"JANGAN malu nak mengaku kita susah." Itulah kata-kata yang menjadi pegangan Nur Salshabila Muhammad Rufdi, 21, sejak kematian bapanya pada tahun 2015. Terbaharu, kisah gadis itu serta perniagaan nasi kukus keluarganya yang terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas menjadi tular di laman Twitter. ARTIKEL BERKAITAN: Warung sepi tanpa pelanggan sejak PKP, ibu mesej dapat RM20 je... siapa sangka kuasa viral ubah nasib menjelang 2021 ARTIKEL BERKAITAN: Belajar engineering tapi akhirnya kerja jual burger demi ibu dan kakak autisme Menurut gadis yang mesra disapa Bella itu, kedai nasi kukus mereka di Uptown Shah Alam, Selangor terpaksa dihentikan operasi dan 'direhatkan' sepanjang tahun lalu. Baru-baru ini, dia serta adik-beradik yang lain tampil dengan alternatif baharu dengan membuka gerai nasi kukus di Bandar Putera 2, Jalan Kebun Nenas, Shah Alam. Kata Bella yang juga anak kelima daripada enam beradik, dugaan itu cukup berat memandangkan dia dan adik beradiknya yang lain sama-sama mencari rezeki dengan perniagaan itu sejak sekian lama. Bella bersyukur menerima sokongan ramai di Twitter. "Kami berniaga di Uptown sejak tahun 2005. Jadi sekarang terpaksa cari alternatif lain, kami buka gerai. "Kami bahagikan tugas, ada abang dan kakak uruskan gerai, saya dan kakak yang lain uruskan proses penyediaan di rumah. "Masa awal PKP tahun lepas kami tak boleh berniaga langsung. Mama pun korek duit simpanan yang ada. Tahun lepas sangat sukar untuk kami. "Tahun ni baru je bisnes nak elok, PKP lagi sekali," ujarnya sewaktu dihubungi mStar. Papa kata jangan malu nak mengaku susah, malulah mengaku senang tapi sebenarnya kita susah. BELLA Menurut Bella, ibunya kini hanya berehat di rumah kerana uzur sejak beberapa tahun lalu. Dakwa Bella, ibunya terkena buatan orang yang dipercayai iri hati dengan perniagan mereka. "Masakan nasi kukus tu memang resepi turun-temurun ibu. Tapi sekarang kakak saya yang masak. "Mak sakit, berniaga ada orang dengki. Boleh cakap macam terkena buatan oranglah. Arwah papa pun kena macam tu, tapi meninggal kena serangan jantung. Sebahagian ahli keluarga Bella. "Mak sakit sejak 2016. Tak boleh nak jalan sangat, mak banyak berehat je," ujarnya yang juga penuntut bidang Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan. Dalam pada itu, Bella turut berkongsi kata-kata arwah bapanya yang masih menjadi pegangan sehingga ke hari ini. "Papa kata jangan malu nak mengaku susah, malulah mengaku senang tapi sebenarnya kita susah. "Sebab kami memang susah dari dulu. Sebelum buka kedai nasi kukus, ibu bapa saya bangun pukul 3 pagi buat kuih, hantar ke kilang. Hidangan nasi kukus ini menjadi punca pendapatan mereka sekeluarga sejak sekian lama. "Itulah satu kata-kata semangat dari papa sebelum dia tinggalkan kami," ujar Bella yang juga seorang model sambilan. Dalam pada itu, posting Bella mengenai gerai nasi kukus keluarganya menerima lebih 6,000 ulang kicau (Retweet) di Twitter. Ujarnya, dia bersyukur menerima sokongan ramai, sekali gus membuka pintu rezeki buat mereka sekeluarga. "Sangat terharu sebab ramai bagi sokongan, ramai yang cakap nak datang," ujarnya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!