suria

Sempoi habis bakal ustazah ni, selamba pandu 4x4 rentas sungai... berbaju kurung pun redah je! - “Ayah perhati dari luar”

Video Muni menerima lebih 400,000 tontonan di TikTok.

VIDEO memaparkan seorang gadis memandu kenderaan pacuan empat roda 4x4 Isuzu D-Max sambil merentasi anak sungai di Kuala Krai, Kelantan mencuri perhatian ramai.

Dalam video tular itu, Siti Munirah Shamsulbahari, 20, yang bertudung dan manis menggayakan baju kurung kelihatan tidak kekok ketika melakukan aksi berkenaan.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Muni mengakui terkejut apabila video itu tular, namun gembira dapat berkongsi kisahnya dengan orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Pagi bertukang di bengkel, petang mengajar kelas fardhu ain... ustazah jiwa seni tak sia-siakan bakat ubah suai sendiri dapur ibu

ARTIKEL BERKAITAN: Besarnya hikmah jaga aurat, Allah tutup aib ustazah Shadiya dengan sehelai tuala kecil

"Sebenarnya video tu dirakam ketika kami baru balik kenduri. Sebab tu saya pakai baju kurung. Saya secara spontan ajak ayah pergi main 4x4. Tak sangka dia bawa terus ke kawasan sungai dalam ladang getah tu.

"Ayah juga dalam proses untuk jual 4x4 ini dan beli yang baharu. Saya cuma buat banyak video untuk simpan sebagai kenangan. Dulu kami sekeluarga pernah kemalangan dengan kereta ini, tapi ia bagaikan penyelamat kepada kami. Tiada yang cedera teruk.

Muni mula belajar memandu ketika berusia 14 tahun.

"Dalam video tu, ia adalah kali pertama saya rentas anak sungai. Memang berdebar. Tapi saya dah belajar pandu 4x4 sejak umur 14 tahun, saya ambil lesen selepas tamat sekolah pada tahun 2018," ujarnya.

Menurut Muni, dia juga tidak terlepas menerima komen negatif apabila ada kaum lelaki yang memperlekehkan apa yang dilakukannya.

Alhamdulillah, berjaya juga saya rentasi sungai. Ayah suka bagi benda lasak, sebenarnya dia nak pupuk sifat berani saya.

MUNI

Namun kata Muni, dia tidak ambil hati, sebaliknya sekadar mahu berkongsi ilmu dengan orang ramai.

"Dalam video-video di TikTok, saya juga banyak kongsi mengenai gear kenderaan 4x4. Ramai yang ucap terima kasih sebab dapat belajar ilmu baharu.

Muni turut berkongsi ilmu mengenai pemanduan pacuan empat roda menerusi video di TikTok.

"Ada lelaki yang komen. Dia kata... anak sungai je pun. Tapi tak apa, saya tak kisah. Sebab saya pun tak pernah rentas sungai dengan 4x4.

"Ia kali pertama. Ayah pun cuma perhati dari luar. Dalam kereta hanya ada saya dan kakak.

"Alhamdulillah, berjaya juga saya rentasi sungai. Ayah suka bagi benda lasak, sebenarnya dia nak pupuk sifat berani pada diri saya," ujar anak kedua daripada empat beradik itu.

Ibu dan bapa Muni.

Bercerita mengenai dirinya, Muni berkata dia merupakan penuntut Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tuanku Bainun di Pulau Pinang dalam bidang Pendidikan Islam.

Selain Muni, bapanya, Shamsulbahari Sahaimin, 48, dan ibu, Azida Asif, 48, juga berkebolehan memandu pacuan empat roda.

"Sebenarnya awal-awal dulu, kakak saya nak belajar memandu. Jadi ayah suruh guna 4x4, kalau masuk lubang pun tak terasa sangat.

Muni bersama kakak dan adiknya.

"Jadi saya pun ikut belajar sekali pada waktu itu. Mama pun boleh bawa 4x4 juga," ujar bakal ustazah itu lagi.

Sehingga kini, video Muni merentasi anak sungai dengan kenderaan itu meraih lebih 400,000 tontonan di TikTok.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan