DUGAAN menimpa sebuah keluarga termasuk seorang remaja perempuan yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila bapanya dijemput Ilahi. Bapa remaja itu menghembuskan nafas terakhir akibat serangan sakit jantung ketika pelajar tersebut sedang menjawab Kertas 2 Matematik di dewan peperiksaan. Allahyarham iaitu Lans Koperal Wan Nor Halim Abdul Rahim merupakan anggota polis yang pernah bertugas sebagai pengawal pengiring kepada Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah. ARTIKEL BERKAITAN: Dugaan besar calon SPM, jenazah bapa dibawa ke sekolah untuk ditatap buat kali terakhir ARTIKEL BERKAITAN: Sayu... Adik bertafakur di sisi jenazah bapa sebelum jawab SPM, sempat bergegas pulang untuk solat jenazah - "Saat lihat saya solat, arwah menangis kesyukuran" Anak sulung Allahyarham iaitu Wan Izzuddin berkata, bapanya meninggal dunia pada usia 56 tahun, pukul 11.21 pagi Isnin dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya. Allahyarham Wan Nor Halim berkhidmat sebagai anggota polis lebih 35 tahun. Pemuda berusia 27 tahun itu memberitahu, pada pagi itu bapanya pulang bekerja selepas bertugas syif malam sebelum mengalami sesak nafas. "Ayah pada mulanya okay saja selepas pulang bekerja, sempat juga dia makan dan minum. Tapi dia kemudian mengalami sesak nafas. "Kami bawa ayah ke hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi ayah meninggal dunia dalam perjalanan," katanya kepada mStar. Antara kenangan Allahyarham sebagai anggota polis. Lebih dikenali sebagai Izzuddin, katanya, bapanya berkhidmat sebagai anggota polis selama lebih 35 tahun bermula pada 1985 sebelum bertugas di Istana Anak Bukit di Alor Setar, Kedah sebagai pengawal pengiring kepada Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah pada 1987. Selepas berkhidmat di istana selama beberapa tahun, katanya, Allahyarham ditugaskan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, dan antara lain turut berkhidmat di Balai Polis Ampang Jaya, dan kini kembali bertugas di Balai Polis Perai di Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang. "Ayah seorang yang tegas dan garang. Tapi ayah begitu mementingkan pendidikan anak-anaknya dan sering berpesan supaya kami belajar rajin-rajin. "Sebagai polis, karakter ayah nampak tegas tetapi sebenarnya ayah suka membantu orang lain selain sering menggunakan budi bicaranya," katanya yang merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Kenangan... Allahyarham Wan Nor Halim (duduk, kiri) bersama isteri, Balkhis Abd Hamid (duduk, kanan sekali) serta keluarga. Mengenai adik perempuannya yang merupakan calon SPM, Wan Nur Husma Hana, Izzuddin berkata, adiknya yang berusia 18 tahun itu berada di dewan peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Butterworth bagi menjawab kertas soalan Matematik. "Masa tu ayah sudah disahkan meninggal dunia sebaik dibawa ke Hospital Seberang Jaya. Tapi kami tak nak ganggu tumpuan dia sehingga selesai peperiksaan dahulu. Ayah seorang bapa tegas dan garang. Tapi ayah seorang begitu mementingkan pendidikan anak-anaknya dan sering berpesan supaya kami belajar rajin-rajin WAN IZZUDDIN WAN NOR HALIM "Jiran kemudian membantu menjemput adik saya di sekolah dan dalam perjalanan ke hospital barulah adik dimaklumkan bahawa ayah dah tak ada," katanya yang bekerja di sebuah hotel. Menurut Izzuddin, jenazah bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Dalam selepas solat Asar pada Isnin. Jenazah selamat dikebumikan selepas solat Asar. "Adik perempuan saya berpakaian seragam sekolah ke hospital untuk ziarah jenazah tapi kemudian sempat bertukar persalinan untuk pengebumian jenazah. "Nur Husma Hanna ni satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Dia hanya menangis dan banyak mendiamkan diri bila tahu ayah dah tak ada. Kami sekeluarga beri semangat untuk dia terus kuat menduduki SPM. "Sebelum SPM bermula lagi ayah berpesan supaya adik saya belajar rajin-rajin, jangan tinggal solat... nanti berjaya boleh jadi guru. "Ayah tahu impian adik saya untuk menjadi guru, dan ayah begitu menyokong. Sesibuk mana pun ayah apabila bertugas, dia tetap seorang ayah yang penyayang," ujar Izzuddin. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!