suria

Status pemuda berubah sebaik ibu dijemput Ilahi... Bukan sahaja jual jeruk mangga buat biaya keluarga, dah seminggu jadi rider Foodpanda

Hakim terpaksa berkongsi kisah pilunya bersama orang ramai untuk menampung keluarga.

BARU sahaja kehilangan ibu seminggu yang lepas, seorang pemuda bagaimanapun kuatkan diri untuk bangkit semula mencari rezeki demi meneruskan kelangsungan hidup.

Dek kerana memikirkan tanggungjawab 100 peratus ke atas dirinya sekarang ini, dia terpaksa meminta jasa baik orang ramai untuk membantunya membeli jeruk mangga yang dijual dengan harga RM10 sebekas.

Kisah pilu yang dikongsikan pemuda berusia 24 tahun ini di laman Twitter ternyata mencuri perhatian orang ramai sehinggakan bukan sahaja jeruk mangga habis dijual malah ada juga yang turut menghulurkan sumbangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkesan PKP, tiap hari ‘badut’ iklan jualan makanan di Facebook walau tiada like... terkejut dapat sumbangan ketika buat tauhu bakar - “Datangnya tiba-tiba, tak tahu dari mana”

ARTIKEL BERKAITAN: Tawar sushi RM1, niat bapa 2 anak sedekah 50 biji tiap jumaat bawa rezeki berganda - “Satu hari nak buka but kereta bukan jual sushi, tapi beri percuma”

Ketika dihubungi mStar, Muhammad Hakim Ahmad Salehin yang menetap di Sentul, Kuala Lumpur berkata dia terkejut tweetnya itu tular sehingga begitu sekali.

Dia yang menetap bersama seorang adik perempuannya iaitu Nur Isma Syakila, 23 dan seorang anak saudaranya mengakui kehidupan mereka sangat terkesan setelah kehilangan ibu tercinta lebih-lebih lagi dalam situasi negara dilanda Covid-19 ini.

Perkongsian yang menyayat hati itu sehingga kini mendapat 32,000 likes dan 45,000 Retweet.

Hakim berkongsi komitmen yang perlu ditanggung setiap bulan sendirian.

“Ya Allah... saya betul tak tahu nak luah macam mana mengenai keajaiban yang berlaku hanya dalam sehari ini. Siapa sangka perkongsian biasa saya ini akan viral sampai macam tu sekali.

“Ramai lagi yang berkongsi hidup susah, terkesan PKP, jual jeruk mangga tepi jalan tetapi Allah memilih saya untuk diberi kesempatan mendapat perhatian orang ramai.

“Ayah saya meninggal sejak saya berusia dua tahun lagi, mak pula pergi meninggalkan kami pada hari yang sangat mulia iaitu Jumaat lepas. Hati ni sedih sangat, terlampau sebak tetapi kalau saya biarkan kesedihan ini menguasai diri siapa pula nak tanggung keluarga.

Saya tak mengeluh ujian Allah berikan ini cuma biasalah kadang-kadang teremosi tetapi saya bukanlah kongsi yang bukan-bukan di Twitter untuk meraih simpati.

HAKIM

“Saya hanya dua beradik, saya anak sulung dan ada seorang adik perempuan. Adik saya dah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan yang sekarang berusia empat tahun. Jadi sekarang memang tanggungjawab saya sepenuhnya jaga mereka, ” jelasnya.

Lebih mesra disapa Hakim, dia berkata tujuan utama memuat naik tweet tersebut bukan inginkan simpati tetapi dia hanya ingin orang ramai membantunya dalam usaha mencari rezeki.

Hakim sebelum ini dipercayai bekerja sepenuh masa sebagai seorang pembantu dapur di Kuala Lumpur Convention Centre tetapi pada Oktober tahun lalu kontraknya tidak dapat disambung gara-gara pandemik Covid-19.

Hakim terpaksa berhenti kerja pada Oktober lalu gara-gara pandemik Covid-19 perniagaan teruk dan mereka tidak dapat menyambung kontraknya.

“Lepas tu saya jual jeruk mangga dekat lampu isyarat sekitar Kuala Lumpur. Masa tu ok lagi undang-undang tak ketat sangat.

“Bila mula berkuatkuasa tak boleh berniaga macam saya terus niaga atas talian dan buat penghantaran tetapi masalahnya tak berapa dapat sambutan.

“Sebab tu saya tergerak hati tweet minta jasa baik orang ramai dan pada masa sama dah seminggu jadi rider Foodpanda, ” ujarnya.

Sementara itu, Hakim turut meluahkan perasaannya apabila kini statusnya sebagai tonggak keluarga bermakna dia perlu berusaha keras mencari rezeki walaupun hatinya masih bersedih kerana kehilangan ibu tersayang.

“Saya tak mengeluh ujian Allah berikan ini cuma biasalah kadang-kadang teremosi tetapi saya bukanlah kongsi yang bukan-bukan di Twitter untuk meraih simpati, ” katanya.

Foto Hakim bersama anak saudaranya iaitu Nur Zuleesya Rania yang kini berusia empat tahun.

Menurut Hakim yang hanya belajar setakat tingkatan tiga sahaja, dia risau jika orang ramai menganggap perkongsiannya itu hanya ingin simpati dan menggunakan alasan kematian ibu untuk mencari rezeki.

Bagaimanapun pemuda ini dengan rendah hati mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai terutamanya warga Twitter yang banyak menyokongnya, memberi kata-kata semangat dan juga bantuan yang dihulurkan.

“Saya berdoa mereka dimurahkan rezeki dan mendapat kebaikan yang setimpal macam mana mereka ikhlas tolong saya, ” ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain