suria

Tak kisah beratur dalam cuaca panas, jurusolek kagum lihat sikap peniaga buah warga emas... asyik minta maaf, ucapkan Bismillah - “Boleh repeat beli”

Video memaparkan peniaga berkopiah ini meraih hampir 200,000 tontonan di TikTok.

TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja seorang peniaga buah warga emas di Pengkalan Kubur, Kelantan menjadi tular di media sosial.

Semuanya gara-gara perkongsian yang dibuat oleh seorang jurusolek, Efa Farihah, 30, menerusi aplikasi TikTok.

Menurut wanita dari Pasir Mas itu, dia berkunjung ke gerai warga emas itu yang terletak berhampiran Masjid Pengkalan Kubur selepas mendapat tahu mengenainya daripada seorang rakan, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak dalam pelukan, peniaga jagung rabun kronik akui bahagia dapat jumpa Ustaz Ebit

ARTIKEL BERKAITAN: Pakcik dapat ‘habuan’ selepas tekan, hempas-hempas rojak depan pelanggan

"Saya kali pertama pergi ke gerai pakcik tu. Mula-mula saya tengok kawan yang pergi beli dengannya, dia kongsi di status WhatsApp.

"Jadi saya dari Pasir Mas, sanggup lalui perjalanan 30 minit untuk ke Pengkalan Kubur semata-mata nak beli buah dengan pakcik tu.

"Semasa beratur, saya dapat idea secara spontan untuk rakam video dia sedang berniaga," ujarnya kepada mStar.

Menurut wanita yang mesra disapa Efa itu, ada dua perkara yang membuatkan hatinya tersentuh sewaktu berhadapan dengan warga emas itu.

Ujarnya lagi, sikap peniaga itu juga membuatkan dia berasa tidak kisah untuk beratur dalam cuaca panas untuk membeli aneka buah berkenaan.

Kata Efa, dia cukup kagum dengan sikap yang dipamerkan peniaga itu.

"Saya sangat tertarik dengan cara pakcik tu berniaga. Setiap kali dia nak buat sesuatu, ia akan dimulakan dengan kalimah Bismillah. Saya boleh dengar dengan jelas.

"Kemudiannya, dia akan minta maaf kepada setiap pelanggan yang beratur kerana mereka terpaksa menunggu sebelum dilayan.

"Walaupun tunggu dalam cuaca panas, tapi saya rasa berbaloi. Kita tak rasa apa-apapun," ujarnya lagi.

Menurut Efa yang sudah enam tahun berkecimpung sebagai jurusolek, harga yang ditawarkan oleh peniaga itu cukup berpatutan.

Bukan itu sahaja, buah yang diberi juga cukup segar dan rangup, ditambah pula dengan kuah pencicah atau 'colek' yang cukup menyelerakan.

Saya rasa terharu, murah rezeki pakcik tu. Harapnya dia diberi kesihatan dan dimurahkan rezeki.

EFA

"Memang berbaloi walaupun harga RM5 sahaja. Masa tu saya beli tiga jenis buah.

"Colek yang diberikan memang sedap. Tak pedas, tak manis... sesedap rasa.

"Waktu dia potong buah pun nampak tangkas. Saya jadi kagum," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Efa berkata dia dihujani pertanyaan netizen mengenai lokasi sebenar gerai peniaga itu.

Paparan skrin posting tular itu.

"Saya memang terkejut, tak sangka ia jadi viral. Saya suka-suka rakam video dia.

"Ramai yang komen tanya lokasi. Ada juga penduduk Kelantan yang merantau tinggalkan komen, mereka kata rindu nak balik kampung selepas tengok video tu.

"Mereka juga nak cuba buah yang dijual pakcik tu apabila balik ke Kelantan nanti.

"Saya rasa terharu, murah rezeki pakcik tu. Harapnya dia diberi kesihatan dan dimurahkan rezeki. InsyaAllah saya akan repeat lagi," ujarnya.

Sehingga kini, video dikongsi Efa meraih hampir 200,000 tontonan di TikTok.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain