suria

Pagi bertukang di bengkel, petang mengajar kelas fardhu ain... ustazah jiwa seni tak sia-siakan bakat ubah suai sendiri dapur ibu

Wani, seorang ustazah yang turut bekerja sebagai tukang kayu bergambar dengan kedua ibu bapanya di dapur baharu kediaman mereka.

DENGAN minat dan bakat yang dimiliki, seorang ustazah Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) turut bekerja sebagai tukang kayu sejak lima tahun.

Terbaharu, kisah ustazah yang dikenali sebagai Auni Hazwani, 29, yang membuat renovasi dapur rumah bersama bapanya, Faizun Abd Rahman, 62, turut mencuri perhatian ramai.

Bercakap kepada mStar, dia yang mesra disapa Wani mengakui proses selama dua bulan itu merupakan hadiah untuk ibunya, Sharifah Nor Abdullah, 59, yang memiliki hobi memasak sejak dulu lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwah beri teguran, saran admin tutup terus grup FB ajak manusia riyak... pamer kekayaan, pakaian dalam pun nak tayang!

ARTIKEL BERKAITAN: Besarnya hikmah jaga aurat, Allah tutup aib ustazah Shadiya dengan sehelai tuala kecil

"Idea asal saya untuk ubah suai dapur ibu. Mak suka masak, dari pagi sampai malam duduk di dapur. Jadi saya usulkan idea ini.

"Ayah cuma selesaikan bahagian island kitchen, bahagian ikat batu-bata dan jubin.

"Secara anggaran kasar, proses yang bermula sejak 7 Disember tahun lepas dan berakhir pada Jumaat lalu dilengkapkan dengan kos RM1,500," ujarnya.

Keadaan asal dapur di kediaman keluarga ustazah itu.

Kata Wani, bapanya yang juga pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama-sama bertungkus lumus dalam projek itu dan mengakui gembira dengan hasil akhir yang diperolehi.

"Sangat gembira. Sebab kita bukannya kerja gaji besar. Tak mampu nak belanja mewah-mewah.

"Saya cuma ada kelebihan kudrat. Saya cuba bagi keluarga selesa. Walaupun tak sekemas kerja tukang rumah, tapi puas hati dapat siapkan dalam masa dua bulan," ujarnya.

Tambah Wani, dia juga terkejut apabila kisahnya tular di Twitter setelah beberapa keping foto dimuat naik baru-baru ini.

Keadaan terkini dapur yang diubah suai oleh Wani bersama bapanya.

"Perasaan saya sebenarnya terkejut. Saya bukan jenis suka berkongsi apa-apa di media sosial. Instagram saya pun private.

"Ada pula jenis suka berkongsi. Berdebar saya bila banyak notifikasi masuk dalam telefon," ujarnya.

Bercerita mengenai dirinya, Wani berkata dia sememangnya minat untuk menjadi tukang kayu dan sudah menyedari bakat seni miliknya sejak sekian lama.

Wani berada di bengkel mini miliknya.

Malah, dia juga pernah menjadi pelajar seni bina sebelum berhenti dan meneruskan pengajian dalam Diploma Dakwah dan Pengurusan di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah.

"Saya jadi tukang kayu secara sambilan. Ada bengkel mini di rumah sejak lima tahun lepas.

"Mungkin saya berjiwa seni, dari sekolah saya ambil aliran seni dan sambung pengajian dalam bidang seni bina selama tiga bulan.

Antara hasil kerja pertukangan Wani.

"Tapi masa tu jiwa rasa nak belajar agama, jadi saya berhenti dan tukar bidang pengajian.

"Jadi biasanya pagi di bengkel sehingga jam 12. Biasanya orang selalu tempah meja. Sebelah petang pula saya fokus untuk mengajar.

"Dari segi bahagi masa, saya tiada masalah. Cuma penat je lah sikit," ujarnya lagi.

Sehingga kini, posting mengenai renovasi dapur ibunya menerima lebih 7,700 ulang kicau (Retweet) di Twitter.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain