suria

Panas isu trademark Daging Harimau Menangis, peguam perjelas tindakan daftar cap dagang guna perkataan am - “Peniaga kecil bakal susah bila ada sikap monopoli”

Seorang peguam tampil mengulas isu trademark 'Daging Harimau Menangis' yang panas di media sosial ketika ini.

ISU trademark produk makanan 'Daging Harimau Menangis' membabitkan ibu kepada pengacara popular Noor Neelofa, iaitu Datin Koor Kartini Noor Mohamed hangat diperkatakan beberapa hari ini.

Ia susulan tindakan ahli perniagaan itu yang membuat permohonan untuk mendaftar trademark atau cap dagangan 'Daging Harimau Menangis' di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Perkara itu menjadi perdebatan hangat netizen yang menyifatkan tindakan Noor Kartini sebagai tidak wajar kerana nama 'harimau menangis' sudah lama digunakan dan bukanlah hak eksklusif sesiapa.

ARTIKEL BERKAITAN: Hangat kes Wani Comel... Peguam tegaskan penting baca kontrak, tandatangan tanpa dipaksa - “Sidang media bukan mahkamah”

ARTIKEL BERKAITAN: “Ada banyak cara selain maaf...” - Peguam bersuara isu Ustaz Ebit dengan MPP pelajar U, patutnya boleh selesai secara 'menang-menang'

Terpanggil untuk mengulas berkaitan isu cap dagangan, peguam Nor Zabetha Muhamad Noor tampil memberi penerangan dan penjelasan bersabit tindakan mendaftarkan hakcipta dengan menggunakan penggunaan ayat harian, menerusi perkongsian di Facebook.

"Mendaftarkan hak cipta dengan menggunakan penggunaan ayat harian? Boleh atau tidak? Misalnya ibu kepada Neelofa yang hendak mendaftar trademark atau cap dagangan 'Daging Harimau Menangis'. Apa kedudukan undang-undang?

"Perkataan harian seperti kambing bakar, ayam panggang. Bolehkah didaftarkan secara brand, logo dan nama oleh seseorang sehingga orang lain tidak boleh gunakan?," tulisnya.



Nor Zabetha sering membuat ulasan dari sudut undang-undang berkaitan isu semasa dan kekeluargaan.

Bagi memberi penerangan yang lebih jelas dan mudah difahami, Nor Zabetha turut merujuk satu kes di mahkamah yang seakan-akan sama dengan kes 'Daging Harimau Menangis' iaitu kes melibatkan barangan sembahyang orang Cina, Huan Zhai Jin.

"Al-kisah, defendan dalam kes ini iaitu Zu Ghe, adalah peniaga barangan sembahyang orang Cina. Defendan telah mendaftarkan cap dagangan suatu jenama dengan tulisan Huan Zhai Jin.

"Plaintif-plaintif juga adalah penjual barangan sembahyang orang Cina. Defendan telah mendaftar cap dagangan ke atas perkataan ini dan menyebabkan plaintif tidak berpuas hati.

"Plaintif menyatakan yang adat membakar kertas-kertas sembahyang, bagi tujuan membayar hutang iaitu Huan Zhai Jin memang telah wujud sejak zaman Dinasti Tang lagi. Plaintif juga mendakwa selaras dengan Seksyen 45, Akta Cap Dagangan 1976.

"Mereka adalah pihak yang terkesan dan terkilan dan mereka boleh memohon mengenepikan cap dagangan tersebut. Pasal defendan punya hal, sekarang semua peniaga barangan sembahyang Cina tidak boleh menggunakan perkataan ini. Marahlah peniaga lain," tulisnya.



Tindakan ibu kepada Noor Neelofa yang sebelum ini mahu mendaftarkan cap dagangan 'Daging Harimau Menangis' di MyIPO mengundang rasa tidak puas hati netizen.

Menurut Nor Zabetha lagi, di bawah Seksyen 14 akta tersebut, sesuatu permohonan boleh ditolak atas beberapa sebab, antaranya, sesuatu cap atau sesuatu bahagian cap tidak boleh didaftarkan sebagai suatu cap dagangan; dan kedua, jika penggunaannya mungkin memperdayakan atau menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai atau akan berlawanan dengan undang-undang.

"Atas alasan ini plaintif pun meminta agar pendaftaran hak dagang defendan dibatalkan dan dihapuskan dan juga bahawa plaintif adalah pihak yang terkilan dalam pendaftaran hak dagang ini.

"Ini keputusannya, mahkamah berpendapat perkataan Huan Zhai Jin adalah perkataan am yang digunakan oleh orang ramai.

"Oleh itu defendan tidak boleh ada monopoli terhadap perkataan ini dan defendan tidak boleh mendaftarkan cap dagangan ke atas perkataan ini," terangnya.

Yang hendak mendaftar itu, kedudukan kewangannya Alhamdulillah senang tetapi yang turut berniaga secara kecil-kecilan menggunakan perkataan yang sama itu, mungkin tidak sama rezekinya.

NOR ZABETHA MUHAMAD NOOR

PEGUAM

Ulas peguam ini lagi, jika penggunaan perkataan am diberikan hak cap dagangan, semestinya ia sangat mengelirukan.

"Contoh macam sejadah, tasbih. Kan hari-hari kita guna. Kalau ada orang yang dapat hak cap dagangan, peniaga yang sekian lama berniaga sejadah hendak guna perkataan apa sewaktu memasarkan produk mereka.

"Yang hendak mendaftar itu, kedudukan kewangannya Alhamdulillah senang tetapi yang turut berniaga secara kecil-kecilan menggunakan perkataan yang sama itu, mungkin tidak sama rezekinya. Bakal susah nanti bila ada sikap monopoli.



Noor Kartini pada Khamis tampil menjelaskan bahawa dirinya membuat keputusan membatalkan permohonan trademark nama produk makanan 'Harimau Menangis' di MyIPO.

"Jadi beri ruang pada yang lain. Biar sama-sama untung. Jangan kita halang atau kita kecilkan peluang yang lain," ujarnya lagi.

Bagaimanapun dalam perkembangan terbaharu, Noor Kartini sudah pun memohon maaf atas keterlanjuran pertuturannya berkaitan trademark 'Daging Harimau Menangis'.

Malah dalam satu sidang media pada Khamis, Noor Kartini juga memaklumkan dirinya membuat keputusan membatalkan permohonan trademark nama produk makanan 'Harimau Menangis' di MyIPO.

Ujar wanita tersebut, tujuan asal dia ingin memohon trademark tersebut adalah untuk melindungi jenama perniagaannya daripada masalah produk tiruan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain