suria

Susah-susah mak ayah pos ‘balang berharga’ dari jauh, doktor menangis lihat reaksi kawan jamah kuih dibuat ibunya - “Mula-mula tak nak bagi...”

Seorang doktor berkongsi kisah zaman belajarnya yang pernah menangis kerana kuih yang dibuat ibunya tidak habis dijamah rakan-rakan. - gambar hiasan

SETIAP daripada kita pasti mempunyai pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Apatah lagi ia melibatkan insan tersayang seperti ibu bapa, yang membuatkan diri kita terkesan dan tidak dapat melupakannya sampai bila-bila.

Seorang doktor berkongsi pengalamannya sewaktu menyambung pengajian di Matrikulasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Sekolah Alam Shah di Cheras, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Semut seekor pun tak boleh 'dekat', sanggup beratur 2 jam beli keropok viral... doktor sebak terima kunjungan mak ayah - "Rumah pun dia sanggup pikul"

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi kisah 'ditendang' dari universiti, doktor ini akui hidup atas berkat dan harapan ibu yang ada kemahuan, imaginasi juga impian - "10 tahun lepas tak terbayang dapat bantu pesakit"

Walaupun mengikuti pengajian tersebut dari 1988 hingga 1990, momen merindui ibunya itu masih dikenang pengamal perubatan am, Dr Zubaidi Ahmad sehingga ke hari ini.

"Dulu masa saya di Matriks UKM, tahun 1988. Rumah tak ada telefon, Poslaju tak ada. Rindu sangat dengan mak.

"Saya cemburu tengok kawan-kawan. Mak bapa datang satu keluarga bawa kuih, tanya khabar," tulisnya menerusi satu perkongsian di laman Facebook milik beliau.



Sanggup berpeluh bagi mendapatkan bungkusan yang dihantar dari kampung. -gambar hiasan

Anak kelahiran Johor itu berkata, keluarganya menetap di Johor Bahru dan bukan dari keluarga yang senang.

"Abah kerja syif, orang susah. Tak mungkin mereka datang ke KL (Kuala Lumpur). Satu hari, mak poskan kuih satu balang.

"Tapi kena ambil di Pejabat Pos Dayabumi, KL. Bersusah-payah naik bas dari Cheras sampai ke Pudu. Kemudian menapak ke bangunan Dayabumi. Berpeluh tapi gembira sebab dapat rasa kuih yang mak buat," katanya.

Namun, dugaan tidak terhenti di situ apabila Dr Zubaidi memeriksa balang kuih yang dihasilkan oleh ibu beliau.

"Bila dapat, separuh daripada kuih dah hancur sebab perjalanan pos. Apa nak buat. Hati dah mula luluh.

"Sampai asrama, mula tak nak bagi kawan-kawan. Tapi konon nak beradab dengan kawan, bagilah sikit kawan-kawan nak rasa," ujar doktor yang berpengalaman bertugas di Hospital Sultan Aminah di Johor Bahru.



Kompleks Dayabumi menjadi saksi kisah Dr Zubaidi. -gambar hiasan foto SAM THAM/The Star

Menurut Dr Zubadi, apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana segelintir rakan-rakan beliau di asrama tidak habis menjamah kuih yang dikirim ibunya.

"Ada kawan tak habis makan, letak atas meja. Tak sedap kot. Pungut satu-satu sambil menitikkan air mata. Dalam hati berkata 'sampai hati korang buang kuih yang mak aku buat'," katanya.

Pungut satu-satu sambil menitikkan air mata. Dalam hati berkata 'sampai hati korang buang kuih yang mak aku buat'

DR ZUBAIDI AHMAD

Beliau yang juga Ahli Jawatan Kuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim) kemudian menghabiskan baki kuih dalam balang.

"Saya makan baki kuih-kuih yang ditinggalkan. Menitik air mata bila terkenang susah payah mak buat. Terkenang susah payah abah poskan di pejabat pos.

"Dalam hati saya bertekad, akan belajar bersungguh-sungguh. Jadi bermulalah usaha gigih hingga kena migrain selama sebulan," kata beliau yang kemudian menyambung pengajian di Fakulti Sains Hayat UKM dan Kolej Perubatan Kastuba di Karnataka, India.



Dr Zubaidi berkongsi pengalaman ketika belajar di matrikulasi. foto FB Dr Zubaidi Hj Ahmad

Luahan Dr Zubaidi yang penuh emosi itu mengundang sebak dalam kalangan pengikut beliau di Facebook, yang turut bersimpati dengan peristiwa yang berlaku.

"Dulu-dulu macam tu la, hanya pos jadi perantaraan. Hancur berhabuk pun tetap nikmat makan hasil kiriman mak. Kiriman dengan kasih sayang," tulis seorang netizen.

"Ketika berjauhan, barang kiriman mak dan ayah kita sangatlah berharga buat diri kita yang sarat dengan kerinduan," komen netizen yang lain.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain