HIDAYAH itu milik Allah, sampai masa pasti terdetik untuk menjadikannya kenyataan. Biarpun awalnya terpaksa menunda hari dan tarikh memeluk Islam gara-gara akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun akhirnya gadis ini berjaya melafazkan dua kalimah syahadah pada 24 Februari lalu. Gadis bernama Nur Serena Qian Xing, 21, berkata dari dahulu lagi dia dikelilingi dengan umat Islam dan hampir dua tahun telah memasang niat untuk berhijrah. ARTIKEL BERKAITAN: Lama pendam hasrat peluk Islam, mudahnya urusan ‘hijrah’ wanita ini... lebih terharu keluarga tumpang gembira - “Saya doa mereka sama-sama cium syurga” ARTIKEL BERKAITAN: Setahun peluk Islam, apa yang dialami jejaka mualaf ini tidak pernah dijangka... terharu keluarga mentua terima menantu nakal! "Alhamdulillah, Nur ialah tambahan nama yang saya pilih," tulisnya di Twitter pada Rabu lalu. Perkongsian yang meraih sehingga 58,000 likes dan lebih 13,000 retweets itu dipenuhi dengan komen netizen yang mengucapkan tahniah, mendoakan, memberi kata-kata semangat lalu ada juga di antara mereka yang ingin memberi hadiah dan sumbangan. Ketika dihubungi mStar, lebih mesra disapa Nur, dia dengan rendah diri sudi berkongsi serba sedikit pengalamannya serba sedikit ketika sebelum dan selepas memeluk Islam. Gadis yang menetap di Larkin, Johor Bharu ini turut meluahkan rasa syukur kerana segala urusannya dipermudahkan dan diterima baik oleh pihak Jabatan Agama Islam, Pejabat Kadi Daerah Johor Bharu dan juga dalam kalangan netizen. Nur berkongsi kisah penghijrahannya di Twitter. "Alhamdulillah.. Saya diberi kesempatan memeluk Islam dan menjadi hamba Allah. Saya sangat terharu dengan penerimaan yang luar jangkaan dan sangat baik daripada keluarga, rakan terdekat dan orang ramai. "Sungguh tak sangka saya diterima baik sebegini rupa. Perasaan bersyukur tak mampu saya luahkan dengan kata-kata melainkan dengan ucapan terima kasih. "Lebih mengejutkan saya perkongsian di Twitter mendapat sambutan yang luar biasa. Terima kasih banyak-banyak. Saya sangat hargai. "Saya sebolehnya tak nak berkongsi sangat kerana takut perbuatan saya ini timbul rasa riak dan bangga dalam diri tetapi untuk memberi inspirasi saya berbesar hati untuk berkongsi," ujarnya. Gadis yang memilih nama Nur Serena Qian Xing sebagai nama baharunya gembira proses penghijrahannya berjalan lancar. Bercerita lanjut mengenai penghijrahannya, Nur berkata sebelum memasang niat ingin memeluk Islam dua tahun yang lalu, dia sememangnya dikelilingi dengan ramai rakan yang beragama Islam dan disebabkan itu dia banyak belajar mengenali lebih mendalam agama ini. Menceritakan tentang proses memeluk Islam baru-baru ini, Nur berkata jika sebelum ini ditunda kerana PKP, tapi kini semuanya berjalan lancar dan urusan sangat dipermudahkan. "Proses mudah sangat dan tak makan masa yang lama. Hanya seorang saksi ditetapkan dan ditemani kawan lelaki, saya ke pejabat agama. "Sampai di kaunter pertanyaan, saya beritahu nak masuk Islam dan mereka beri saya borang untuk isi sebelum ke satu bilik untuk mendengar sedikit taklimat dan mengucap syahadah," ujarnya lagi. Saya bersyukur tiada halangan daripada keluarga. Mereka turut memberi sokongan kepada saya. Mereka juga rapat dengan Islam tetapi belum tiba masanya. NUR SERENA QIAN XING Sempat ditanya mengenai penerimaan keluarga, Nur berkata semuanya baik sahaja dan mereka terima keputusannya dengan hati terbuka. Menurut anak tunggal itu, kedua ibu bapanya telah berpisah suatu ketika dahulu dan masing-masing sudah mempunyai keluarga baharu. Dia yang bekerja sebagai seorang kerani di syarikat swasta berharap hatinya akan terus kuat dalam menjalani hari baharunya. "Saya bersyukur tiada halangan daripada keluarga. Mereka turut memberi sokongan kepada saya. Mereka juga rapat dengan Islam tetapi belum tiba masanya," katanya. Mula mengenakan hijab, Nur Serena berkata dia mula belajar menutup aurat sepenuhnya secara perlahan-lahan. Malahan, dia bersama ibunya juga saling mengagumi Ustaz Ebit Lew kerana adabnya dalam menyampaikan ajaran Islam. Nur turut mengakui dia banyak mendapat inspirasi daripada personaliti tersohor itu dan berharap suatu hari nanti dapat sampai ke tahap itu. "Bagi saya, berhijrah ini tidak boleh terlalu drastik takut tak kekal lama. Saya akan pelahan-lahan perbaiki diri. "Soal berhijab pula, InsyaAllah sampai waktunya saya akan menutup aurat sepenuhnya," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!