suria

Anak terlebih kreatif, bapa baru bangun tidur disuruh jadi model... tak sangka dapat hampir sejuta tontonan! - “Dia kata jangan bagi jiran nampak”

syahmi1

SEKADAR bermain dengan kreativiti dan imaginasi, gambar-gambar yang dihasilkan pelajar tingkatan enam ini cukup mencuri perhatian ramai.

Pada Januari lalu misalnya, dia sanggup mengangkut meja, tilam dan selimut secara sendirian ke halaman rumahnya untuk satu sesi photoshoot.

Hasilnya, gambar yang dirakam dan disunting oleh Muhammad Syahmi Dolmat, 20, memaparkan seolah-olah dia sedang tidur di atas tilam yang terapung di halaman rumahnya yang terletak di Muadzam Shah, Pahang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kru kabin akur sesi photoshoot ‘dicaras’, ada model lebih comel ambil alih studio - “Set tu macam dia punya”

ARTIKEL BERKAITAN: Menantu nak lepas gian ambil gambar, jenuh pujuk mentua jadi model... tak pakai gincu pun tak apa

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Syahmi mengakui gambar-gambar dirakam secara suka-suka tanpa mengharapkan ia menjadi tular di media sosial.

"Proses rakaman ambil masa dalam 20 minit. Ia dirakam sebelum saya kembali ke asrama sekolah. Masa tu dalam pukul 3 petang.

"Memang panas, tapi saya teruskan. Saya angkat sendiri meja, tilam dan selimut. Masa tu abang dengan mak pun ada tengok. Mungkin mereka fikir saya buang tabiat kot.

Gambar yang dirakam pada Januari lalu.

"Idea saya dapat secara spontan. Sebab sebelum ni pernah nampak ada orang buat foto terapung macam tu. Gambar tu pun saya shoot sendiri, saya letakkan kamera pada tripod.

"Lepas balik asrama baru saya edit. Tak jangka pula akan viral, saya rasa biasa-biasa je," ujar anak bongsu daripada empat beradik itu.

Menurut pelajar itu lagi, dia sememangnya sudah lama meminati bidang fotografi, namun mula mempelajarinya secara mendalam sewaktu Perintah Kawlaan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu.

Tiba-tiba saya nampak baju lama ayah tergantung. Kebetulan ayah baru bangun tidur, terus saya ajak dia shoot.

SYAHMI

Selain menimba ilmu dengan rakan, dia juga banyak mempelajari teknik kamera menggunakan YouTube.

Malah kata Syahmi, dia juga terfikir untuk membuat photoshoot dengan rakan-rakan asramanya.

Selain gambar tilam terapung di halaman rumah, gambar bapa Syahmi, Dolmat Ibrahim, 59, yang dihasilkan dengan tema 70-an turut menjadi tular.

Gambar bapa Syahmi yang bertemakan 70-an tular di TikTok.

Menurut Syahmi, gambar bapanya yang juga seorang pengawal keselamatan sekolah dirakam pada hari terakhir tahun 2020, pada 31 Disember lalu.

Video di sebalik tabir penghasilan gambar bapanya itu menerima 916,000 tontonan selepas ia dikongsi di TikTok.

Kata Syahmi, dia bersyukur apabila penat lelah memujuk bapanya untuk menjadi model photoshoot itu berbaloi apabila video berkenaan meraih hampir satu juta tontonan.

"Masa tu saya dah tak ada content. Tiba-tiba saya nampak baju lama ayah tergantung. Kebetulan ayah baru bangun tidur, terus saya ajak dia shoot.

Sesi photoshoot ini dilakukan pada 31 Disember lalu.

"Ayah pemalu sebenarnya. Saya paksa dia. Dia kata tak payah dik, jangan bagi jiran nampak," imbas Syahmi berseloroh.

Menurut Syahmi lagi, dia juga ada perancangan untuk membuat sesi photoshoot dengan ibunya pula selepas ini.

Ujarnya, segala gambar yang dirakam itu mahu dijadikan sebagai kenangan pada masa akan datang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain