suria

“Masa saya hulur, mereka doakan kita depan-depan” - Tak kisah berpanas, perunding kecantikan agih makanan buat rider... harap Covid-19 berakhir

Azra bersyukur dapat menjalankan agihan itu pada Isnin dan Selasa lalu.

KETIKA kebanyakan kita terpaksa duduk di rumah sepanjang pandemik Covid-19 melanda, golongan rider banyak membantu dalam kehidupan sehari-hari.

Paling jelas tentunya tugas mereka menghantar pesanan makanan terus ke pintu kediaman kita, sekaligus memudahkan urusan harian kala ini.

Dalam usaha menghargai golongan itu, seorang perunding kecantikan yang juga ahli perniagaan, Nur Azraliyana Azmi, 25, tampil dengan inisiatif agihan makanan percuma buat mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: “Masing-masing tak ada hidung ke?” - Pelanggan malas turun, rider terpaksa redah sampah di flat demi tanggungjawab

ARTIKEL BERKAITAN: Dalam perjalanan hantar order, rider nak menitis air mata baca notifikasi di telefon... terus berhenti tepi - “Sepanjang jalan rasa sejuk je...”

Video agihan sumbangan yang dibuat di Senawang, Negeri Sembilan pada Isnin dan Selasa itu turut meraih perhatian ramai menerusi media sosial.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Azra mendedahkan usaha murni itu dijayakan dengan sumbangan dana peribadi oleh keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.

"Ini sebenarnya idea ibu saudara saya. Dia sudah buat inisiatif ini di ibu negara baru-baru ini. Saya kata, alangkah indahnya kalau boleh buat perkara sama.

Azra merupakan seorang perunding kecantikan dan juga ahli perniagaan.

"Kemudian ibu saudara kata, kenapa tak buat di Negeri Sembilan? Dia yang bagi tunjuk ajar kepada saya.

"Ini inisiatif keluarga dan kawan-kawan, dengan pasukan bisnes saya. Keluarga saya pun ada buka kedai kerepek di Senawang, sebelum ini keluarga saya ada buat tabung makanan di kedai.

"Bila dengar saya nak buat untuk rider, mereka pun nak sertai dan bagi sumbangan. Tapi yang turun buat agihan tak ramai sebab tak digalakkan dalam waktu sekarang," ujarnya.

Masa saya hulurkan makanan, mereka berdoa depan-depan, mohon saya dimurahkan rezeki.

AZRA

Dalam video tular itu, Azra bersama beberapa individu lain berada di Dataran Senawang sebelum mengagihkan bungkusan makanan seperti bihun dan nasi bajet buat golongan rider.

Jelas Azra yang masih belum mendirikan rumah tangga itu, dia bersyukur apabila rancangan itu berjalan lancar yang mana ia disifatkan cukup bermakna buat dirinya.

"Sebenarnya kita bukan tolong golongan rider sahaja. Makanan yang diagihkan, kami tempah daripada peniaga kecil. Jadi dapat tolong mereka juga.

"Memang perasaan tu, rasa lapang dada. Saya tak pernah ikuti program kebajikan sebelum ini. Ini kali pertama saya handle.

"Paling best bila rider doakan kita balik. Masa saya hulurkan makanan, mereka berdoa depan-depan, mohon saya dimurahkan rezeki.

Bihun dan nasi bajet antara yang diagihkan pada Isnin dan Selasa lalu.

"Bila dia bagi reaksi macam tu, saya rasa terharu. Patutlah ramai orang nak buat kebajikan, saya baru dapat rasa benda tu.

"Sebab dia doakan kita depan-depan, tak dapat saya nak gambarkan perasaan tu," ujarnya yang menetap di Seremban.

Menurut Azra, dia juga tidak kisah berpanas dalam misi itu kerana ia cukup memberi kepuasan kepadanya.

"Sebak juga sikit, tapi lebih kepada happy sebab dapat membantu. Bila borak dengan kawan-kawan, ada yang kata... gigihnya kat tengah panas, tak penat ke?

Agihan kepada rider di sekitar Senawang.

"Bagi saya, ia penat yang memberi kepuasan. Dengan respon positif di media sosial, saya rasa lagi bersemangat untuk teruskan pada masa akan datang.

"Mungkin tak semua boleh membantu dari segi kewangan, tapi kita boleh bantu dengan duduk di rumah untuk kurangkan jangkitan Covid-19.

"Sekecil-kecil duduk di rumah pun dah boleh tolong ramai orang. Saya sebagai orang bisnes berdoa agar ia berakhir segera.

"Siapa nak hidup macam ni, dah setahun berlalu," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain