PUSAT Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang, Selangor menjadi perhatian susulan video yang tular kononnya sesak dengan lambakan pesakit Covid-19. Namun, salah seorang individu yang ditempatkan di pusat berkenaan menafikan dakwaan itu, malah berkongsi pengalaman berasa selesa dengan kemudahan yang disediakan. "Makanan 4/5 (empat daripada lima), tandas 4/5 dan layanan frontliners (petugas barisan hadapan) 4/5," tulis seorang pemuda di laman Twitter merujuk kepada rating yang memuaskan. ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh dakwaan Maeps sesak, pesakit Covid-19 dedah hal sebenar - "Tak pernah kena beratur, janganlah anggap macam tandas kat hotel" Turut menjadi perhatian adalah gambar yang dimuat naik, menunjukkan dirinya memakai baju merah jambu bercorak polka dot, yang merupakan baju wad bersalin di hospital kerajaan. "Saya kat sini positif Covid tau, bukan sebab mengandung," ujarnya secara berseloroh. Antara perkongsian Raffil mengenai Maeps di laman Twitter. Pemuda berkenaan, Raffil Faizul Jamir Ridzuan berkata, baju tersebut antara pakaian yang disediakan oleh pihak pengurusan untuk pesakit-pesakit Covid-19 di Maeps. Walau bagaimanapun, anak muda berusia 27 itu menjelaskan bahawa mereka diberikan kebebasan untuk memakainya atau tidak, serta boleh memilih untuk memakai pakaian sendiri yang dibawa dari rumah. "Saya bawa banyak baju sendiri untuk dipakai. Tapi pada masa sama, di sini mereka sediakan baju untuk pesakit Covid-19 pakai. "Walaupun ada kemudahan basuh baju dengan tangan, tetapi saya selesa pakai baju polka dot ni kerana lebih memudahkan kerana tak perlu basuh baju sendiri," katanya kepada mStar. Raffil berkongsi pengalaman ditempatkan di Maeps. Lebih mesra disapa Raffil, dia yang dihantar ke Maeps pada Jumaat selepas disahkan positif Covid-19 tidak menyangka baju yang dipakainya itu menjadi perhatian netizen. "Saya sekadar bergurau sebab teruja pertama kali pakai baju pesakit. Walaupun bergurau, ada netizen yang bertanyakan kepada saya kenapa tidak memakai skirt atau kain. "Ada juga yang tanya macam mana saya beranak (melahirkan anak) sama ada bersalin secara normal atau melalui pembedahan. Ternyata netizen ni menghiburkan saya yang berada di Maeps... saya bergurau, mereka pun turut menyakat saya," ujarnya yang berasal dari Ampang, Selangor itu. Raffil turut menerima gurauan daripada netizen. Walaupun baru tiga hari ditempatkan di Maeps pada Ahad, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak berasa kekok bersama dengan pesakit-pesakit Covid-19. "Jujurnya, saya paranoid mula-mula saya dapat tahu akan ke Maeps, lebih-lebih lagi bila video kononnya Maeps sesak tu baru viral, macam-macam dalam fikiran saya. Bila saya di Maeps, sendiri mengalaminya.... barulah saya tahu sebenarnya jauh berbeza dengan tanggapan negatif segelintir pihak RAFFIL FAIZUL JAMIR RIDZUAN "Tapi bila saya di Maeps, sendiri mengalaminya.... barulah saya tahu sebenarnya jauh berbeza dengan tanggapan negatif segelintir pihak mengenai penempatan di sini. "Sebenarnya selesa dan bersih, makanan dan minuman juga disediakan. Layanan frontliners yang cukup baik dan peramah," tambahnya. Raffil menolak tanggapan negatif mengenai penempatan pesakit Covid-19 di Maeps. Raffil yang merupakan pereka dalaman dan aktivis masyarakat itu berkata, momen paling menarik adalah menyaksikan pesakit beratur di dalam dewan seperti yang ditunjukkan dalam video yang tular. "Seperti yang telah dijelaskan banyak pihak, video itu sebenarnya menunjukkan mereka yang discaj kerana sudah sembuh dan beratur untuk keluar dari dewan. "Bila saya tengok mereka beratur tu rasa senang hati sebab mereka gembira sudah discaj dan buat saya tak sabar untuk discaj pula. Selain mengenali rakan-rakan baru, momen ini yang tidak akan saya lupakan apabila berada di luar nanti," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!