PELIK tapi benar, itulah yang dilakukan seorang pemuda yang meminta pengguna jalan raya membunyikan hon ketika dia menunggang motosikal. "Hon la kuat mana pun, aku tak marah," tulis pemuda berkenaan menerusi satu ciapan di laman Twitter, bersama sekeping foto seorang lelaki yang kini tular. Bukan gurauan, tapi memang benar apabila pemuda berkenaan menulis pesanan tersebut pada sekeping kadbod yang dilekatkan pada kotak simpanan makanan di bahagian pembonceng. ARTIKEL BERKAITAN: 'Kaki besi' tekan pedal curi tumpuan pengguna jalan raya, ramai tak tahu rider ini sebenarnya buat 4 kerja! ARTIKEL BERKAITAN: Order banyak, kemudian 'ghaib'! Rider bergegas hantar makanan terdiam tengok harga lebih RM100 - "Saya dipertemukan dengan orang yang memerlukan" Sebenarnya, pemuda itu, Muhammad Zul Iqbal Md Zainulfudi menitipkan pesanan buat mereka yang berminat untuk membeli ketupat daun palas dan rendang ayam yang dijualnya. Rendang ayam dan ketupat daun palas yang dihasilkan oleh Zul. Anak muda berusia 22 tahun itu berkata, dia baru memulakan perniagaan tersebut secara kecil-kecilan dua minggu lalu. "Saya yang buat sendiri, dari menganyam ketupat, masak rendang ayam sehingga menghantar pesanan kepada pelanggan selain menjualnya menggunakan motosikal. "Foto yang tular itu bukan saya, tetapi sebenarnya adalah salah seorang pelanggan saya. Dia yang membunyikan hon dekat Taman Melati, Kuala Lumpur kerana mahu membeli ketupat dan rendang ayam," katanya kepada mStar. Lebih mesra disapa Zul, katanya, kebolehannya menganyam ketupat daun palas sebenarnya bermula dari zaman sekolah rendah, dengan tunjuk ajar daripada ibu bapanya. Berkebolehan menganyam ketupat sejak usia muda. "Dari kecil lagi saya dah boleh anyam ketupat. Biasanya bila nak dekat Hari Raya, baru saya menganyam. Semua adik-beradik ada tugasan masing-masing. "Ada yang kemas rumah, beli barang... dan saya pula memang jadi tukang 'balut ketupat' setiap kali menjelang Hari Raya," ujar anak ketiga daripada enam beradik itu. Menurut pemuda yang berasal dari Kuala Lumpur itu, rendang ayam dipelajari daripada ibunya yang turut memberi bimbingan kepadanya untuk mengusahakan bisnes tersebut. Zul yang juga dikenali sebagai Cholll berkata, selain berkebolahan menganyam ketupat dan memasak rendang ayam, dia melakukan bisnes itu bagi memenuhi selera orang ramai yang sukar didapati terutama di bandar dan bukan musim perayaan. "Selalunya kita makan ketupat bersama rendang ayam bila Hari Raya. Tapi sebenarnya ramai yang teringin nak menikmati makanan ni tanpa perlu tunggu Hari Raya," ujarnya. Ketupat daun palas. Berkongsi pengalaman, dia juga tidak menyangka bisnesnya dapat memenuhi keinginan itu terutama wanita hamil yang mengidam untuk menikmati makanan tersebut. "Saya pernah dapat pesanan daripada seorang wanita untuk hantar ke Ampang. Bila sampai, suami dia ambil pesanan tu beritahu yang isterinya mengandung mengidam nak makan ketupat dan rendang ayam. Dapat pesanan daripada seorang wanita untuk hantar ke Ampang. Bila sampai, suami dia ambil pesanan tu beritahu yang isterinya mengandung mengidam nak makan ketupat dan rendang ayam MUHAMMAD ZUL IQBAL MD ZAINULFUDI "Satu lagi insiden pula, kerana mahu memenuhi permintaan isteri yang mengidam, seorang suami yang kebetulan berada di Shah Alam beli untuk bawa balik beri pada isterinya di Cheras yang mengidam nak makan. "Bila saya tahu, sudah tentu saya terkejut tetapi rasa sangat puas hati sebab apa yang saya jual mendapat permintaan. Memang saya gembira sampai tersengih seorang," katanya. Zul menjual ketupat dan rendang ayam tanpa mengira musim perayaan. Zul berkata, dia dapat menghasilkan antara 20 hingga 25 set ketupat daun palas bersama rendang ayam sehari kerana mengusahakannya sendiri pada masa ini. "Kalau ada gantung kadbod kat belakang motor tu maksudnya ada lagi set untuk dijual, kalau tak ada maksudnya dah habis. Jadi, kalau nampak dan mahu membeli, hon la kat mana-mana pun tapi saya kena berhenti kat tempat yang selamat dulu," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!