suria

Bayi sulung baru lahir ada di luar bilik, bapa sedang kuarantin hanya mampu kongsi klip video - “Isteri yakinkan pegang juga sekejap dengan berlapik”

Syed Mohd Akif berkongsi rutin setiap pagi sebagai seorang pesakit Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin di rumah, bagi menyebarkan mesej positif kepada masyarakat.

KETIKA ini kes Covid-19 di malaysia mencatatkan peningkatan ketara apabila ribuan kes baharu direkodkan saban hari.

Dengan angka yang semakin meningkat yang mana setakat ini lebih 40,000 kes aktif Covid-19 dilaporkan, fasiliti kesihatan termasuk pusat kuarantin sudah tentu mengalami kepadatan maksima.

Justeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini berkata pesakit Covid-19 yang tidak mengalami sebarang gejala atau gejala ringan perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengok pesakit lain menggelupur, meninggal depan mata... wanita dapat bayangkan jenazah sendiri diurus sebelum dibawa ke ICU - “Covid-19 is real, saya dah habis jaga”

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 bukan setakat demam! Ibu muda sarat hamil terpaksa ‘ditidurkan’ selepas diserang sesak nafas, hanya dapat jumpa bayi selepas 2 bulan dirawat di ICU

Syed Mohd Akif merupakan salah seorang daripada ribuan pesakit Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin di rumah.

Bercerita kepada mStar, lelaki yang senang disapa sebagai Akif berkata ketika ini dia sudah pun menjalani tempoh kuarantin selama 11 hari sejak disahkan positif virus berkenaan.

Bagi menghilangkan kebosanan, juruvideo syarikat produk kecantikan, Ainaa Beauty milik selebriti Instagram popular, Hafiz Mahamad ini menghasilkan satu klip video pendek menceritakan rutinnya setiap pagi sebagai seorang pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah.



Sesi 'photoshoot' sebelum isteri Akif melahirkan bayi sulung mereka. Akif hanya sempat menatap wajah anaknya seketika sebelum disahkan positif Covid-19.

Menerusi video tersebut, Akif berkongsi rutinnya selepas bangun tidur selain menu sarapan yang dinikmati bagi mempercepatkan proses pemulihan.

"Selepas menonton video Alif Satar yang berkongsi pengalamannya, saya rasa saya pun perlu berbuat sesuatu untuk sebarkan mesej dan beri kesedaran kepada orang di luar sana. Jadi saya terfikir untuk berkongsi video ini di media sosial.

"Setiap pagi perkara pertama yang dibuat selepas bangun tidur adalah mengemas dan membersihkan tempat tidur dan seluruh bilik. Persekitaran yang kemas dan bersih sangat penting.

"Saya sangat bersyukur kerana keluarga termasuk ibu mentua begitu mengambil berat dan menyediakan semua keperluan sepanjang tempoh kuarantin. Mereka akan menyediakan makanan yang berkhasiat, dan paling penting pastikan saya minum air kelapa campur lemon, madu, vitamin C setiap hari.



Rutin Akif setiap pagi sepanjang menjalani kuarantin di bilik berasingan.

"Kita tahu pesakit Covid-19 tak boleh keluar bilik atau rumah, dan sudah pasti ia sangat sukar. Jadi dengan adanya keluarga dan orang sekeliling yang ambil berat, ia adalah satu bentuk sokongan yang pesakit amat perlukan. Itu yang saya cuba sampaikan," katanya.

Walaupun mendapat sokongan padu daripada keluarga, Akif mengakui dia tidak dapat lari daripada rasa bersalah terhadap orang sekeliling dan juga 'down' lebih-lebih lagi apabila masih belum berkesempatan memeluk bayi sulungnya yang dilahirkan pada 12 Januari.

"Selepas beberapa rakan sekerja positif, kami yang lain pun kena buat swab test. Masa tu kebetulan pula isteri sedang nak bersalin. Saya tak bergejala dan bukan kontak rapat kepada kes positif.

Isteri akan tunjuk muka baby setiap hari apabila video call. Sedih bila mengenangkan tak boleh azan, peluk dan cium bayi sendiri.

SYED MOHD AKIF

PESAKIT COVID-19

"Bila baby lahir, takut nak dekat sebab keputusan belum keluar. Tapi isteri yakinkan pegang juga dengan berlapik itu pun sekejap. Bila baby dibawa pulang ke rumah, ada beberapa ahli keluarga ziarah.

"Bila keputusan keluar dua hari selepas itu, tengok-tengok positif. Masa tu memang panik. Fikir baby dan isteri, fikir ahli keluarga lagi... bila tahu keputusan kami, bos saya, Hafiz adalah orang pertama yang call.

"Dialah yang beri sokongan, beritahu jangan panik. Dia minta saya terus kuarantin diri dulu. Malah kemudian syarikat tanggung swab test semua kontak rapat. Syukur saya dapat majikan yang ambil berat. Lebih bersyukur kerana semua kontak saya negatif," cerita bapa muda berusia 26 tahun ini.

Bercerita lebih lanjut, Akif berkata dia berada dalam keadaan yang sihat dan langsung tidak mengalami gejala Covid-19 sepanjang menjalani tempoh kuarantin.



Akif bertuah kerana keluarganya termasuk ibu mentua begitu mengambil berat dan menjaganya dengan baik sepanjang tempoh kuarantin.

Justeru dia begitu berharap agar dapat 'bebas' secepat mungkin agar dapar melepaskan rindu kepada bayi dan juga keluarga yang lain.

"Sepanjang kuarantin, kami semua berhubung menerusi video call. Isteri akan tunjuk muka baby setiap hari apabila video call. Sedih bila mengenangkan tak boleh azan, peluk dan cium bayi sendiri.

"InsyaAllah jika semuanya baik, saya akan tamatkan tempoh kuarantin pada 26 Januari. Perkara pertama nak buat tentulah nak peluk cium baby.

"Lebih daripada itu, saya berharap agar penerimaan orang ramai terhadap bekas pesakit Covid-19 tidak bersifat negatif. Jangan anggap kami sebagai penjenayah kerana kami juga tak tahu punca dijangkiti. Sama-sama kita berikan sokongan antara satu sama lain," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain