HANGAT di media sosial sejak beberapa hari lalu dengan isu 'kuarantin dua darjat'. Ia susulan dokumen perintah berjudul 'Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021' dikeluarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba mengikut kuasa (Akta 342) Seksyen 29 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Berdasarkan perintah berkenaan, menteri berkaitan tidak perlu menjalani prosedur operasi standard (SOP) tempoh kuarantin 10 hari yang ditetapkan kerajaan untuk mereka yang masuk dari luar negara. ARTIKEL BERKAITAN: Tiga hari tempoh kuarantin menteri balik dari luar negara... ini penjelasan Dr Noor Hisham! Pengecualian itu berkuatkuasa mulai 9 Februari hingga 1 Ogos depan seperti mana dalam dokumen pewartaan yang disiarkan dalam portal rasmi e-warta Persekutuan pada Isnin. Perkembangan tersebut mengundang perhatian ramai rakyat Malaysia yang mana ramai meluahkan rasa tidak puas hati kerana ia seolah-olah mewujudkan jurang perbezaan di antara ahli menteri dan juga rakyat marhaen. Malah, netizen melancarkan 'serangan' dengan menggunakan hashtag #AdhamBabaLetakJawatan sebagai meluahkan rasa tidak puas hati, sehingga menyaksikan ia menjadi trending dua hari lalu. Perintah berkenaan turut mengundang perhatian seorang pengamal perubatan yang tidak asing lagi di media sosial, Dr Rafidah Abdullah. Dr Rafidah menulis luahan hatinya menerusi Twitter. Menerusi laman Twitter, Dr Rafidah secara terbuka menulis luahan hatinya yang ditujukan buat Menteri Kesihatan itu. ”Salam, yang amat saya hormati Datuk Seri @DrAdhamBaba. ”Dengan merendah diri, saya amat berharap agar Datuk Seri boleh membuat keputusan hanya berdasarkan fakta sains. With power, comes great responsibility (Dengan kuasa, datangnya tanggungjawab). My wish is that you focus on what is most important to us (Harapan saya anda fokus apa yang paling penting kepada kita)," tulisnya. Daripada menggunakan kuasa untuk menjarakkan darjat sedia ada, apa kata Datuk Seri mengurangkan jurang 'darjat' antara pegawai-pegawai KKM. DR RAFIDAH ABDULLAH DOKTOR Dr Rafidah juga membangkitkan persoalan mengenai SOP kuarantin yang nyata bersifat selektif itu. ”Nak kurangkan kuarantin, kenapa perlu selektif? Buat sahajalah untuk semua. Letak SOP, jalan terus. ”Datuk Seri tahu kan, siapa yang menjaga wad-wad SARI (Jangkitan Pernafasan Akut Teruk) dan Covid? Ramai mereka adalah pegawai-pegawai kontrak, semua lapisan terutamanya pegawai-pegawai perubatan muda," tulisnya. Malah menurut doktor ini lagi, tiada istilah dua darjat dalam kalangan para petugas kesihatan memandangkan mereka berkhidmat atas dasar profesional. “Daripada menggunakan kuasa untuk menjarakkan darjat sedia ada, apa kata Datuk Seri mengurangkan jurang 'darjat' antara pegawai-pegawai KKM. Kami tidak praktis darjat-darjat sebegini. Kami hanya pegawai profesional. Semua dilayan sama rata. Frontliners memakai sut lengkap peralatan perlindungan peribadi (PPE) dengan tulisan kata-kata semangat. ”Boleh ke agaknya kuasa yang sama Datuk Seri boleh gunakan untuk mendapatkan mereka-mereka ini penempatan tetap? Merekalah wira yang tidak didendang. Dan saya tidak nampak jalan keluar daripada pandemik ini. Kalau beginilah bercelarunya keadaan negara ini. ”Tidak perlulah kita gunakan kuasa untuk diri, keluarga dan kawan-kawan sendiri; gunalah ianya untuk memanfaatkan agama, bangsa dan negara. ”Saya berharapan besar kesemua pegawai-pegawai yang bekerja keras ini diberikan lantikan tetap secepat mungkin. Hanya sekadar luahan pegawai bawahan," ujarnya lagi. Dalam pada itu menyelusuri ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan Dr Rafidah. Malah mereka memuji keberanian doktor berkenaan untuk menyuarakan pandangan untuk diambil perhatian oleh menteri berkenaan. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!