"DAH nenek-nenek pun masih lagi cantik, mesti muda-muda dulu jadi rebutan!" Demikian antara komen yang dilontarkan netizen terhadap video yang dikongsikan seorang pelayar di aplikasi TikTok, baru-baru ini. Video tersebut memaparkan neneknya sedang asyik menyapu bedak di wajah tanpa menyedari gelagatnya sedang dirakam oleh salah seorang cucunya. ARTIKEL BERKAITAN: Menantu nak lepas gian ambil gambar, jenuh pujuk mentua jadi model... tak pakai gincu pun tak apa- “Tengok-tengok mak keluar pakai macam tu” ARTIKEL BERKAITAN: Comel! Nenek usia 85 tahun sanggup bangun awal pagi nak ‘bye’ kru kabin pergi kerja Selain meraih tontonan hampir 520,000 view dalam masa dua hari, video tersebut dibanjiri dengan komen netizen yang memuji nenek pelayar berkenaan kerana menjaga penampilan meskipun sudah lanjut usia, selain mendoakan kesihatannya. Malah ada juga netizen yang tersentuh kerana teringatkan nenek mereka yang telah lama meninggal dunia. Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pelayar yang hanya mahu dikenali sebagai Eya berkata, neneknya yang bernama Hajah Minah Deraman sememangnya teliti dan sentiasa menjaga penampilan meskipun sudah berusia 85 tahun. Eya turut terikut dengan tabiat neneknya yang suka melaram dan kelihatan kemas. "Sebenarnya video itu dirakam sepupu saya dan dia hantar dalam grup WhatsApp keluarga. Nenek dan ramai saudara mara menetap di Marang, Terengganu manakala saya di Kuala Lumpur, ibu saya pula di Melaka. "Selalunya sepupulah yang banyak share dalam grup. Ikutkan cerita ibu saya, nenek masa muda dulu memang cantik... memang ramailah yang berkenan. "Sejak muda memang nenek seorang yang suka bersolek, kelihatan kemas dan wangi. Dia juga suka pakai losen dan akan skrub badan boleh dikatakan setiap hari. Kami yang cucu-cucu pun terikut juga, tapi ada seorang sepupu saya memang sebijik ikut nenek suka melaram," katanya. Tambah Eya, neneknya juga dahulu merupakan seorang tukang jahit sehinggakan kebanyakan baju miliknya dijahit sendiri mengikut cita rasanya. "Paling banyak adalah kebaya dan baju yang berfesyen. Sekarang baju-baju tu diperturunkan kepada anak-anak dan cucu perempuannya. Keluarga besar Eya akan berkumpul di rumah neneknya setiap kali lebaran terutamanya ketika Hari Raya Aidiladha. "Nenek juga kalau orang bawa jalan-jalan pergi pusat beli belah, dia lebih gemar beli sendiri ikut apa yang dia berkenan. Kalau bedak, minyak wangi dan sebagainya, cucu yang hadiahkan dan tolong belikan. "Jangan tak tahu, nenek bukan pakai minyak wangi sembarangan tapi dia lebih gemar jenama Body Shop. Bedak pula dia memang setia dengan satu jenama sejak dari dulu. "Satu lagi yang menarik pasal nenek, dia tak mahu orang basuhkan pakaiannya. Dia suka cuci sendiri sebab wajib letak Softlan. Kalau nak tolong cucikan, kena letak Softlan. Memang ada botol besar dekat rumah dia," cerita wanita berusia 27 tahun ini. Melangkaui usia 80 tahun, Eya bersyukur neneknya masih sihat dan daya ingatannya masih baik sungguhpun tidak lagi bertenaga seperti dahulu. Satu lagi yang menarik pasal nenek, dia tak mahu orang basuhkan pakaiannya. Dia suka cuci sendiri sebab wajib letak Softlan. EYA CUCU "Cuma tangan sebelah kiri nenek lemah akibat diserang angin ahmar sebelum ini, dan pendengarannya agak kurang. Lain-lain Alhamdulillah, nenek sihat dan ingat cucu-cucu dan cicitnya. "Saya tak pasti pula sama ada nenek amalkan petua tertentu, rasanya sama saja seperti orang lain," ujarnya sambil menambah, neneknya berkahwin ketika usia belasan tahun dan dikurniakan lima cahaya mata. Menurut Eya, rumah neneknya akan menjadi tumpuan sanak saudara setiap kali tibanya lebaran khususnya Hari Raya Aidiladha. "Nenek duduk rumah sendiri tapi rumah saudara mara keliling rumah dia saja... walaupun anak-anak atau cucunya ajak duduk sekali tapi dia lebih selesa tinggal di rumah sendiri. "Memang meriahlah kalau balik kampung. Nenek suka melayan cucu cicit. Kalau ada sepupu yang nak berkunjung ke Kuala Lumpur, mesti dia tak lupa kirimkan keropok lekor atau buah tangan untuk diberikan kepada saya dan cucu yang duduk jauh," katanya. Antara komen netizen yang bukan sahaja memuji nenek Eya, malah turut mendoakan kesihatannya. Tidak menyangka perkongsiannya tular, Eya berkata dia sekadar mahu mengabadikan kenangan selain melepaskan rindu kepada neneknya selepas sekian lama tidak dapat pulang ke kampung. "Tak sangka video tu mengundang perhatian ramai. Paling saya sebak bila ada yang kata mereka teringatkan nenek masing-masing yang telah meninggal dunia. Ada juga yang tak pernah rasa kasih sayang seorang nenek. "Lebih terharu apabila mereka doakan kesihatan nenek. Memang banyak sangat komen sampai tak terbalas. Terima kasih banyak-banyak atas doa kalian semua," katanya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!