SEBELUM kahwin, semuanya manis. Bila dah kahwin, sepatutnya makin berseri tapi ada pula yang tak pandai mengambil hati. Dek kesibukan tugas dan kerja masing-masing, maka meja makan menjadi antara tempat paling sesuai pasangan suami isteri untuk berkongsi cerita. Namun, lain pula yang berlaku pada pasangan suami isteri di sebuah kedai makan, seperti yang disaksikan oleh seorang pemuda yang kebetulan duduk di meja sebelah. ARTIKEL BERKAITAN: Masuk bilik, isteri senyap je... rupa-rupanya fikirkan burger dalam hati, suami terus keluar cari sampai tengah malam - "Bukan pelik tapi unik" ARTIKEL BERKAITAN: Bermula jadi tukang isi minyak, kerani bawa motor buruk hingga bergelar Inspektor... Isteri terima seadanya walau PJJ lebih 3 tahun - "Ada hikmah kena 'reject' 2 kali" "Ada satu pasangan suami isteri ni duduk makan di sebelah meja saya bersama anak perempuan berumur lebih kurang empat tahun. "Sepanjang duduk, saya perhatikan isteri dia punyalah bersemangat untuk bercerita. Tetapi suami dia langsung tak endahkan isteri dia. Suaminya sedang khusyuk main game. "Akhirnya, isterinya mula hilang minat untuk bercerita dan sudahnya, isterinya diam dan suapkan anak makan," tulis pemuda berkenaan menerusi Facebook bernama Eddie Dieana. Seorang suami khusyuk bermain video game ketika makan bersama isteri dan anak. -gambar hiasan TechRadar Tidak lama kemudian rakan kepada suami wanita itu lalu di kedai makan itu dan datang menegur, dan wajah suaminya kelihatan ceria. "Berbual gelak ketawa mesra bukan main. Memang sangat berbeza dengan dia layan isteri dia. Sehinggakan, saya yang ada dekat situ saya pula yang terasa. "Tak tahulah kalau saya ni yang sensitif sangat. Tapi nampak jelas suami dia layan tak layan je isteri dia," kata Eddie. Bukan semata-mata hendak menyebelahi wanita, tetapi menurut Eddie, dia memahami sikap golongan bernama isteri yang suka bercerita dengan suami masing-masing. "Walaupun cerita tu benda sama yang dia pernah cerita sebelum ni. Sebagai seorang suami, harus layan jelah. Apa yang nak dibualkan, dengar je. "Sebab apa? Sebab perempuan ni bila mereka dah berkahwin, mereka dah tak ada BFF (best friend forever) lain melainkan suami mereka sendiri. "Kalau kita sebagai suami tak nak dengar apa yang isteri nak luahkan, siapa lagi yang nak dengar," katanya. Perempuan ni bila mereka dah berkahwin, mereka dah tak ada BFF lain melainkan suami mereka sendiri. Kalau kita sebagai suami tak nak dengar apa yang isteri nak luahkan, siapa lagi yang nak dengar EDDIE DIEANA Sebagai suami, Eddie turut berkongsi pengalamannya menghadapi situasi sama, yang mana isterinya juga gemar bercerita. "Dulu saya pun tak faham, saya tengok isteri saya beria-ia cerita. Tapi saya layan endah tak endah. Lama-lama isteri saya dah tak bercerita dengan saya. "Bila burung murai tiba-tiba diam je, saya pun jadi musykil. Saya tanyalah dekat isteri saya, kenapa you diam je, merajuk dengan I ke? "Isteri saya jawab, kalau I cerita pun, you bukannya nak dengar. I bukan tak nak dengar apa you cakap, tapi benda tu kan you pernah cerita sebelum-sebelum ni," katanya. Keadaan di sebuah kedai makan. gambar hiasan foto ONG SOON HIN/The Star Menurut Eddie, isterinya kemudian menjelaskan bahawa tindakannya itu sebenarnya adalah satu kesilapan sambil menerangkan tentang kedudukan isteri selepas berkahwin. "Orang perempuan ni lepas dia kahwin, dia dah tak ada siapa-siapa dan dah tak ada istilah kawan baik. Yang ada hanya suami. Kalau suami tak nak dengar, dengan siapa lagi mereka nak bercerita. "Selepas dari kejadian tu, baru saya sedar kesilapan saya. Kita ni laki, kat tempat kerja kita ada kawan-kawan untuk berbual dan meluahkan sesuatu," ujarnya. Tambah Eddie, jika dibandingkan isteri hanya mempunyai anak-anak untuk dijadikan teman berbual, sedangkan kaum suami boleh bergelak ketawa dengan rakan-rakan. "Tapi kenapa bila kita balik rumah. Nampak bini je kita terus diam, dah tak ada modal nak bercerita. Bila isteri banyak mulut hendak bercerita pula, tak dilayannya dan tak diendahkannya, dengan siapa lagi mereka nak luah. "Kalau suatu hari nanti dia mula beralih arah dan dah tak anggap kita sebagai teman untuk mereka berbual dan meluah, jangan salahkan mereka pula. Sebab ia juga berpunca dari layanan kita terhadap mereka, fikir-fikirkan," katanya. Posting tersebut menjadi tular sehingga dikongsi lebih 15,000 kali. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!