suria

Baju kerja pun boleh! Pasangan PKP 1.0 buat keputusan nikah dalam masa kurang 3 jam, sehari sebelum PKP 2.0 - “Saya tunduk menangis”

Izatul (kiri) dan suami (dua, kiri) ketika akad nikah di pejabat agama. (gambar kecil) Izatul dan suami mula memakai baju kerja pada hari pernikahan.

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri selama dua minggu bermula 13 Januari, berikutan peningkatan kes Covid-19 ternyata menggemparkan banyak pihak.

Antara golongan yang cemas dengan pengumuman yang dibuat pada Isnin lalu adalah bakal pengantin yang membuat perancangan melangsungkan perkahwinan dalam waktu terdekat.

Seperti pasangan ini yang membuat keputusan untuk berkahwin sehari sebelum PKP dikuatkuasa, namun kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan memakai baju kerja ketika akad nikah dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Barang kenduri tak jadi diguna sepanjang PKP, pengantin nikah online mahu Covid-19 berakhir segera - "Satu Malaysia doakan kami..."

ARTIKEL BERKAITAN: Tetamu teruja, majlis meriah... pengantin perempuan dedah terpaksa berendam air mata nak kahwin drive thru!

Pengantin perempuan, Nurul Izatul Israq Abu Hashim berkata, dia dan suaminya Mohd Shah Rezza Arbaei, 34, sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 1 Februaru depan.



Urusan akad nikah diwalikan oleh bapa Izatul (kanan).

Namun wanita berusia 29 tahun itu memberitahu, peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini membimbangkan mereka untuk meneruskan majlis perkahwinan.

"Jadi, saya telefon pejabat agama pada tengah hari Selasa sehari sebelum PKP dan bertanya apakah pilihan yang kami ada, termasuk kemungkinan akad nikah akan ditunda.

"Kami mempunyai gambaran PKP ini mungkin memberi kesan kepada tarikh perkahwinan kami. Selepas mengadakan perbincangan bersama keluarga dan tunang (kini suami), kami nekad untuk dipercepatkan akad nikah... pada hari itu juga," katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Izatul, katanya, pada hari berkenaan dia sebenarnya bekerja di sebelah pagi, manakala tunangnya akan memulakan tugasan di sebelah petang.



(dari kanan) Bapa Izatul, suami, Izatul dan dua saudara Izatul di Pejabat Agama Islam Daerah Sepang.

"Pukul 12.30 tengah hari saya call pejabat agama, pukul 1 petang saya bertolak dari tempat kerja di Seri Kembangan di Serdang, Selangor untuk jemput tunang di Sepang, Selangor.

"Selepas ambil tunang, dia menghubungi pejabat agama untuk tempah slot akad nikah. Syukur, kami dapat slot pukul 3.30 petang hari yang sama," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Kami tanya antara satu sama lain okay ke ni? Tapi sebab fikir nak nikah, jadi tak kisah pun bernikah pakai baju kerja.

NURUL IZATUL ISRAQ ABU HASHIM

Kerana kesuntukan masa, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, mereka tidak memikirkan soal busana pengantin yang sepatutnya dipakai pada majlis nikah.

"Saya pakai baju kerja dan tunang pun dah siap-siap pakai baju kerja. Sebab nak bernikah petang tu, kami ambil cuti kecemasan (EL)," ujar Izatul sambil menambah bapanya sebagai wali nikah datang ke Sepang dari Kuala lumpur secara berasingan.



Izatul (kanan) bersama ibu (dua, kanan), bapa (dua, kiri), suami (kiri) dan adik perempuan (hadapan).

Setibanya di Pejabat Agama Islam Daerah Sepang, Izatul dan tunangnya terkejut apabila melihat ramai pasangan bakal pengantin lain yang hadir bersama keluarga masing-masing.

"Masing-masing tunggu giliran bernikah. Kami lebih terkejut bila tengok semua bakal pengantin siap berbaju kurung dan Melayu putih, sedangkan kami hanya pakai baju kerja.

"Memang kami rancang pakai busana pengantin bila bernikah 1 Februari. Tapi kami pakai je baju kerja, tambahan pula baju kurung saya masih belum siap dijahit di butik, manakala baju Melayu tunang pula belum sempat hantar untuk alteration (ubah suai).

"Masa tu kami berdua tanya antara satu sama lain okay ke ni? Tapi sebab fikir nak nikah, jadi tak kisah pun bernikah pakai baju kerja.

"Masa tunang masuk bilik nak hantar borang permohonan nikah, pegawai tanya siapa pengantinnya, tunang jawab saya. Lepas tu dah siap-siap semuanya, kami jawab sudah pakai baju ni saja," ujarnya secara berseloroh.



Izatul (kiri) dan suami mula mengenali pada April lalu ketika pelaksanaan PKP 1.0.

Eksekutif jualan itu bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan perasaan sebaknya ketika urusan akad nikah kerana momen penting itu tidak dihadiri oleh ibu tersayang.

"Kerana semua dilakukan pada saat akhir, hanya ayah saya dan saudara yang tinggal di Sepang saja hadir kerana keluarga tunang di Bahau, Negeri Sembilan.

"Masa akad nikah tu, saya sedih teringat ibu... tunduk pandang bawah sebab menangis dan hanya mampu pegang tangan sendiri untuk cuba bertenang.

"Syukur Alhamdulillah segala urusan dipermudahkan. Tak sangka, kami mula kenal menerusi aplikasi sosial ketika PKP 1.0 pada April 2020, pertama kali jumpa bulan Julai dan bertunang pada Disember tahun yang sama, sekarang nikah sehari sebelum PKP 2.0. Tak sangka dapat slot untuk nikah pada saat akhir.

"Kami merancang untuk mengadakan resepsi apabila keadaan (kes Covid-19) bertambah baik dan sekiranya diberi kelonggaran untuk berbuat demikian. Masa tu memang kami akan pakai baju pengantin," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain