suria

Dah 4 hari hilang selepas COD iPhone, adik dedah perangai pelik abang sebelum kejadian... benarkah ‘dipegang’ seseorang?

Amirul hilang pada 6 Mac lalu selepas membuat penghantaran (COD) iPhone di Sungai Besi Dalam.

"SAYA hanya mahu abang pulang dengan selamat,"

Demikian luah seorang gadis susulan kehilangan abang kandungnya yang 'ghaib' tanpa khabar berita sejak 6 Mac lalu.

Menurut gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Myra Sudirman, abangnya, Muhammad Amirul Shafiq Sudirman, 25, kali terakhir dilihat pukul 7.30 malam pada hari kejadian di Plaza 831, Sungai Besi Dalam, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuah angka 2! Wanita temui 2 saudara kandung setelah 22 tahun terpisah, dapat 2 kejutan lain mengenai keluarganya

ARTIKEL BERKAITAN: Penyatuan ketika PKP... 15 tahun terpisah, anak telefon ibu kandung jam 2 pagi - “Masa kecil dulu saya keliru”

Menurutnya, ketika kejadian abangnya sedang membuat penghantaran (COD) telefon pintar iPhone kepada seorang pelanggannya.

Memasuki hari keempat sejak kehilangannya tersebut, Myra berkata sehingga kini dia dan keluarganya serta rakan-rakan abangnya buntu kerana masih tiada sebarang perkembangan.

"Pada malam kejadian, saya ada menghantar mesej kepada Abang Yu (Amirul) menerusi aplikasi WhatsApp tapi hanya satu tick sahaja. Masa tu tak terfikir apa-apa pun, fikir dia mungkin sibuk atau telefon kehabisan bateri.



Motosikal Amirul yang terbiar tanpa berkunci ketika hari dia dilaporkan hilang.

"Tapi keesokannya, baru ayah maklumkan kepada saya sebab abang tak pulang ke rumah. Saya menangis bila dapat tahu. Ayah minta rahsiakan daripada mama sebab mama kurang sihat. Tapi akhirnya mama tahu daripada Facebook sebab dah viral.

"Hingga kini mama tak henti-henti terfikir mengenai nasib abang. Asyik bertanya dari sehari ke sehari perkembangan mengenai abang. Saya hanya mampu tenangkan mama... tak boleh menangis depan dia.

"Mama dah la ada kencing manis dan darah tinggi... saya risau sangat dengan keadaan kesihatannya. Kami dah buat laporan polis dan ketika ini siasatan sedang dijalankan, namun masih belum ada sebarang perkembangan," katanya kepada mStar.



(Kiri) Myra memuat naik hebahan mengenai kehilangan abangnya di Instagram. (Kanan) Gambar Myra bersama abangnya ketika hari pertunangannya.

Menurut gadis berusia 22 tahun itu, meskipun dia kini tinggal bersama ibu dan bapa tirinya di Ampang manakala abangnya pula tinggal bersama bapa kandung mereka, namun hubungan mereka sangat akrab.

"Hanya dia satu-satunya abang yang saya ada. Dialah tempat saya berkongsi setiap perkara, tempat mengadu, penasihat dan semuanya... bila dia tiada, memang rasa kosong sangat.

"Teringat tiga hari sebelum kejadian, dia belanja kami sekeluarga makan... dia belikan makanan kegemaran mama. Keesokan harinya pula, dia beri saya wang dan minta saya belanja mama.

Naluri mama kuat mengatakan abang masih okay... cuma kami berdoa sangat moga pihak yang 'ambil' abang dilembutkan hati agar pulangkannya dengan selamat.

MYRA SUDIRMAN

ADIK

"Masa tu tak fikir apa-apa yang pelik langsung, saya rasa mungkin dia ada rezeki lebih. Tapi sekarang bila teringat semula, saya rasa sedih sangat," ujarnya sambil menambah, abangnya baru berkecimpung sebagai 'seller' telefon pintar itu pada tahun ini.

Tambah Myra, sejak kehilangan abang sulungnya itu, dia dan ibunya terpaksa mengambil cuti seketika kerana terlalu sedih dan bimbang.

"Setakat ini antara ikhtiar yang kami lakukan adalah solat hajat... saudara mara turut mengaji bacakan surah Yasin. Selain itu, kami membuat hebahan di media sosial untuk minta bantuan orang ramai.



Myra meluahkan rasa rindu terhadap abangnya di Instagram.

"Ada yang respon, beritahu ada yang nampak abang saya dengan dua orang individu di lokasi tersebut. Itu sahajalah perkembangan terakhir setakat ini.

"Kami syak mungkin abang 'dipegang' oleh seseorang. Hanya motosikalnya sahaja yang ada dekat lokasi terakhir. Abang seorang yang baik, cool, disenangi rakan-rakan... dia tak ada musuh pun.

"Naluri mama kuat mengatakan abang masih okay... cuma kami berdoa sangat moga pihak yang 'ambil' abang dilembutkan hati agar pulangkannya dengan selamat," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain