suria

Wow! Calon SPM raih markah penuh exam percubaan Matematik Tambahan kongsi rahsia, siap mengaku dulu selalu gagal - “Tiap malam, empat jam buat latihan Add Math”

Keputusan subjek Matematik Tambahan yang dimuat naik Izwan di Twitter mengkagumkan ramai.

SEBUT sahaja Matematik Tambahan, pasti rata-rata pelajar kurang menggemarinya kerana menganggap ia adalah subjek yang sukar.

Begitulah juga halnya dengan pelajar ini yang turut mempunyai tanggapan sama mengenai subjek tersebut.

Namun segala-galanya berubah selepas dia nekad untuk memperbaiki pencapaiannya demi mendapatkan keputusan yang cemerlang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pintar sangat, pelajar lepasan PT3 buat kajian PhD di Jerman - “Saya boleh scan, ingat setiap fakta”

ARTIKEL BERKAITAN: Kagum! Pelajar autistik pertama bakal ikuti pengajian ijazah sarjana di UiTM... Keluhan ibu bapa miliki anak syurga buat wanita ini kongsi rahsia - “Masa kecil dia tak boleh cakap, tak boleh baca”

Pelajar bernama Muhammad Izwan Azwar mula mendapat perhatian selepas dia memuat naik markah kertas peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Oktober 2020 di mana dia memperoleh 100 peratus bagi subjek tersebut, di Twitter.

"Alhamdulillah, another achievement unlocked (satu lagi pencapaian berjaya diraih)," tulisnya pada perkongsian yang sehingga kini meraih 6,292 retweet.

Menjengah di ruangan komen pula, rata-rata netizen melahirkan kekaguman mereka dengan pencapaian yang dianggap luar biasa itu.



Perkongsian Izwan mengenai pencapaian subjek Matematik Tambahan menjadi tular di Twitter.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pelajar yang senang disapa sebagai Izwan berkata segala-galanya bermula sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke tingkatan empat, dua tahun lalu.

"Masa tingkatan empat, saya masuk kelas aliran Sains yang ada subjek-subjek Sains seperti Fizik, Kimia termasuklah Matematik Tambahan. Sebaik saja masuk menengah atas, saya memang nekad dan pasang niat untuk melakukan perubahan sebab Matematik asyik gagal masa tingkatan tiga.

"Masa tu, memang dipengaruhi dengan mindset bahawa Add Math ni memang susah... cikgu mengajar pun tak faham. Ujian penggal pertama, saya gagal dalam subjek tu. Kemudian kawan ajak pergi kelas tuisyen.

"Saya pun ikut sebab keputusan Matematik dia bagus. Masa sertai kelas tuisyen tu, saya jatuh minat dengan Add Math... sebab penyampaian cikgu tu dan kaedah pengajarannya. Dari situlah saya makin seronok nak belajar subjek tu," katanya yang juga bakal menduduki SPM tidak lama lagi.



Izwan menerima ucapan tahniah daripada gurunya kerana mendapat markah yang cemerlang.

Menurut anak bongsu daripada empat adik beradik ini lagi, keputusan subjek Matematik Tambahannya mula menunjukkan peningkatan ketika peperiksaan akhir tahun sewaktu tingkatan empat, di mana dia memperoleh A-.

"Masuk tingkatan lima, mungkin sebab banyak topik, saya sekadar dapat C sahaja pada ujian penggal pertama. Saya lipatgandakan usaha tambahan pula masa tu dah mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Setiap hari saya akan sertai tuisyen secara online dengan cikgu yang sama. Setiap malam pula, selepas buat kerja sekolah, saya akan habiskan masa kira-kira empat jam untuk buat latihan Add Math.

Masa sertai kelas tuisyen tu, saya jatuh minat dengan Add Math... sebab penyampaian cikgu tu dan kaedah pengajarannya.

MUHAMMAD IZWAN AZWAR

PELAJAR

"Saya biasakan juga buat ulangkaji tentang sesuatu topik sebelum ada kelas Add Math keesokan harinya supaya tak blur bila cikgu mengajar.

"Bila ada kawan minta tolong, saya ajarkan juga... dengan cara ini akan buat kita lebih faham. Selain itu, banyakkan bertanya guru kalau tak faham," ujarnya yang menuntut di sebuah sekolah menengah harian biasa di Kuala Lumpur.

Berkat usaha kerasnya, Izwan berjaya memperoleh keputusan yang sangat cemerlang bagi subjek tersebut ketika peperiksaan percubaan SPM, Oktober tahun lalu.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Izwan berkata dia sekadar mahu berkongsi momen gembira dan juga memberikan inspirasi kepada calon SPM yang lain.

"SPM untuk tahun ini sangat mencabar untuk semua calon... dengan pembelajaran secara online, pasti banyak kekangan. Saya sendiri hadapi kesukaran sebab persekitaran rumah dengan sekolah sangat berbeza.



Antara komen netizen yang melahirkan kekaguman dengan pencapaian Izwan.

"Kadang-kadang terlewat masuk kelas online... tapi saya akan 'cover' semula sesi yang ketinggalan tu.

"Jadi untuk masa-masa yang ada sebelum peperiksaan ni, manfaatkanlah masa dan lebihkan usaha untuk sekurang-kurangnya lulus. Banyakkan buat latihan... saya kini hampir 'cover' kertas percubaan untuk setiap negeri.

"Saya nak ucapkan terima kasih terutama kepada cikgu subjek dan ckgu tuisyen, serta rakan-rakan yang banyak membantu. Tanpa mereka, takkan tercapai keputusan seperti sekarang. Buat calon SPM, moga kita semua diberikan kemudahan dan ketenangan untuk menjawab soalan kelak," ujarnya yang berhasrat mahu menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di kolej matrikulasi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain