GARA-gara sering memuat naik video memakan sayur-sayuran di aplikasi TikTok, seorang wanita dikecam oleh segelintir pengikutnya. Bukan sekadar pelbagai jenis sayur, malah wanita berkenaan turut menikmati buah-buahan dan ulam yang kelihatan menyelerakan. "Salah ke bahagia makan sayur?" luahnya menerusi posting di akaun TikTok Norsufiajohari. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan ambil risiko... Kurang makan sayuran, buah-buahan antara punca kanser kolon ARTIKEL BERKAITAN: Jom jaga kesihatan... amalkan makan 5 buah ini elak sakit jantung Namun, siapa sangka, wanita tersebut, Norsufia Johari sebenarnya pernah melalui peristiwa hitam yang tidak akan dilupakannya sampai bila-bila. Selain sayur-sayuran dan buah-buahan, Cik Pia turut memakan ulam. Lebih dikenali sebagai Cik Pia, katanya, dia pernah mengalami berat badan yang berlebihan iaitu 98 kilogram semasa belajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) di Bangi, Selangor pada 2014. "Dulu saya gemuk, rasa tak yakin pada diri sehingga obses untuk kuruskan badan. Saya cuba pelbagai jenis produk... ubat kuruslah, kopi suplemen kurus pun saya ambil. "Memang ketagih, sampaikan saya rebah ketika berjalan di fakuliti dan dimasukkan ke hospital kerana dos ubat kurus yang berlebihan," kata wanita berusia 34 tahun itu kepada mStar. Cik Pia berkata, dia amat bersyukur kerana ajalnya belum tiba dan umurnya masih panjang meskipun keadaannya begitu kritikal akibat ketagihan itu. Cik Pia pernah mempunyai berat badan berlebihan iaitu 98kg. "Doktor beritahu, kalau saya tak rebah masa tu dan masih ambil ubat-ubat kurus, belum pasti sama ada saya akan ada lagi atau tak selepas itu. "Syukur kepada Allah kerana diberikan peluang kedua. Selepas kejadian tu, saya buang segala ubat dan minuman suplemen kurus," ujarnya yang berasal dari Chini, Pahang. Jujurnya, dulu saya tak berapa suka makan sayur. Tapi lama-kelamaan sayur-sayuran dah macam best friend saya NORSUFIA JOHARI Rentetan itu, ibu kepada dua anak itu mendapatkan khimat nasihat nutrisi dan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat. "Jujurnya, dulu saya tak berapa suka makan sayur. Tapi lama-kelamaan sayur-sayuran dah macam best friend saya. Saya juga amalkan makan buah-buahan dan ulam. "Tapi saya bukan vegetarian, saya masih ambil makanan lain untuk sumber nutrisi yang seimbang. Saya juga masih makan nasi, tapi kurangkan pengambilannya," katanya yang menggemari sayur sawi dan buah jambu batu. Aktiviti berbasikal antara senaman yang dilakukan oleh Cik Pia. Selepas mengubah cara pemakanan serta melakukan senaman seperti berbasikal, usaha Cik Pia berhasil apabila berjaya menurunkan berat badan kepada 55 kilogram pada 2016. Ia sekali gus memberi semangat kepada suri rumah itu untuk berkongsi manfaat nutrisi dengan pengambilan sayur dan buah-buahan di laman Facebook sebelum diperluaskan ke TikTok. "Sebab itulah video-video saya makan sayur dan buah di TikTok itu untuk mendidik masyarakat tentang betapa pentingnya pemakanan sihat," katanya yang turut belajar secara dalam talian mengenai diet dan kecergasan daripada figura kecergasan terkenal kelahiran Sweden, Pauline Nordin. Hasil pemakanan sihat dan senaman, berat badan Cik Pia mencecah 55kg. Menurut Cik Pia, terdapat sayur yang boleh dimakan mentah, termasuk yang perlu direbus atau dimasak secara stim sebelum dia membuat video di TikTok. "Saya mahu video-video ini untuk memberi inspirasi kepada masyarakat, dari yang tak suka makan sayur terus jadi suka. Ada yang turun berat badan 30kg. Paling saya terharu apabila ada anak-anak mereka yang mula menyukai makan sayur kerana tengok video-video saya. "Sampaikan ada ibu-ibu mereka berpesan, kalau nak cantik macam Cik Pia... kenalah rajin makan sayur dan buah. Bukanlah nak kata saya ni cantik, tapi cara didikan ibu-ibu untuk menarik minat anak-anak mereka nampaknya berkesan kerana khasiat sayur-sayuran dan buah-buahan yang baik untuk kesihatan," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)