suria

Pakar psikiatri beri pesanan ‘makan dalam’ hakikat Covid-19, sekali kena bersedialah hadap 1001 kemungkinan!

Petugas kesihatan mengendalikan pesakit Covid-19. -Gambar hiasan / foto AZHAR MAHFOF/The Star

MALAYSIA mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi pada Khamis sejak pandemik melanda negara ini awal tahun lalu, iaitu sebanyak 3,027.

Sehari selepas rekod kes harian tertinggi itu, negara mencatatkan 16 kematian akibat dijangkiti virus sama, sekali gus menjadi rekod kes kematian harian tertinggi setakat ini.

Statistik kes baharu Covid-19 pula dengan unjuran 8,000 kes sehari seawal minggu ketiga Mac depan, sekiranya nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh dakwaan Maeps sesak, pesakit Covid-19 dedah hal sebenar - Tak pernah kena beratur, janganlah anggap macam tandas kat hotel"

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit tak cakap benda betul, doktor kena kuarantin... 'sakit' lihat anak meraung minta dukung - "Tolong jangan menonong masuk klinik"

Keadaan itu bukan sahaja membimbangkan masyarakat malah menjadi perhatian petugas kesihatan seperti yang disuarakan oleh pakar psikiatri, Dr Ahmad Rostam Md Zin.

"Hakikatnya, dalam konteks pandemik sekarang ini, kami (paramedik dan doktor), bukanlah frontliners (petugas barisan hadapan) tetapi lebih kepada last line of defence (barisan pertahanan terakhir) anda.

"Once you all (sekali anda semua) kena (Covid-19), kami yang akan sambut. Sekali anda semua kena, anda semua cuma boleh doa janganlah anda semua masuk pesakit kategori tiga, empat atau lima," tulisnya di laman Facebook beliau.



Petugas kesihatan membuat persediaan di ambulans. foto SHAARI CHEMAT/The Star

Beliau merujuk kepada pesakit Covid-19 kategori tiga iaitu mempunyai radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen, kategori keempat, ada radang paru-paru dan memerlukan oksigen, manakala kategori kelima memerlukan bantuan pernafasan.

Dua lagi kategori yang dipecahkan mengikut tahap jangkitan ke atas setiap pesakit yang disahkan positif adalah kategori pertama, yang mana seseorang itu positif tetapi tiada gejala dan yang kedua, pesakit itu positif ada gejala ringan.

Lebih dikenali sebagai Dr Rostam, beliau turut berharap dalam situasi semasa, petugas kesihatan mempunyai keupayaan untuk mengambil pesakit Covid-19 untuk dibawa ke hospital bagi menjalani rawatan.

"Sekali anda semua kena, anda semua lebih baik doa kami masih mampu ambil anda semua dari rumah dan bukan kena tunggu sehari atau lebih daripada itu.

"Sekali anda semua masuk kategori tiga hingga lima, lebih baik anda doa harap-harap adalah cukup katil ICU (unit rawatan rapi) untuk anda.

"Sekali anda semua masuk ICU, lebih baik anda semua doa, staf masih ada untuk jaga anda one to one (satu staf nisbah satu pesakit) dan bukan one to four (satu staf nisbah empat pesakit).

"Dan lebih baik anda semua doa staf yang jaga anda tu belum burnout (kelihatan emosi, mental dan fizikal). Dan lebih baik anda semua doa siap-siap yang anda masih ingat Tuhan masa nak masuk fasa nazak," ujar beliau.



Mengendalikan pesakit Covid-19. foto AZHAR MAHFOF/The Star

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan supaya ahli keluarga yang menjadi kontak rapat supaya melakukan ujian saringan Covid-19 bagi mengelakkan situasi yang lebih buruk.

"Lebih baik anda semua orang yang anda sayang disaring secepat mungkin supaya mereka tak terlepas dari saringan awal.

Paramedik dan doktor juga ada keluarga yang walau macam mana mereka jaga, mereka masih boleh dijangkiti di rumah sebab anda semua kena tahu bahawa jika seorang daripada mereka kena, ada ramai staf lain akan kena kuarantin sekali gus.

DR AHMAD ROSTAM MD ZIN

"Lebih baik anda semua doa yang staf di primary care tak terjejas dengan lambakan kes untuk disaring, dikesan, diligan (dialek Kedah bermaksud dikejar) dan dimaklum secepat mungkin.

"Dan lebih baik anda semua berhenti percaya yang kami boleh penuhkan semua hospital dengan kes Covid-19 je melainkan anda semua percaya yang tak ada penyakit lain selain Covid-19 akan berlaku 2021 ini," tambahnya.



Perkongsian Dr Rostam di laman sosial.

Dr Rostam turut mengingatkan bahawa golongan paramedik dan doktor itu juga seperti masyarakat yang mempunyai keluarga dan tanggungjawab masing-masing.

"Paramedik dan doktor tu manusia yang mereka juga ada keluarga yang walau macam mana mereka jaga, mereka masih boleh dijangkiti di rumah sebab anda semua kena tahu bahawa jika seorang daripada mereka kena, ada ramai staf lain akan kena kuarantin sekali gus.

"Doa, doa juga. Usaha yang kami dah cadangkan terus buat. Percaya dengan teori konspirasi dan anti vaksin bukan sebahagian daripada usaha. Itu usaha untuk membawa kita 'ke laut' dalam bersama-sama," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain