suria

Misteri pemuda hilang selepas COD iPhone lebih RM17,000 terjawab! Diperangkap ‘pelanggan’, 5 hari dikurung di Melaka - “Apa yang berlaku seperti mimpi”

Amirul yang hilang sejak 6 Mac lalu diselamatkan polis tengah malam Khamis.

MISTERI kehilangan seorang pemuda, Muhammad Amirul Shafiq Sudirman sejak lima hari lalu akhirnya terjawab apabila dia diselamatkan pasukan polis selepas dikurung di sebuah rumah di Ayer Keroh, Melaka.

Amirul, 25, dilaporkan hilang tanpa khabar berita sejak 6 Mac lalu sewaktu membuat penghantaran tiga unit telefon pintar Apple iPhone 12 berharga lebih RM17,000 di premis perniagaan di Sungai Besi.

Kelibatnya kali terakhir dilihat pada pukul 7.30 malam hari kejadian, di Plaza 831, Sungai Besi Dalam, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 4 hari hilang selepas COD iPhone, adik dedah perangai pelik abang sebelum kejadian... benarkah ‘dipegang’ seseorang?

Berita mengenai kehilangannya mendapat liputan meluas selepas ahli keluarga serta rakan-rakannya membuat hebahan di media sosial.

Malah, mStar pada Rabu lalu turut menemubual adik Amirul, Myra Sudirman, susulan kehilangan pemuda berkenaan.

Ketika dihubungi pada Jumaat, Myra meluahkan rasa syukur dan lega kerana abang kandung kesayangannya yang dipanggil Abang Yu akhirnya kembali semula ke pangkuan keluarga.



Myra memuat naik perkembangan mengenai penemuan abangnya di laman sosial Instagram.

"Saya dapat tahu mengenai berita Abang Yu ditemui selepas dihubungi ayah tengah malam tadi. Bila ayah call dan beritahu berita tu memang rasa terkejut sangat-sangat. Mulut tak henti-henti mengucapkan syukur kepada Allah.

"Memang menangis bila dapat khabar gembira daripada ayah. Malah mama yang saban hari termenung mengenangkan keadaan Abang Yu pun turut sama menangis. Kami berpelukan dan saling menangis," cerita wanita berusia 22 tahun itu.

Menurut Myra, dia dan ibunya sudah bertemu dengan Amirul pagi tadi sebelum lelaki itu pulang untuk berehat di rumah bapa kandung mereka.

"Sebaik sahaja jumpa dia, saya terus pegang tangan dan peluk dia. Nampak semangatnya masih kuat walaupun fizikalnya kelihatan lemah sedikit. Abang juga kelihatan macam terkejut.

"Saya masih belum bertanya abang dengan lebih lanjut kerana mahu dia tenangkan fikiran dan berehat terlebih dahulu. Cuma dia ada beritahu, dia rasa apa yang berlaku ini seperti mimpi. Dia kata apa yang dia buat adalah tetapkan keyakinan yang 'penderitaannya' akan berakhir.

Sekarang ni bersyukur sangat lihat keadaan mama. Apabila melihat mama peluk Abang Yu pagi tadi, saya turut sebak.

MYRA SUDIRMAN

ADIK

"Itu saja yang buat dia kuat... dia tak putus berharap dan dia optimis dapat keluar juga. Alhamdulillah, berkat doa dan usaha yang dilakukan seperti solat hajat, akhirnya Allah makbulkan doa kami untuk Abang Yu ditemui," katanya.

Menurut Myra lagi, dia gembira apabila melihat perubahan ibunya kini yang sudah mulai tersenyum dan sedikit ceria, berbeza dengan keadaannya beberapa hari lalu.

"Sebelum ini hari-hari tanya pasal Abang Yu. Bukan apa, kami bimbang dengan keadaan kesihatannya yang ada kencing manis dan darah tinggi. Selalu kalau dia risau, saya dan bapa tiri yang akan menenangkannya.

"Sekarang ni bersyukur sangat lihat keadaan mama. Apabila melihat mama peluk Abang Yu pagi tadi, saya turut sebak," katanya lagi.



Myra membuat hebahan mengenai kehilangan abangnya beberapa hari lalu bagi memohon bantuan orang ramai.

Sementara itu, memetik portal Harian Metro, Amirul diperangkap oleh pelanggan yang berpura-pura mahu membeli telefon pintar berkenaan.

Menurut Amirul yang dipetik sebagai berkata, setibanya dia di lokasi yang dijanjikan, pelanggan tersebut mengajaknya masuk ke dalam kereta untuk menyerahkan wang namun dia kemudian disembur ubat nyamuk dan ditumbuk, sebelum dikurung di sebuah rumah Ayer Keroh.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon yang dipetik portal itu, mengesahkan mangsa sudah diselamatkan dan akan memberi kenyataan media berhubung kejayaan itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain