suria

Hikmah di sebalik niat nak halalkan hubungan... Baru 2 minggu bisnes, pasangan remaja beli Ford Mustang tunai! Paling manis, kereta sampai di hari bahagia

(gambar kecil) Ayuni (kanan) dikejutkan oleh suami (kiri) dengan kereta Ford Mustang pada hari perkahwinan.

SEGALANYA bagaikan berubah sekelip mata.

Ternyata bukan kali pertama kita dikejutkan dengan pencapaian anak muda yang berjaya hasil menjalankan perniagaan sendiri.

Begitulah kisah gadis 18 tahun ini apabila pengurus kewangan serta penasihat peribadinya memuat naik suatu video di aplikasi TikTok yang mengejutkan orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Turun dari Lamborghini, 'borong' makanan di tepi jalan... pemuda nafi nak show off - "Beli untuk diri sendiri, tak sampai hati pula tengok mereka"

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Sekolah tak tinggi, baru 19 tahun dah mampu reward diri sarung gelang emas RM36,000... ayah, tunang pun terkena tempias - "Lagi orang kecam lagi laku produk"

"Tangisan seorang ibu! Tahniah Ayuni mampu beli cash kereta mustang pada hari perkahwinan dan buat sales pertama 1 juta dalam masa 15 hari di usia 18 tahun," tulisnya di kapsyen TikTok.



Kejutan yang tidak disangka-sangka bagi Ayuni.

Perkongsian itu dirakam oleh pengurus kewangan iaitu Farhana Zahra, 30 yang merakamkan detik anak didiknya iaitu Anes Ayuni Osman, 18, dikejutkan dengan kereta Ford Mustang di hari perkahwinan pada Jumaat lalu di Pasir Mas, Kelantan.

Tidak sampai satu hari, kini video tersebut mendapat 142,000 tontonan dan 12,000 tanda suka.

Ketika dihubungi mStar, gadis yang lebih mesra disapa Ayuni berkata, sehingga hari ini dia masih terkejut dengan perubahan yang berlaku dalam hidupnya itu.



Pada mulanya video TikTok yang tular adalah saat ibu ayuni memeluk Farhana iaitu pengurus kewangan sebagai tanda terima kasih.

"Ya Allah... Saya tak tahu nak cakap macam mana. Saya rasa macam insan terpilih sangat... Rezeki ini tak pernah saya impikan selama saya hidup.

"Niat buat bisnes ini memang mulanya sebab saya dan suami nak cari duit lebih sikit untuk cukupkan duit kahwin dan cepat menghalalkan hubungan. Itu saja.

"Tetapi sambutan produk sendiri yang saya dan suami keluarkan ini memang langsung tak disangka. Lebih-lebih lagi kereta keluar secepat ini. Alhamdulillah... Saya memang bersyukur sangat.

"Kalau fikir tak masuk akal baru dua minggu berniaga terus dapat beli cash kereta Ford Mustang tetapi itulah hakikatnya. Kuasa Yang Maha Esa," ujarnya.



Ayuni (tengah) dan suami (kanan) bersama Farhana yang banyak membantu dalam perniagaan mereka.

Tambah Ayuni lagi, dia bersama suaminya iaitu Ahmad Weldan Zulkefli, 19 langsung tidak pernah imipikan kejayaan sebesar ini.

Gadis yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu memberitahu produk yang dijualnya itu mencecah 31,000 hanya dalam masa dua minggu dan berjaya mengutip RM1 juta jualan.

"Memang tak ada fikir lain masa mula nak buat bisnes... disebabkan terlalu muda nak kahwin kami nak usaha sendiri cari duit kahwin.

Ya Allah... Saya rasa macam insan terpilih sangat. Rezeki ini tak pernah saya impikan selama saya hidup

ANES AYUNI OSMAN

"Rasa macam tak percaya hanya dengan menjual produk susu, saya berjaya mengutip RM1 juta jualan dan hampir 2,000 ahli di bawah saya.

"Bukan saya seorang sahaja berjaya, semua anak buah pun sama. Ada juga yang nak beli kereta dan jualan mereka pun mencecah berpuluh ribu.

"Allah SWT permudahkan banyak urusan saya.. Mungkin rezeki nak kahwin dan berkat doa keluarga selama ini," ujarnya lagi.



Kereta Ford Mustang.

Bercerita lanjut pengalamannya dengan mStar, gadis yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia bersama suami sememangnya telah merancang untuk membeli kereta tersebut seminggu yang lepas tetapi dia tidak sangka kereta itu dapat keluar secepat mungkin.

"Memang kami dah beli kereta tu seminggu lepas dan buat bayaran tunai tetapi saya tak sangka kereta boleh keluar secepat itu.

"Suami ada cakap nak buat kejutan di hari perkahwinan nanti tetapi tak sangka dia nak bawa kereta itu depan keluarga dan orang ramai.

"Rezeki yang Allah SWT bagi ini pun ujian juga untuk tengok sejauh mana saya guna rezeki itu sebaik mungkin. Saya tak nak rasa bangga dalam diri, takut sangat," katanya.

Majlis perkahwinan mereka itu berlangsung di kediamannya iaitu Pasir Mas pada Jumaat lalu dan hanya dihadiri keluarga dan rakan terdekat sahaja yang sama-sama menjadi saksi menitisnya air mata ibunya kerana terlalu gembira akan pencapaian pasangan pengantin itu.

Ayuni berharap dia boleh menjadi contoh terbaik kepada anak muda di luar sana yang ingin melakukan bisnes tetapi takut untuk memulakan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain