suria

Wow! Ibu tak suka hadiah, anak persembahkan ruang tamu baharu... hanya ambil masa seminggu, ruang suram bertukar elegan

Ruang tamu kediaman keluarga jurugambar itu bertukar wajah, hasil sentuhan magisnya sendiri pada tahun lalu.

SETIAP anak pastinya menyimpan hasrat untuk membalas segala jasa dan pengorbanan ibu bapa mereka.

Apabila sudah dewasa, bekerja dan memiliki pendapatan sendiri, anak-anak juga sedaya-upaya akan berusaha untuk menggembirakan kedua orang tua yang disayangi.

Begitu juga dengan jurugambar ini apabila dia memilih untuk membuat sendiri dekorasi ruang tamu sebagai hadiah buat ibunya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Dari dalam rumah hingga ke pagar, dekorasi ibu 'meriah'... sanggup cat basikal lama buat hias laman - "Saya tolong angkat-angkat barang je"

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Interior Design jelmakan sentuhan magis di kamar tidur, ibu 'teringin' siap buat permintaan khas - “Ingat tak sempat sebelum raya”

Siapa sangka, hasil sentuhan tangan Amir Naufal Norull Ahmad, 29, ruang tamu lama yang kelihatan suram di kediaman keluarganya di Ayer Keroh, Melaka tiba-tiba sahaja berubah menjadi elegen dan cukup lawa.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Amir mendedahkan proses transformasi itu dibuat pada pertengahan tahun lalu, namun baru sahaja berkongsi mengenainya di aplikasi TikTok.

Amir bersama ibunya, Cikgu Suriyati.

"Saya buat sebelum raya tahun lepas. Sebab ummi saya jenis tak suka kalau nak beli hadiah untuk dia.

"Bila balik rumah, saya tengok warna di ruang tamu pun dah lusuh. Dengan sofa lama, kalau kemas pun tetap nampak sama.

"Jadi saya dapat idea untuk buat dekorasi baharu untuk ummi. Ia sebagai hadiah saya kepadanya," ujar Amir ketika dihubungi.

Memperincikan proses itu, Amir berkata dia tidak berkeseorangan, sebaliknya turut dibantu adik-beradiknya dalam melengkapkan proses itu.

Sekurang-kurangnya ini yang saya boleh berikan untuk menggembirakan emak.

AMIR

Malah katanya, proses itu memakan masa seminggu sahaja dengan kos sekitar RM6,000.

"Selain dekorasi ruang tamu, saya juga ada buat untuk ruang makan. Untuk jimat, saya cat balik meja makan lama. Kemudian saya tukar cat dinding dan masukkan sofa baharu.

"Saya juga tambah bunga, karpet dan bingkai gambar. Jadi dapatlah beraya dalam ruang baharu pada tahun lepas.

"Idea dekorasi tu ada juga datang dari kawan-kawan, saya pun banyak tengok contoh-contoh gambar," ujarnya yang kini turut menjalankan perniagaan baju.

Amir merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik.

Menurut Amir, paling menggembirakan tentunya melihat reaksi si ibu yang teruja dengan perubahan itu.

Tambah Amir, ibunya yang dikenali sebagai Cikgu Suriyati, guru Fizik berusia 56 tahun itu cukup gembira dengan dekorasi berkenaan, tambah-tambah lagi ia merupakan hasil tangan anaknya sendiri.

"Ummi memang gembira. Ummi tak cakap banyak, tapi nampak muka dia gembira.

"Dia siap bercerita dengan kawan-kawan, dia tunjuk dekorasi yang saya buat. Saya pun puas hati bila ummi gembira.

Perubahan sebelum dan selepas dekorasi itu dilakukan.

"Memang dah lama impian saya ni. Buat ikut kemampuan, perlahan-lahan," ujar anak kedua daripada empat beradik itu.

Tidak terhenti di situ, Amir juga mendedahkan dia kini merancang projek baharu untuk membuat transformasi pejabat mini ibunya di kediaman itu.

Jurugambar itu turut mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan baju.

"Ummi ada bilik kerja, jadi saya rancang untuk make over juga nanti. Sebab dia pun selalu dalam bilik tu.

"Jadi ini janji saya yang seterusnya. Sekurang-kurangnya ini yang saya boleh berikan untuk menggembirakan ummi," ujar Amir.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain