kenapa mereka membuang bungkusan itu ke dalam sungai. Mohon semua pihak tolong hentikan menyebar dan memaki hamun keluarga itu. Kasihanilah mereka, ia menyebabkan pesakit tu menangis dan kemurungan. Harap puak-puak kita boleh faham situasi yang mereka alami," demikian tulis pentadbir laman berkenaan.

Bagaimanapun, menerusi ruangan komen, rata-rata netizen mempersoalkan kewajaran berbuat demikian apatah lagi dalam situasi kenderaan yang sedang bergerak.



Antara komen netizen yang mempersoalkan kewajaran tindakan wanita berkenaan membuang daripada atas jambatan, meskipun ia barang perubatan.

"Nak buang ada cara dia, bukan main lempar macam tu. Buang depan orang ramai, banyak kereta pula tu. Benda boleh fikir kot sebelum buang macam tu," komen seorang netizen.

"Berhenti biar molek (elok-elok), kenapa tak turun ke bawah? Orang sekarang kisahkan pencemaran, dia sibuk nak buang dalam sungai," komen netizen lain pula.

"Cara buang tak elok. Sepatutnya berhenti la tepi dulu, baru buang," kata seorang netizen lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain