suria

Mengidam Yong Tau Fu tapi geram pesanan lewat tiba, bergenang air mata penulis novel ketika tahu keadaan sebenar rider - “Call berulang kali nak tarik perhatian tengok inbox”

Seorang wanita berkongsi kisah mengenai rider yang menghantar pesanannya sehingga membuat dirinya benar-benar terkesan. Gambar hiasan

JIKA ditelusuri di media sosial, banyak kisah membabitkan pekerja penghantar makanan atau barangan (rider) yang dikongsikan oleh netizen.

Apa yang pasti, kisah yang dikongsikan itu sudah semestinya mengandungi 1001 hikmah untuk dihayati bersama pengguna media sosial yang lain, sebagaimana perkongsian oleh seorang pelayar ini.

Menerusi satu coretan di Facebook, pelayar berkenaan yang juga seorang penulis novel dan buku motivasi, Bonda Nor, berkongsi kisah seorang rider yang benar-benar memberi kesan kepada dirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Tragedi’ pesanan terakhir! Rider Grab telefon pelanggan dahulu selepas kemalangan, isteri hamil anak ke-4 ‘last’ - “Rehat dululah, motor rosak”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kaki besi’ tekan pedal curi tumpuan pengguna jalan raya, ramai tak tahu rider ini sebenarnya buat 4 kerja!

"Tadi terasa sangat nak makan Yong Tau Fu. Laju tangan order guna Grab Food. Ikut sistem, dah dapat rider dan patutnya sampai pukul 6.15 petang tapi sampai 6.45 petang tak sampai-sampai.

"Geramlah juga sebab tak suka buka pintu rumah kalau dah nak Maghrib. Antara jam 6.15 ke 6.45 tu, banyak kali dapat call daripada nombor yang sama.

"Memang biasanya saya tak angkat call kalau nombor tak dikenali. Tapi sebab ni tengah tunggu Grab Food kan, terpaksalah angkat juga takut rider susah nak cari rumah," kongsinya mengenai kisah yang berlaku baru-baru ini.

Namun menurut wanita berkenaan, apa yang membuatkan dia bertambah hairan adalah si pemanggil langsung tidak bersuara apabila dia menjawab setiap panggilan yang masuk.



Wanita itu rasa serba salah kerana tidak memeriksa inbox yang dihantar oleh rider OKU berkenaan. Gambar hiasan

"Ya, berulang kali jadi macam tu. Makin geramlah pulak! Main-main ke apa dia ni! Lebih jam 7 malam, tergerak hati nak cek mesej kat Grab order tu.

"Ya Allah, terus sebak teramat! Bergenang air mata. Rupa-rupanya rider tu pekak dan bisu," cerita wanita berkenaan.

Menurutnya, tindakan rider berkenaan membuat panggilan berulang-ulang kali adalah bagi mahu menarik perhatiannya supaya memeriksa kotak inbox kerana ada menghantar mesej bertanyakan lokasi rumah.

"Allahu Rabbi. Hampir sejam dia berpusing-pusing cari lokasi nak hantarkan makanan yang saya teringin nak makan. Langit dah makin gelap, tapi dia masih tak tahu kat mana nak hantar makanan yang customer order.

Ya Allah, terus sebak teramat! Bergenang air mata. Rupa-rupanya rider tu pekak dan bisu.

BONDA NOR

PELANGGAN

"Tapi dia tetap setia tunggu dan mencuba. Padahal bukannya banyak pun upah hantar tu cuma RM3 saja. Tapi seksanya dia nak dapat rezeki banyak tu. Saya sebak! Rasa bersalah sungguh!," coretnya.

Bagi menebus rasa serba salah sekaligus menghargai tindakan penuh bertanggungjawab rider berkenaan, wanita itu berkata dia tanpa was-was terus memberikan tip menerusi sistem penghantaran berkenaan.

"Bagi dia nilai tips paling tinggi yang ada di situ, tapi tetap rasa tak cukup. Tetap juga rasa bersalah terlalu mencengkam hati. Moga Allah ampuni salah sangka saya dan limpah ruahkan rezeki buat adik Grab Food tadi.



Paparan tangkapan skrin aplikasi sistem di mana wanita tersebut memberikan tip sebanyak RM10 bagi menebus rasa serba salahnya.

"Itulah kita manusia, kadang mudah berprasangka, hanya fikir apa yang kita nak tanpa fikir apa masalah orang. Saya tulis kat sini untuk jadi peringatan pada saya lain kali.

"Mana tahu jadi pada tuan puan pula suatu hari nanti, tidaklah tuan puan lakukan kesilapan yang sama macam saya hari ini. Yang kadang kita ingat salah orang, rupa-rupanya salah sendiri. Allahu Rabbi," katanya lagi.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih melebihi 3,200 shares.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain