suria

Pelajar dedah bagaimana dirinya tiba-tiba boleh ada dalam mall... tebal muka, berselipar pulang angkut guni - “Mungkin ada yang ingat saya pengemis”

Gambar kiri menunjukkan Muhajir mengangkut guni di pusat beli-belah sementara foto kanan pula ialah kepingan daun tiruan yang dibelinya.

PERNAHKAH anda pergi ke pusat beli-belah dan kemudian membawa balik guni bagi mengisi barang-barang yang dibeli itu?

Percaya atau tidak, tetapi itulah yang berlaku kepada seorang pemuda gara-gara mahu mendapatkan kelengkapan untuk dekorasi pagar di belakang rumahnya.

Misi anak muda itu mengenai 'cabaran' ketika membuat pembelian dikongsikan di aplikasi TikTok sehingga menjadi bualan netizen kerana tindakannya cukup rare atau jarang-jarang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda bina bilik tersembunyi di rumah pusaka usia lebih 100 tahun... masuk kena merangkak, tak boleh berdiri! - "Dulu bangun tidur je ada kesan cakar"

ARTIKEL BERKAITAN: Piknik pun bawa cermin! Di sebalik foto romantis tepi pantai sambil menikmati waffle, croissant... terselit kisah roti canai, lalat

Berkongsi pengalaman, pemuda berkenaan, Mohd Muhajir Zakaria memberitahu segalanya bermula apabila dia mahu membeli kepingan daun tiruan bagi menghias ruang belakang pagar rumahnya di Simpang Pulai, Perak.



Keadaan pagar di belakang rumah sebelum dekorasi.

Pelajar berusia 24 tahun itu berkata, walaupun boleh membelinya secara dalam talian tetapi dia memutuskan untuk pergi ke kedai kerana ingin mendapatkannya dengan kadar segera.

"Saya perlukan sejumlah 110 keping daun tiruan untuk diletakkan pada kerangka kayu yang kemudian dipasangkan di sebalik pagar dawai.

"Saya mahukan momen privasi untuk keluarga melakukan sebarang aktiviti di belakang rumah. Jadi, pagar dawai tu perlu ditutup dengan daun tiruan untuk kelihatan hijau dan cantik," katanya kepada mStar.



Guni yang dibawa Muhajir dari kedai ketiga yang dikunjunginya.

Lebih mesra disapa Muhajir, katanya, kunjungan pertamanya ke sebuah kedai serbaneka berdekatan dengan rumah tidak dapat menyempurnakan misinya kerana di situ hanya mempunyai stok sebanyak 50 keping daun tiruan.

"Saya perlukan 110 keping. Jadi pihak kedai mencadangkan saya untuk pergi ke cawangan yang lain di Batu Gajah. Setibanya di kedai kedua, saya cuma dapat 24 keping.

"Bagi mencukupkan bilangan yang dikehendaki, saya perlu ke cawangan seterusnya yang terletak di sebuah pusat beli-belah dekat Ipoh," ujarnya yang juga berasal dari Simpang Pulai.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, misinya untuk mendapatkan baki 36 keping daun tiruan di kedai ketiga yang terletak di aras satu pusat beli-belah itu membuahkan hasil.



Selain pelajar Usas, Muhajir juga merupakan perunding motivasi.

"Sejumlah kepingan daun tiruan itu diletakkan dalam guni. Pekerja kedai menawarkan saya sebuah kotak besar bagi mengisi kesemuanya untuk dibawa pulang.

"Tapi dah alang-alang dalam guni, saya kata tak apalah. Saya bawa saja karung guni tu keluar kedai... orang keliling di mall pandang saya semacam je.

Kalau kita hendak melakukan sesuatu, kena buat bersungguh-sungguh. Biar gigih tapi kita sendiri puas hati.

MOHD MUHAJIR ZAKARIA

"Mula-mulanya malu juga sebab saya pakai baju biasa-biasa dan berselipar saja. Mungkin ada yang ingat saya pengemis, tapi saya tebalkan muka saja pedulikan apa orang kata," katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Sultan Azlan Shah (Usas), Kuala Kangsar.

Namun bagi Mujahir, minatnya yang begitu mendalam dalam dekorasi rumah mengatasi perasaan malunya membawa guni tersebut selain dia juga mempunyai bukti resit pembelian.



Pagar rumah kini lebih privasi dan cantik.

Tambahnya yang juga seorang perunding motivasi, postingnya di TikTok bukan sahaja untuk berkongsi minat dalam dekorasi, tetapi sarat dengan mesej dakwah atau motivasi.

"Seperti video saya gigih cari barang di tiga kedai dengan jumlah perjalanan lebih 32 kilometer, saya nak sampaikan kalau kita hendak melakukan sesuatu, kena buat bersungguh-sungguh.

"Biar gigih tapi kita sendiri puas hati. Duit boleh dicari, tapi kepuasan hati tidak dapat diganti. Dekorasi buat sendiri dapat jimat duit banyak.

"Yang penting sekarang ni saya dan keluarga dah ada pagar baru! Lebih privasi dan lebih cantik dengan hiasan tambahan pasu-pasu bunga... tak sia-sia saya angkut guni tebal muka kat mall," ujarnya secara berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan