suria

Terlanggar tiang parkir hotel dan ada peluang untuk cabut lari... tapi lelaki jujur ini gigih cari info nak bayar ganti rugi sebelum serah diri ke pihak pengurusan

Pelayar Facebook bernama Shafiq Abd Razak mendapat pujian netizen kerana bersikap jujur mengakui kesilapannya terlanggar palang besi di sebuah hotel.

MUNGKIN ada antara kita pernah melakukan kerosakan terhadap harta benda pihak lain secara tidak sengaja.

Jika perkara tersebut tidak disedari atau diketahui pemilik, mungkin ada yang mengambil sikap 'melarikan diri' atau buat tidak tahu sahaja kerana bimbang perlu membayar sejumlah ganti rugi sekiranya 'menyerah diri'.

Namun masih ada individu yang jujur dan mengakui kesalahan yang dilakukannya, kerana berasa bersalah dan mengetahui bahawa ada malaikat yang 'tidak tidur', sebagaimana kisah seorang lelaki ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tersentuh hati baca nota, tak sangka masih ada insan berhati mulia” – Kereta tercalar, tapi pemuda ini tetap pulangkan wang

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa dompet berisi RM1,200, lelaki cerdik ini pilih hanya ‘curi’ data sebelum maklumkan pemiliknya - “Dengar ayat tersebut, lagilah buat saya menangis”

Menerusi posting di Facebook Tukang Apa Hari Ini baru-baru ini, Shafiq Abd Razak berkongsi kisahnya yang secara tidak sengaja terlanggar besi penghadang di sebuah hotel.

Perkongsian tersebut dilakukan kerana dia mahu meminta pandangan ahli kumpulan laman Facebook berkenaan yang mungkin mengetahui jenis dan kos besi yang dilanggarnya kerana berhasrat mahu membayar ganti rugi kepada pihak hotel pada keesokan harinya.

"Assalamualaikum, minta maaf semua, saya accident terlanggar besi ni di sebuah hotel semasa nak parking. Esok saya akan pergi ke management hotel untuk settlekan hal ni.

"Boleh saya tahu apa nama besi ni dan berapa kos besi ni? Dan sekali upah pasang berapa harganya? Nota kaki, management tutup ofis pukul 5 petang, tak sempat saya settlekan tadi," tulis pelayar berkenaan.



Shafiq memuat naik posting di Facebook Tukang Apa Hari Ini untuk meminta pandangan ahli kumpulan laman berkenaan.

Nyata perkongsian tersebut mengundang reaksi yang pelbagai, malah ada antara pelayar yang tanpa segan silu mengakui dirinya akan mengabaikan sahaja perkara tersebut.

Namun, lebih ramai ahli kumpulan yang memuji tindakan jujur pelayar lelaki berkenaan.

Ramai juga yang menjawab pertanyaan yang yang diajukannya dengan memberitahu jumlah kos dan jenis besi yang dilanggarnya, dan tidak kurang juga ada yang mahu menawarkan bantuan kewangan.



Tangkapan skrin memaparkan komen netizen yang memuji Shafiq di atas sikap jujur dan bertanggungjawab.

"Tuan langgar dengan kereta ke. Namanya 'stainless steel car pole' atau 'car parking pole'. Tahniah atas sifat kebertanggujawaban anda," komen Shamsul Abas.

"Kalau tak cukup duit, saya boleh tambah sikit-sikit. Boleh PM," komen Mohd Hafiz.

"Terbaiklah, semua ahli Tukang Apa Hari Ini saling membantu. untuk abang tu, semoga urusan anda dipermudahkan," komen Rahimah Ismail pula.

Di dunia ni memang susah kita nak mengaku dan cari pihak pengurusan. Tapi, bayangkan di akhirat nanti nak cari balik, nak minta maaf, lagi susah.

DR KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN

DOKTOR

Dalam perkongsian berasingan keesokannya, pelayar tersebut memaklumkan dia sudah bertemu dengan pihak hotel bagi menyelesaikan perkara tersebut.

"Alhamdulillah. Management hotel sangat mesra. Walaupun saya telah langgar dan buat salah, mereka tak marah atau herdik saya. Sebaliknya lepas jumpa dengan management, mereka suruh welding semula saja. Syukur," tulisnya.

Dalam pada itu, perkongsian lelaki tersebut turut mengundang rasa kagum seorang doktor yang tidak asing lagi di Facebook, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan.



Dr Kamarul Ariffin turut membuat perkongsian di Facebook kerana kagum dengan sikap Shafiq.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, beliau memuji sikap bertanggungjawab dan jujur lelaki berkenaan selain memuji sikap ahli grup yang begitu positif.

"Di dunia ni memang susah kita nak mengaku dan cari pihak pengurusan. Tapi, bayangkan di akhirat nanti nak cari balik, nak minta maaf, lagi susah.

"Nak cari siapa pun mungkin kita tak tahu. Jadi biar susah sekarang. Selesaikan terus di dunia ni," tulis doktor berkenaan.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain