suria

Ibu buat kebun, anak main TikTok! Jurulatih silat tak sangka ramai minat ilmu tumbuhan - “Ada dekat rumah tapi tak tahu ada khasiat”

Arasyi pernah mewakili Malaysia dalam sukan silat ke sebuah kejohanan di Vietnam pada tahun 2013.

"SEKADAR berkongsi ilmu."

Itulah yang diungkapkan seorang jurulatih silat, Muhammad Nur Arasyi Zubaidillah, 26, yang menghasilkan video mengenai khasiat tumbuh-tumbuhan menerusi aplikasi TikTok.

Mesra disapa Arasyi, dia berkata kebun itu mula diusahakan sejak sebulan yang lalu dengan bantuan ibunya, Hairani Haris, 59, seorang pensyarah yang pernah membuat kajian mengenai tumbuh-tumbuhan suatu masa lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu dikenali sebagai ‘Abang Kesian’ raih populariti luar biasa, tak melatah terima komen pertikai karakter lembut

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih TikTok platform berdakwah... gadis berpurdah seawal usia 14 tahun hampir menangis saat terima mesej individu luah hasrat berhijrah

"Dulu umi pernah buat kajian mengenai tumbuh-tumbuhan. Umi juga ada buat buku, bila saya baca, saya rasa ia sangat berfaedah. Apa salahnya kongsi maklumat itu dekat TikTok?

"Kami pula duduk di kawasan kampung. Kebun ini umi usahakan bersama Abi yang juga bapa tiri saya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

"Umi sekarang masih lagi bekerja sebagai pensyarah. Kebun ni juga dia buat standby untuk bersara nanti," ujarnya kepada mStar.

Kebun di halaman rumahnya.

Sejak mengusahakan tanaman itu, Arasyi berkata dia sekeluarga turut menerima kunjungan individu yang mahu mencari pokok untuk rawatan tradisional.

"Saya belajar silat, jadi nak kena tahu juga mengenai perubatan. Macam pokok-pokok ni, ada yang umi beli, ada yang dia cari sendiri.

Sebab kita generasi muda banyak tak tahu mengenai pokok-pokok ni. Ia sebenarnya ubat untuk orang dulu-dulu.

ARASYI

"Ada orang luar masuk sebab nak cari pokok, tapi kebun ni kami bukan usahakan untuk buat perniagaan pun," ujarnya lagi.

Menurut Arasyi lagi, dia seronok apabila perkongsian ilmu mengenai khasiat tumbuhan yang dibuat secara santai di TikTok menerima reaksi positif netizen.

Malah, dia sehingga kini sudah mengumpul lebih 230,000 pengikut di aplikasi video popular itu.

Arasyi bersama isteri dan anaknya.

"Saya rasa seronok berkongsi ilmu menerusi content yang dihasilkan. Dengan video-video itu, orang boleh tahu mengenai khasiat pokok.

"Sebab kita generasi muda banyak tak tahu mengenai pokok-pokok ni. Ia sebenarnya ubat untuk orang dulu-dulu.

"Ada yang komen, mereka kata tumbuhan yang saya tunjuk dalam TikTok tu ada di sekitar rumah mereka. Tapi mereka tak tahu ia ada khasiat tersendiri.

Arasyi kini bekerja sambilan sebagai jurulatih silat.

"Mungkin ada juga yang tak mampu nak buat rawatan moden, jadi boleh rawat guna cara tradisional," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai dirinya, Arasyi yang sudah berumah tangga dan memiliki seorang cahaya mata merupakan lepasan Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) dan Universiti Malaya (UM).

Malah, jika tiada aral melintang, dia juga bakal bergelar guru Pendidikan Jasmani tidak lama lagi.

Arasyi memiliki lebih 200,000 pengikut di TikTok.

Menurut Arasyi, allahyarham bapa kandungnya, Zubaidillah Sulaiman yang meninggal dunia pada tahun 2019 merupakan Al-Fakir Guru Utama Sri Gayong Panglima Ulung Malaysia dalam perguruan silat.

Kini, dia mewarisi legasi allahyarham dan turut bekerja secara sambilan sebagai jurulatih silat Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak untuk persiapan bagi Sukan Malaysia di Johor yang dijangka berlangsung pada 2022.

Untuk rekod, Arasyi juga pernah mewakili Malaysia dalam sukan silat ke sebuah kejohanan di Vietnam pada tahun 2013.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain