suria

‘Tetamu tak diundang’ selamba berlenggang masuk, siap baring jadi saksi majlis nikah - “Duduk nak dekat setengah jam sampai selesai ijab kabul”

Kisah seekor kucing 'menemani' Luqman ketika majlis akad nikahnya minggu lalu menjadi tular.

"KENANGAN majlis pernikahan yang tidak dapat dilupakan"

Demikian kata pasangan suami isteri ini apabila berkongsi cerita mengenai peristiwa lucu yang berlaku ketika hari bahagia mereka baru-baru ini yang turut dihadiri 'tetamu tidak diundang'.

Menerusi video yang dikongsikan di laman Twitter, kelihatan pengantin lelaki dan pasangannya serta ahli keluarga terdekat sedang khusyuk mendengar khutbah daripada juru nikah sebelum majlis akad nikah dilaksanakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sama-sama tak tahan rindu, isteri bawa ‘anak angkat’ ziarah kubur suami baru meninggal 4 hari - “Memang lain sangat gelagatnya malam tu”

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 2 tahun kucing tak jemu ziarah kubur tuannya, hanya balik masa lapar... menantu dedah kebaikan arwah bapa mentua - “Abah tak manjakan Nana pun”

Namun secara tiba-tiba, majlis tersebut 'dicerobohi' oleh seekor kucing yang selamba berjalan 'berlenggang' dan masuk ke dalam masjid lalu duduk betul-betul di sisi pengantin lelaki.

Situasi tersebut nyata membuatkan seisi majlis tergelak dengan tingkah laku selamba kucing berkenaan.

Sehingga kini video yang dikongsikan di laman sosial itu meraih melebihi 34,000 retweet selain dibanjiri dengan komen netizen.



Luqman membelai kucing yang menyelinap masuk ketika majlis akad nikahnya, minggu lalu.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pengantin lelaki bernama Luqman Zaini berkata dia secara jujurnya terkejut dengan kehadiran kucing berkenaan namun ia tidak mengganggu konsentrasinya untuk melafazkan akad nikah.

"Sebenarnya sebelum itu lagi kucing tu dah berlegar-legar dalam masjid dan ada seorang saksi nikah ambil dan letakkannya di luar. Ia kucing yang memang sentiasa ada di masjid.

"Entah macam mana tak lama tu ia masuk semula dan duduk betul-betul sebelah saya. Masa tu jurunikah tengah baca khutbah. Memang semua tergelak.

"Ia memang duduk behave dekat sebelah... hanya alih-alih posisi je jadi jurunikah teruskan saja majlis. Bapa mentua yang duduk di depan saya pun kata ia makhluk Tuhan juga. Saya tak terganggu pun sebab kami sendiri pelihara kucing.



Kucing berkenaan 'menemani' Luqman sehingga selesai dia melafazkan akad nikah.

"Mungkin dia boleh 'bau' kot orang yang suka kucing. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar," ceritanya mengimbas kembali peristiwa yang berlaku pada 20 Februari lalu itu.

Dedah Luqman, kucing berkenaan sebenarnya duduk di sampingnya sehingga kira-kira hampir setengah jam iaitu sehingga dia selesai melafazkan akad nikah.

"Dalam video tu pendek saja... tapi dalam klip video yang panjang, memang ia duduk nak dekat setengah jam di sisi saya," cerita pemuda berusia 26 tahun ini.

Mungkin dia boleh 'bau' kot orang yang suka kucing. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.

LUQMAN ZAINI

PENGANTIN LELAKI

Menurut Luqman, sungguhpun majlis tersebut dihadiri 'tetamu tidak diundang', namun dia dan isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Nadia sejujurnya bersyukur dan menganggap apa yang berlaku mempunyai 1001 hikmah penuh bermakna.

"Tidak sangka pun video tu viral... mungkin sebab netizen terhibur dengan gelagat kucing tu. Cuma kami rasa gembira dan terharu sebab ramai yang komen positif.

"Ada yang kaitkannya dengan rezeki... ada yang kata kucing boleh kenal orang yang penyayang. Sememangnya kami ada pelihara kucing... keluarga saya ada empat ekor manakala isteri ada dua ekor.



Luqman dan isteri terharu dengan komen-komen positif netizen yang rata-ratanya mendoakan kesejahteraan rumah tangga yang baharu dibina.

"Macam-macam lagi komen mereka. Mudah-mudahan doakan kami di permulaan untuk membina kehidupan ini moga murah rezeki dan dipermudahkan. Alhamdulillah dan terima kasih semua," ujarnya yang merupakan pekerja di sektor swasta.

Sementara itu menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bukan saja melontarkan komen-komen lucu malah turut mendoakan yang terbaik untuk pasangan berkenaan.

"Ni baru betul dipanggil saksi.

"Semoga kucing tu pembawa rezeki untuk pasangan.

"Automatik pengantin perempuan tu rasa cair sekali lagi. Orang yang penyayang biasanya kucing boleh mai dekat," demikian antara komen netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain