suria

Wow! Buat show 360 darjah dalam bilik tidur, pemuda renjong selamba ‘tangkap’ kipas – “Follower minta dedah siapa rakam”

Sharm (kanan) berkongsi pengalamannya membuat video TikTok ala 'Jemimah Challenge'.

"BANG, pening bang."

Demikian antara komen netizen yang menyaksikan satu klip video menunjukkan seorang pemuda yang menyahut cabaran yang tular iaitu 'Jemimah Challenge'.

Cabaran yang menjadi perhatian selepas seorang peserta Indonesian Idol 2021, Jemimah Cita menyanyikan lagu Cinta Dalam Hati dendangan asal kumpulan Ungu, dan pengguna sosial menyanyikan semula lagu tersebut mengikut teknik nyanyian Jemimah.

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat! Hanya guna telefon, foto ala Doctor Strange ibarat 'mesin masa' - "Saya nak ke tahun 2024 di mana Covid-19 perkara lampau"

ARTIKEL BERKAITAN: Fuh! Pahlawan Melayu ala The Hunger Games, sanggup bakar baju sendiri untuk beraksi - "Satu kereta bau minyak masak"

Bagaimanapun, pemuda berkenaan tidak menyanyi, sebaliknya menari dengan teknik rakaman berputar 360 darjah seperti pertunjukan pentas di TV.

"Nak menyanyi tak mampu, menari jelah yang boleh," ujar pemuda berkenaan di TikTok.



Sharm membuat rakaman dengan meletakkan telefonnya di tripod yang digantung pada kipas.

Pemuda berkenaan, Syamsudin Noh berkata, teknik rakaman tersebut sebenarnya menggunakan tripod dan telefon bimbitnya yang digantung pada kipas di bilik tidurnya.

Pemuda berusia 29 tahun itu memberitahu, ia mahu memberi kelainan kepada video-video TikTok yang dihasilkannya bagi menaikkan mood pada gaya tarinya.

"Ia bukanlah pertama kali saya menggunakan kipas untuk membuat rakaman dan ini kali ketiga, tetapi video Jemimah Challenge membuatkan ia menarik perhatian ramai.

"Ada follower mempersoalkan siapa yang rakam video saya yang berpusing-pusing tu. Sampaikan follower minta saya dedahkan siapa yang rakam," katanya kepada mStar.



Ketinggian Sharm membolehkannya mencapai kipas di bilik.

Lebih dikenali sebagai Sharm, katanya, dia begitu sinonim dengan kipas di bilik tidurnya kerana sering membuat rakaman yang membabitkan kemudahan itu.

Berkongsi kisah mengenainya, pelajar Ijazah Sarjana Muda Tari (Koreografi) di Universiti Malaya itu pernah membuat tugasan tarian di dalam biliknya.

Bila buat rakaman begitu, orang boleh tengok seluruh bilik saya. Jadi, saya kena pastikan bilik sentiasa bersih dan kemas

SYAMSUDIN NOH

"Kami mengikuti kelas secara dalam talian buat masa ini. Dan satu hari pensyarah beri tugasan kepada kami untuk menari di dalam bilik.

"Dan disebabkan ketinggian saya 190 sentimeter, jadi tangan saya mudah untuk terkena bilah kipas di siling ketika rakaman dibuat di bilik," ujarnya.



Sharm sering membuat video menari di dalam bilik.

Pemuda berasal dari Shah Alam, Selangor itu turut mendedahkan tangannya beberapa kali terkena bilah kipas berkenaan ketika membuat rakaman video.

"Tapi syukur alhamdulillah tangan saya okay, tak tercedera. Bila dah selalu sangat tangan terkena bilah kipas tu yang saya terus buat video 'tangkap' kipas tu," ujarnya secara berseloroh.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, dia turut berpengalaman menjadi guru tari akrobatik kontemporari serta membuat pertunjukan sarkas.



Antara bakat Sharm membuat pertunjukan pentas.

Gara-gara video rakaman 360 darjahnya meraih perhatian ramai, Sharm perlu lebih peka terhadap keadaan dan kebersihan di biliknya.

"Bila buat rakaman begitu, orang boleh tengok seluruh bilik saya. Jadi, saya kena pastikan bilik sentiasa bersih dan kemas terlebih dahulu.

"Nanti lain yang dirakam, lain pula yang orang komen. Sama macam rakaman 360 darjah tu, ramai yang nak tahu sangat siapa yang rakam.

"Apapun, selepas ini saya rancang nak tambah lagi lampu di bilik bagi menimbulkan lagi pencahayaan supaya ‘show’ saya nanti lebih menarik," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain