suria

Cayalah! Usahawan kebasahan sebab jatuh titi terus ‘bangkit’, tetap teruskan misi agih bantuan - “Masa nak naik, saya dah tanya OK ke?”

Kak Raja pada waktu itu sedang membuat agihan bantuan persekolahan buat 11 keluarga memerlukan di kawasan berkenaan.

MALANG tidak berbau.

Begitulah kisah melibatkan tiga individu apabila titi yang dinaiki patah, menyebabkan mereka terjatuh ke kawasan air.

Rakaman itu turut dikongsi menerusi aplikasi TikTok sehingga menerima puluhan ribu tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Kelantan akui terlalu memilih... kini cikgu bahasa Arab buang rasa malu, cari jodoh di Twitter - “Adik pun dah kahwin”

ARTIKEL BERKAITAN: Fuh macam ninja! Oppa Kelantan anggap kemahirannya potong sayur laju-laju biasa je, tapi ramai kagum dan terhibur - “Pelik ke benda macam ni?”

Salah seorang mangsa, Raja Anita Raja Mukhtar, 54, sewaktu dihubungi mStar sempat memperincikan semula kejadian yang berlaku di Bukit Marak, Kelantan pada Jumaat lalu.

Menurut usahawan pes makanan itu, dia pada waktu itu sedang membuat agihan bantuan persekolahan buat 11 keluarga memerlukan di kawasan berkenaan.

"Pada hari kejadian, saya bersama pembantu peribadi diiringi kariah masjid datang agihkan bantuan persekolahan untuk 11 keluarga.

Antara penerima agihan sumbangan oleh Kak Raja pada Jumaat lalu.

"Selain barangan dapur, kami juga agihkan sedikit wang untuk pembelian baju sekolah buat mereka.

"Masa tu baru selesai rumah kedua. Saya meniti bersama PA dan seorang kariah masjid. Tok Imam masjid yang rakam video sewaktu titi tu patah.

"Sebelum agihan tu, kami solat berjemaah bersama-sama dulu di sebuah masjid berdekatan. Mereka iringi saya untuk tunjuk rumah penerima bantuan," jelasnya.

Mesra disapa Kak Raja, dia yang menetap di Pasir Mas mengakui terkejut dan sama sekali tidak menyangka kejadian itu akan menimpa dirinya.

Paparan skrin video tular itu.

Jelasnya, dia yang kebasahan akibat terjatuh ke kawasan air bagaimanapun tidak patah semangat untuk melengkapkan misi agihan berkenaan.

"Itu pengalaman pertama jatuh titi patah. Masa nak naik titi tu, saya dah tanya, OK ke? Pijak rasa tak kukuh.

"Mereka kata tak apa, jadi kami teruskan. Saya pun tak sedar ada dua orang di belakang meniti pada masa yang sama.

Alhamdulillah tak sakit, cuma luka sikit.

KAK RAJA

"Mujur air tak dalam sebab banyak rumput. Tapi lumpur agak tebal. Basah separuh pakaian saya.

"Saya teruskan agihan dengan pakaian tu sebab baru selesai dua rumah je pada waktu tu," imbas Kak Raja.

Tambahnya, dia bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan teruk dan hanya mengalami luka kecil di kaki.

"Bila tengok balik video, rasa kelakar mula-mula. Tapi bila ulang video, nampak macam teruk saya jatuh.

"Alhamdulillah tak sakit, cuma luka sikit," ujarnya lagi.

Menurut Kak Raja, program agihan bantuan itu bukanlah yang pertama dilakukannya.

Malah katanya, dia kini cuba konsisten melakukan misi sedekah itu setiap kali hari Jumaat.

Kak Raja menyampaikan sumbangan buat 11 keluarga di kawasan Bukit Marak, Kelantan.

"Selain sumbangan saya, ada juga ditambah dengan sumbangan kawan-kawan yang nak hulur zakat juga.

"Memang sekarang buat sedekah Jumaat setiap kali Jumaat. Tapi sebelum ni, hari-hari pun ada. Ikut keadaan.

"Biasanya kami bagi barang dapur. Cuma yang hari tu bagi duit sekali untuk persiapan kembali ke sekolah," ujarnya.

Dalam pada itu, Kak Raja juga sedar mengenai videonya yang tular di TikTok selepas dikongsi oleh anak saudaranya yang dikenali sebagai Munie Zulkefli.

Ujarnya, peristiwa itu dianggap sebagai satu kenangan yang tak akan dilupakan sampai bila-bila.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan